Diana

Bagi pasangan suami isteri, kelahiran cahaya mata adalah saat terindah. Begitu juga bagi pasangan selebriti ini, keduanya mengakui sangat teruja dengan kelahiran putera sulung mereka.

Bagi pasangan, Zamarul Hisham dan Diana Rafar, kehadiran Kashfi Haiqal, berusia setahun, nyata memberikan keceriaan kepada keluarga mereka. Malah merupakan anugerah paling bermakna sejak dua tahun mendirikan rumah tangga.

Mengimbau detik kelahiran Kashfi, Zamarul berkata, walaupun Kashfi adalah anak ketiganya, namun kehadirannya menyerikan lagi rumah tangga mereka.

“Kali ini tidak sama seperti dahulu, sewaktu Diana melahirkan Kashfi saya sentiasa di sisinya membuat lawak dan menyanyi. Bukan apa, masa tu saya cuma hendak mengurangkan tekanan yang dia rasai.

“Bagaimanapun, ketika dia bersalin, saya tidak mampu melihat detik-detik tersebut sebaliknya hanya memegang video, merakam dan memandang ke arah lain,” katanya.

Zamarul berkata, kehadiran Kashfi sekali gus mengembalikan kehidupannya sebagai seorang bapa setelah bertahun tidak memiliki anak kecil.

“Kashfi benar-benar merubah hidup saya. Dah lama saya tak menempuh kehidupan sebagai seorang bapa yang perlu bangun malam membuat susu untuk bayi.

“Namun, sudah lumrah menjadi bapa bertanggungjawab bukanlah mudah. Bahkan ia mengajar saya menjadi ketua keluarga yang lebih matang dan menghargai keluarga,” katanya yang terpaksa mengambil cuti selama sebulan untuk membantu Diana menjaga anak mereka ketika itu.

Sementara Diana berkata, saat Kashfi dilahirkan dia berasa sangat cemas kerana pada mulanya anaknya tidak menangis.

“Bayangkan perasaan saya masa tu, memang bimbang sangat. Kashfi kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, tidak beberapa lama kemudian barulah dia menangis. Masa tu, saya betul-betul bersyukur kerana anak sudah selamat,” katanya.

Tidak sekat kerjaya isteri

Walaupun sudah mempunyai cahaya mata, namun pasangan ini masih meneruskan karier seni seperti biasa. Biarpun tidak seaktif dulu, namun baik Zamarul dan Diana, masih mencintai lakonan dan sehingga kini masih mendapat tawaran.

Ditanya adakah Zamarul menghalang Diana meneruskan kariernya. Nyata pelakon berusia 39 tahun ini, tidak pernah menyekat minat isterinya itu.

“Saya tidak kisah sekiranya dia berlakon seperti biasa tetapi apa yang saya nampak, dia sendiri enggan membiarkan Kashfi tinggal sendirian di rumah sekiranya ada penggambaran. Mungkin kerana naluri keibuan yang ada pada dirinya.

“Pun begitu, saya mahu dia benar-benar bersedia menjadi suri rumah tangga sepenuh masa tanpa ada sebarang paksaan,” jelasnya.

Bagi Diana pula, dia akui masih ingin bergiat aktif sebagai pelakon memandangkan sudah lama berkecimpung dalam bidang itu.

“Saya pernah terfikir untuk berhenti daripada karier ini demi kepentingan keluarga. Tapi bila di fikir-fikir semula, saya belum bersedia.

"Sukar sebenarnya untuk saya meninggalkan dunia seni yang telah saya ceburi sejak berusia lima tahun lagi. Insya-Allah, bila saya dah betul-betul sedia, saya akan bersara dari lakonan dan memberikan sepenuh perhatian kepada keluarga," katanya.

Mahu anak jadi ahli tahfiz

Teruja memiliki keluarga besar, Zamarul berkata, dia berhasrat dapat menambah cahaya mata lagi.

Menurut Zamarul, selepas kelahiran Kasshfi, dia teringin menimang cahaya mata perempuan pula bersama Diana.

“Saya mahu kehidupan kami terisi dengan mempunyai anak yang ramai dalam keluarga ini. Bahkan saya juga merancang untuk membina perniagaan supaya dapat mengukuhkan lagi masa depan keluarga terutamanya anak-anak.

“Bagi Diana sendiri, saya yakin dia tidak kisah menambah anak tetapi mungkin bukan dalam masa terdekat. Lagipun usia Kashfi baru mencecah setahun. Biarlah Kashfi besar dahulu,” katanya.

Jika segelintir artis menyokong anak mereka terlibat dengan dunia seni, berbeza pula dengan pasangan ini. Menurut Zamarul, dia berharap agar anaknya itu tidak akan mengikut jejak mereka.

“Saya lebih senang kalau dia menjadi tahfiz ataupun lebih ke arah bidang berkaitan. Sebagai insan seni, saya sendiri sudah merasa pahit manisnya bergelumang dalam dunia ini.
“Tetapi jika bidang ini telah dipilih Kashfi, saya tidak menghalang apatah lagi mahu meletakan sebarang syarat kepadanya,” katanya lagi.