SENI CAKERA...topi dipakai Sarah ciptaan Philip Treacy begitu menonjol ketika dia menghadiri majlis makan tengah hari di Melbourne.
DIA memang dikenali ramai kerana gemar memilih fesyen aneh ketika muncul dalam siri popular, Sex And The City, tetapi tidak ramai menyangka bahawa Sarah Jessica Parker benar-benar menggemari gaya seperti itu.
Ketika aktres itu tiba di majlis makan tengah hari Kelab Crown Oaks di Crown Palladium, Melbourne baru-baru ini, barangkali tiada sesiapa pun gagal menoleh melihat kemunculannya.
Mengenakan topi rekaan Philip Treacy, Sarah kelihatan sangat berbeza dan mudah dikenali berbanding tetamu lain.
Sarah, 46, memang penggemar fesyen rekaan pereka Ireland itu.
Memakai pakaian ketat rekaan Chanel, ibu kepada tiga anak itu kelihatan menawan dengan pemilihannya - sehinggalah apabila topi di kepalanya dilihat.
Topi hitam berputar itu lebih kelihatan seperti cakera satelit berbanding penghias kepala dan ia jelas me-nyukarkan Sarah melihat kepada penonton ketika dia berada di atas pentas.
Pada satu ketika, bintang Failure To Launch itu mengangkat tangannya agak tinggi - barangkali untuk melegakan penonton yang bimbang dengan kedudukan topi itu.
Bagaimanapun, pemerhati berkata, Sarah ternyata tidak menghampakan kira-kira 1,500 hadirin - majoritinya wanita - yang teruja menanti kemunculannya.
Selain menanti ucapan Sarah, mereka juga tidak sabar-sabar mahu melihat bagaimana penampilan aktres itu di majlis berkenaan.
Sarah berada di Australia untuk mempromosi filem terbarunya, I Don’t Know How She Does It, selain menjadi tetamu istimewa Oaks Day - hari ketika karnival lumba kuda di Melbourne.
Menurut Sarah, dia berharap tidak menghampakan peminat yang selama ini memberikan sokongan dan layanan baik kepadanya.
Sementara itu, pereka topi terkemuka - Treacy - berkata, dia menghabiskan masa lebih 200 jam untuk mengadun sutera dan gentian bagi menyiapkan topi berkenaan.
“Fesyen bukan sekadar penampilan, tetapi ia juga mempunyai unsur suspens dan kejutan.
“Justeru, jangan berasa aneh jika Sarah akan mengejutkan orang ramai, terutama apabila dia sendiri adalah ikon fesyen yang hebat,” katanya.
Pada Mei tahun lalu, Sarah memakai topi hitam berjaring ketika muncul untuk tayangan perdana filem Sex And The City 2.
Pada 2008 pula, dia memakai rekaan berwarna hijau untuk ketika menyertai peminat menyaksikan tayangan perdana filem pertama siri komedi berkenaan.
Berbeza pada tahun ini.
Ketika menghadiri tayangan perdana Sex And The City tebaru di Melbourne, Sarah memilih untuk meninggalkan topinya di bilik hotel dan membiarkan peminat melihat bagaimana keadaan rambutnya.
Disesuaikan dengan baju pelbagai warna dan kasut tumit tinggi putih serta rantai manik, kemunculan Sarah mudah mempesona orang ramai.
Kata Sarah, kehidupannya di luar layar lebih kurang sama seperti yang dapat dilihat pada watak Kate Reddy dalam filem berkenaan.
“Saya selalu meninggalkan rumah dengan kasut bilik tidur atau comot makanan pada badan tanpa disedari.
“Pada hari tertentu, rumah saya seperti lokasi kejadian jenayah,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: