Saturday, November 26, 2011

Kecanggihan teknologi Ford Escape


SUV ini dilengkapi dengan banyak ciri berteknologi tinggi.


MODEL sport utility vehicle (SUV) terbaharu Ford telah dilancarkan di Los Angeles (LA) pada 16 November lepas. Ia akan mula dijual di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah pada tahun depan. Model setaranya di Eropah iaitu Ford Kuga akan dipamerkan di Geneva pada bulan Mac tahun depan dengan enjin dan ciri-ciri yang unik.

"Kami menggelar Ford Escape serba baharu sebagai Smarter Utility Vehicle kerana ia menawarkan ciri-ciri yang dimahukan oleh pelanggan masa kini. Apa lagi kalau bukan penjimatan minyak, versatil dan teknologi baharu yang menjadikan kenderaan lebih mudah dan seronok dipandu.

"Semua itu dipakejkan dalam rekaan yang kemas dan lebih moden. Ford memahami bahawa semakin ramai pelanggan yang berminat dengan kenderaan seperti Escape. Jadi kami ingin memberi mereka lebih alasan untuk membelinya," kata Naib Presiden Kumpulan, Pembangunan Produk Global Ford, Derrick Kuzak.

Selain daripada penambahan ruang kargo pada barisan tempat duduk pertama dan kedua, Escape baharu didatangkan dengan beberapa ciri utama. Antaranya, teknologi membuka pintu belakang bukan dengan tangan, tetapi dengan kaki!

Ia berfungsi menggunakan teknologi pergerakan seperti permainan video. Secara spesifiknya, mereka yang mahu membuka pintu itu hanya perlu melakukan pergerakan menendang secara lembut ke bawah bampar. Proses yang sama juga boleh digunakan untuk menutup kembali pintu.

Arahan suara

Melalui cara itu, akses ke ruang kargo kini lebih cepat dan mudah. Teknologi SYNC® dengan MyFord Touch® pula menawarkan para pelanggan untuk mengurus serta mengawal informasi melalui arahan suara. Selain mengakses menu melalui tiga kaedah sama ada stereng, skrin sentuh, butang atau tombol.

Untuk meletak kenderaan secara selari pula, Ford Escape baharu menggunakan teknologi Active Park Assist. Dengan hanya menekan butang, sistem itu akan mengesan ruang parkir selari dan mengalihkan kenderaan secara automatik ke dalam ruang tersebut. Pemandu hanya perlu duduk bersenang-lenang sambil mengawal pedal minyak dan brek.


FORD menampilkan rekaan terbaik ke dalam ruang kabin model Escape ini.


Ford Escape turut dilengkapi BLIS® (Blind Spot Information System) yang mana bunyi amaran akan dikeluarkan apabila kenderaan melalui bintik buta (blind spot). Selain itu, ciri-ciri yang saya kira tercanggih pada Escape baharu ialah Curve1 Control. Fungsinya, kenderaan akan diperlahankan secara automatik apabila apabila pemandu melalui selekoh dengan kelajuan melampau.

Sistem Torque Vectoring Control pula membantu menggerakkan kenderaan sewaktu selekoh. Sementara sistem pintar pacuan empat roda (4WD) yang baharu pula membantu pengendalian kenderaan sama ada di atas permukaan yang cantik, teruk dan melalui jalan off-road.

Di AS, Escape baharu ditawarkan dengan beberapa varian enjin yang ekonomikal dan berkuasa iaitu 2.0 liter EcoBoost dengan 273 kuasa kuda (hp) dan 1.6 liter EcoBoost (173hp). Turut ditawarkan ialah enjin besar bersaiz 2.5 liter yang telah diperbaharui tetapi cuma berkuasa 168hp.

Membantu penggunaan minyak yang ekonomikal adalah rekaan badannya yang kemas (sleek). Model baharu itu sepuluh peratus lebih aerodinamik berbanding model sedia ada.

Paling menarik, model baharu dilengkapi active grille shutter system yang akan membuka jeriji jika penyejukan ekstra diperlukan seperti dalam kesesakan trafik. Jeriji itu akan kembali ditutup sekiranya kenderaan kembali dipandu dengan lancar di atas lebuh raya. Ciri jeriji automatik tersebut adalah idea yang ringkas untuk mencapai lebih aerodinamik dan penjimatan minyak.

"Model Ford serba baharu ini membuka lembaran baharu dalam pasaran SUV. Dengan menjadi lebih bijak, SUV itu akan membantu pelanggan di serata dunia untuk mendekati teknologi dengan lebih mudah, memaksimumkan penggunaan minyak serta menikmati versatiliti yang mereka perlu dan mahukan," tambah Kuzak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: