
MALAYSIA sememangnya menyimpan pelbagai khazanah dan seni warisan yang indah di mana ia menunjukkan latar belakang dan juga budaya kita sebagai orang Timur.
Pantun sebagai contoh, adalah antara wadah warisan nenek moyang yang masih lagi digunakan tetapi dalam situasi tertentu umpamanya majlis merisik dan pertunangan.
Pastinya kita tidak mahu melihat khazanah negara ini hilang ditelan zaman kerana generasi muda kini asyik diulit dengan pelbagai peralatan dan teknologi yang sememangnya datang tanpa henti.
Atas inisiatif itulah, Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menganjurkan Pesta Pantun Bestari 2011 di kalangan pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang telah menutup tirainya, baru-baru ini.
Pemantun daripada Universiti Malaya (UM) berjaya mengungguli pertandingan tersebut apabila diumumkan sebagai juara keseluruhan manakala naib juara pula menjadi pemilik pemantun daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Ketua kumpulan pemantun UM, Mohd. Amir Abdullah Mohd. Amir Najib berkata, kemenangan ini adalah sesuatu yang sangat manis kerana segala persiapan yang dilakukan oleh kami dibuat oleh kami sendiri.
"Kami tiada jurulatih rasmi yang memberikan tunjuk ajar, segala persiapan dibuat secara perbincangan dalam setiap kesempatan yang ada.
"Selepas kemenangan ini pastinya kami akan mengajak lebih ramai lagi rakan untuk sama-sama aktif dalam berpantun," katanya yang ditemui sejurus tamat pertandingan tersebut yang berlangsung di Angkasapuri, Kuala Lumpur.
Pertandingan yang bertujuan untuk mencungkil bakat berpantun di kalangan generasi muda dan seterusnya mengekalkan budaya bangsa ini agar ia tidak hilang ditelan zaman.
Kategori busana terbaik dan pemantun terbaik pula menjadi milik pemantun dari UIAM.
Pemantun terbaik, Muhammad Noriman Mustafa All Bakry yang berasal dari Kedah berkata, ini adalah pertama kali dia mendapat anugerah pemantun terbaik.
"Sejujurnya saya tidak menyangka akan menang kategori ini kerana ramai lagi yang lebih berpengalaman dari saya, mungkin malam ini sudah menjadi rezeki saya dan saya gembira menerimanya.
"Walaupun budaya berpantun bukanlah sesuatu yang biasa kita amalkan kini, tetapi golongan muda tidak seharusnya melupaknnya terus kerana banyak keseronokan yang boleh dirasakan dengan berpantun," jelasnya.
Pertandingan pantun ini turut disertai lapan IPTA termasuk Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Kesemua peserta bertarung di peringkat saringan dan separuh akhir sebelum dua pasukan yang terpilih untuk merebut gelaran juara.
Pada pertandingan akhir tersebut, setiap pasukan diwakili oleh tiga pemantun yang perlu menjual dan menjawab pantun secara spontan dalam masa yang ditentukan.
Dibahagikan kepada tiga pusingan, setiap pemantun berpeluang untuk menjual dan membeli pantun mengikut tema yang telah ditentukan terlebih dahulu iaitu, jenaka, 1Malaysia dan bebas.
Setiap peserta dilihat bijak mengawal keadaan dalam mereka pantun secara spontan walaupun dalam situasi yang genting kerana perlu mengikut tema selain menjawab kepada persoalan pemantun yang menjualnya.
Malam itu turut diserikan dengan persembana oleh Shila Amzah, Ramlah Ram dan selingan komedi oleh Ebby Yus dan Abon.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: