Sunday, November 27, 2011

Hari Black Friday dicemari keganasan


SEORANG wanita berehat bersama barangan yang dibelinya selepas penat membeli-belah di Dataran Herald, New York kelmarin.


NEW YORK, AS - Hari membeli-belah dikenali sebagai Black Friday terpalit sejarah hitam buat pengguna di AS kelmarin selepas banyak pergaduhan tercetus ekoran orang ramai berebut-rebut mendapatkan pelbagai barangan seperti permainan video dan tuala pada harga runtuh.

Insiden di luar jangkaan berlaku di sekitar Los Angeles apabila 20 orang cedera selepas seorang wanita di sebuah pasar raya Walmart menggunakan semburan lada untuk mengusir pembeli-pembeli lain dalam perebutan untuk mendapatkan konsol permainan video Xbox.

Rangkaian pasar raya Walmart kecoh setiap kali jualan Black Friday tiba berikutan perilaku tidak bermoral pengunjung yang saling menjerit, menolak dan menyiku semata-mata kerana mahu menjimatkan beberapa dolar.

Selain Walmart, kekecohan turut direkodkan di sebuah kedai di negeri Michigan. Pembeli bergaduh untuk mendapatkan tuala dengan insiden tersebut mencetuskan sensasi di laman web YouTube.

Perebutan tuala murah turut menimbulkan kekecohan di kedai Walmart di bandar Oregon, Negeri Ohio.

"Mereka bergaduh kerana berebutkan tuala mandi yang dijual semurah AS$1.88 (RM6), sungguh tidak munasabah," kata seorang anggota polis, Sarjan Jason Druckenmiller.

"Seorang wanita cuba mendapatkan beberapa helai tuala apabila dia ditolak dari belakang, dia kemudian berpaling dan melepaskan beberapa pukulan," tambahnya.

Black Friday menandakan bermulanya musim membeli-belah sempena perayaan Hari Krismas di AS.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: