Tuesday, November 1, 2011

Industri automotif diberi perhatian

  MUKHRIZ  menyampaikan cenderahati kepada rakan penaja Anugerah ICT-AWANI kedua selepas melancarkannya  di Kuala Lumpur, semalam. Turut sama Ashran  (kiri) dan Rozina (tiga dari kanan).
MUKHRIZ menyampaikan cenderahati kepada rakan penaja Anugerah ICT-AWANI kedua selepas melancarkannya di Kuala Lumpur, semalam. Turut sama Ashran (kiri) dan Rozina (tiga dari kanan).
Kajian semula Dasar Automotif Negara akan seimbang peserta tempatan, luar negara

KAJIAN semula Dasar Automotif Negara (NAP) akan menyeimbangkan antara kepentingan peserta industri tempatan dan luar negara, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Mukhriz Mahathir.
Beliau berkata, kepentingan industri automotif tempatan tetap akan diberikan perhatian walaupun kajian semula itu antara lain bertujuan menarik kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam sektor itu.
“Setakat ini, sebahagian daripada peserta industri automotif tempatan sudah bersedia menghadapi liberalisasi menerusi NAP, terutama industri kenderaan hibrid dan elektrik berikutan langkah kerajaan melanjutkan pengecualian penuh duti import dan eksais sehingga Disember 2013 seperti diumumkan dalam Bajet 2012, baru-baru ini,” katanya sambil menambah pelaksanaan liberalisasi NAP akan diumumkan kerajaan kelak.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Anugerah ICT-AWANI kedua di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Usahawan dan Industri ICT Bumiputera Malaysia (NEF), Ashran Ghazi dan Pengurus Besar Astro AWANI, Rozina Aziz.

Mengenai masalah banjir di Thailand, Mukhriz berkata, pihaknya mendapat maklum balas daripada semua sektor termasuk automotif berhubung perancangan syarikat memindah pusat pengeluaran komponen dari negara jiran itu ke Malaysia.
Katanya, kerajaan menggariskan dua pilihan kepada syarikat berkenaan iaitu menggunakan sementara kemudahan yang ada di negara ini sehingga bencana di Thailand pulih atau membina kilang untuk pengeluaran komponen secara tetap.

“Peluang muncul di saat negara jiran menghadapi musibah. Namun, Malaysia tidak akan bertindak agresif untuk menarik syarikat pelbagai sektor beralih ke negara ini kerana tidak mahu dilihat sebagai mengambil kesempatan di atas bencana negara lain.

“Bagaimanapun, ia sebenarnya secara tidak langsung dapat mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terbaik berikutan kestabilan politik dan terlindung daripada potensi bencana besar,” katanya.

Sementara itu, Ashran berkata, NEF-AWANI kali ini dijangka menampilkan penyertaan lebih 200 syarikat selain penganjur memperkenalkan beberapa elemen baru berbanding edisi sulung tahun lalu.

“Antara elemen baru termasuk sesi temu bual membabitkan lima calon peringkat akhir yang dipilih bersama panel hakim untuk memilih mereka menjadi tiga finalis dalam setiap kategori,” katanya.

Anugerah kemuncak yang disiarkan secara langsung di Astro AWANI saluran 501 pada 12 Februari tahun depan dibahagikan kepada dua kategori iaitu ICT dan inklusif pilihan rakyat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: