MUZIK ialah elemen universal tetapi ia mampu menjadi jambatan perhubungan sesama individu. Kali ini muzik didatangkan oleh anak-anak muda berjiwa besar. Satu grup dengan tiga ahli tetap, satu impian dan satu destinasi serta satu jambatan. Bukan emas ataupun gangsa tetapi jambatan berbentuk gubahan muzik dan persahabatan sesama pemuzik. Bunkface melebarkan sayap membawa harapan dan impian menggunakan pasport muzik untuk terbang ke Jakarta, Indonesia.
Anak-anak muda dengan nama Youk, Sam dan Pa'an menjadi duta kecil di negara orang. Yakin dengan siri jelajah kecil ini untuk membina suatu yang besar di masa hadapan, kedatangan Bunkface ke negara pimpinan Susilo Bambang Yudhoyono itu disambut mesra para peminat mereka yang sudah boleh menyanyi bersama lagu-lagu Bunkface. Terdahulu, Bunkface pernah mendapat sambutan meriah di Padang, Indonesia.
Dijemput Festival Urban
"Promosi melalui laman Internet memang laju dan efektif. Lagu-lagu kami yang dimainkan di laman YouTube dan Facebook memberi kesan positif kepada perkenalan grup Bunkface terhadap khalayak. Malah para peminat di Indonesia mengetahui lagu-lagu daripada EP kami, Lesson Of The Season yang terdahulu," ujar Youk, pemain bass Bunkface sewaktu sesi temuramah di Apartemen Aston Rasuna, Kuningan, Jakarta.
Bunkface dijemput ke acara Festival Urban yang diadakan di Ancol, Jakarta pada Ahad lalu. Berkumandanglah lagu-lagu Bunkface di taman keriangan Ancol, disambut nyanyian bersama terutamanya lagu hits grup itu, Situasi. Tidak hanya itu, para peminat yang menantikan mereka turut menyanyikan lagu-lagu dalam bahasa Inggeris grup yang ditubuhkan sekitar empat tahun lalu.
"Festival Urban ialah sebuah acara yang tidak menjurus kepada grup-grup mainstream. Lebih kepada grup underground atau bebas. Kami berbesar hati dapat jemputan mengadakan persembahan di sini," ujar Pa'an, anggota paling kecil dan diminati ramai dalam Bunkface.
Diletakkan dalam barisan pemuzik di Pentas Speedy, Bunkface tanpa gagal membuahkan kekaguman ramai terhadap muzik dan tenaga mereka sebagai grup muda dengan lagu-lagu perjuangan.
Antara lagu yang diperdengarkan ialah Situasi, Bunk Anthem, Ekstravaganza dan Revolusi.
Selesai persembahan dengan tambahan dua pemuzik tambahan di bahagian dram (Ijam) dan keyboard (Wawa), anggota grup ini menjadi sasaran peminat untuk sesi fotografi. Menunjukkan pada satu sisi, mereka sedang membina rangkaian persahabatan bukan sahaja sesama pemuzik tetapi juga peminat.
Jajah Hard Rock
Tidak habis memberi peluru berupa muzik dan lirik yang padu, Bunkface kemudian muncul dalam satu showcase yang diadakan di Hard Rock Cafe, Jakarta pada tarikh 21 November lalu.
Memberi penghormatan kepada kumpulan tempatan, Vegan untuk menjadi pembuka acara, grup tersebut turut menyanyikan lagu Situasi sebagai tanda hormat dan persahabatan. Sebanyak 11 buah lagu dinyanyikan dengan penuh tenaga oleh Bunkface termasuk tiga buah lagu baharu iaitu Panik, Bunk Not Dead dan Kita Perang Kita Menang.
Bunkface bukan hanya disaksikan oleh para peminat dan rakan artis tetapi turut mendapat perhatian lima buah label rakaman dan edaran di Indonesia yang masing-masing menyatakan minat untuk mengambil mereka bernaung di bawah bumbung mereka.
Pengurus Bunkface, Rafi berkata, terdapat lima label memberi tawaran. Itu antara tujuan Bunkface ke sini.
Semuanya masih dalam perbincangan dan perancangan kerana kita mahu melihat tawaran mana yang paling sesuai dengan perjalanan Bunkface.
"Bunkface pentingkan jelajah, itu yang menjadi fokus. Pendedahan secara maksimum dan promosi terhadap lagu-lagu," kata Rafi.
"Kita anggap perjalanan Bunkface ini macam main permainan video. Mesti mahu berjuang untuk ke fasa yang seterusnya. Begitu juga penjelajahan muzik Bunkface. Kita mahu membawa kumpulan yang ditubuhkan di Klang ini ke luar. Kita bukan hanya bawa muzik tetapi juga maruah dan nama negara," ujar Pa'an sekali lagi.
Tidak hanya menangkap mata khalayak belasan dan remaja, Bunkface turut mendapat jemputan menyanyi di sebuah program popular atau lebih tepat program bual bicara nombor satu di Indonesia iaitu Bukan Empat Mata kendalian Tukul Arwana. Tarikh 22 November, Bunkface menjejak stesen televisyen Trans TV untuk acara ini.
Berpeluang untuk menyanyikan lagu Situasi, kesempatan ini digunakan sebaik mungkin untuk memperkenalkan muzik mereka ke seluruh pelosok Indonesia.
Grup Bunkface merupakan grup Malaysia pertama yang keluar melalui program ini selepas Datuk Siti Nurhaliza dan Amy Search. Memasuki program popular ini bukan mudah tetapi portfolio kemas Bunkface memungkinkan situasi ini.
Perancangan dan kelebihan
Berbual tentang perancangan masa hadapan, Sam mewakili grup memberitahu bahawa mereka sudahpun mempunyai studio sendiri yang dinamakan Studio Bunkface Rock Station yang terletak di SS15, Subang Jaya. Selain itu, mereka juga turut berhasrat untuk mengeluarkan album pada tahun hadapan dan mengadakan jelajah Malaysia dengan kudrat dan inisiatif sendiri.
"Kami berterima kasih kepada pihak penaja yang menaja penerbangan dan kemudahan kami di Jakarta. Begitu juga kepada pihak Indigital yang banyak membantu perjalanan kami ke Jakarta," ujar Sam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: