Friday, November 11, 2011

‘Fesyen pilihan terbaik teruskan karier’

CERIA...Kimora tidak menjadikan kehidupan lampaunya sebagai halangan untuk berjaya dalam hidup.
CERIA...Kimora tidak menjadikan kehidupan lampaunya sebagai halangan untuk berjaya dalam hidup.

SETIAP tindak-tanduk wanita lantang ini pasti mengundang bicara dan perbalahan baik di kaca televisyen, majalah mahupun forum Internet.

Sejak kecil lagi Kimora Lee Perkins sentiasa menjadi isu perbualan malah mangsa buli ketika di bangku sekolah kerana fizikalnya yang berbeza daripada kanak-kanak lain.

  • Foto

    BINTANG HATI...Aoki (kiri), Ming (tengah) dan Kenzo memainkan peranan penting dalam hidup Kimora.

  • Foto

    CERIA...Kimora tidak menjadikan kehidupan lampaunya sebagai halangan untuk berjaya dalam hidup.

  • Foto

    MAMPU MILIK...antara kasut dalam koleksi terkini JustFabulous yang digayakan Kimora, baru-baru ini.

  • Foto

    CEKAL...Kimora giat mengembangkan empayar fesyen dan kecantikannya menerusi jenama KLS.

Berdarah campuran Jepun-Korea di sebelah ibu dan Afrika-Amerika daripada bapanya, wanita dari St Louis, Missouri, Amerika Syarikat ini pernah dilemparkan bermacam kata-kata menyakitkan dek wajah, warna kulit serta ketinggiannya yang dianggap pelik oleh penduduk setempat.

Bagaimanapun, setiap elemen ‘pelik’ yang ada padanya itu dianggap sebagai luar biasa, menarik, unik dan eksotik di pentas peragaan dunia hinggakan berjaya menarik minat Karl Lagerfeld yang meletakkannya sebagai sumber inspirasi bagi pereka Chanel itu, sekali gus muncul supermodel paling muda ketika itu pada usia 13 tahun.


Kini berdiri atas nama Kimora Lee Simmons, ibu kepada Ming, Aoki dan Kenzo ini nyata bagaikan magnet kala hadir memeriahkan promosi musim keempat program televisyen popularnya - Kimora: Life in the Fab Lane di saluran E! Entertainment (setiap Selasa, jam 8.40 malam di Astro 712) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Setiap venue yang dihadiri wanita ceria ini berjaya mengundang ribuan peminat yang sanggup menunggu lama dan berasak-asak semata-mata untuk melihat keletahnya dari dekat.

Ikuti temu bual eksklusif Harian Metro bersama pengasas dan pemilik jenama KLS, Kouture dan JustFabulous ini di sebuah hotel sekitar Bukit Bintang, Sabtu lalu.

HARIAN METRO (HM): Anda adalah antara selebriti yang rajin melayan peminat di laman Twitter. Sejak tiga bulan lalu anda kerap menghantar tweet dalam bahasa Malaysia, antaranya ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri’, ‘Aku cinta kamu’, ‘Selamat hari jadi’, ‘Terima kasih’ dan ‘Kamu menakjubkan’. Adakah kerana Kimora: Life in the Fab Lane kini program realiti nombor satu di Malaysia atau ia satu strategi atau cara anda mendekatkan diri dengan masyarakat di negara yang anda kunjungi?

KIMORA LEE SIMMONS (KLS):
Saya langsung tidak tahu Kimora: Life in the Fab Lane menjadi pilihan ramai warga Malaysia sehinggalah saya tiba ke negara ini.

Sememangnya saya suka mempelajari budaya negara lain. Penggunaan bahasa Malaysia dalam akaun Twitter saya bermula ketika beberapa rakan beragama Islam mengatakan mereka akan meraikan sambutan Aidilfitri yang disambut penuh meriah di Asia, khususnya di Malaysia.

Jadi, saya cuba mempelajarinya perlahan-lahan. Saya tidak menggunakan terjemahan dalam Google tapi mendapat bantuan daripada rakan dan keluarga. Mereka yang banyak mencari terjemahan ayat itu.

Saya sentiasa tertarik dengan kepelbagaian bahasa dan dapati tidak sukar untuk mempelajari bahasa Malaysia.


HM: Anda bermula sebagai peragawati pada usia cukup muda. Jadi, apakah yang membuatkan anda beralih ke bidang rekaan dan perniagaan fesyen?

KLS:
Kata orang, kita akan lebih matang, pintar dan berani seiring usia. Dunia peragaan sememangnya membuka banyak peluang untuk saya. Ia juga adalah antara detik indah dalam hidup saya.

Tapi lama-kelamaan saya terfikir apa akan jadi pada diri saya jika tidak lagi mampu untuk berjalan di pentas peragaan atau menjadi model? Apa akan jadi pada hidup saya jika ditimpa musibah hinggakan langsung tidak boleh lagi meneruskan karier sebagai model?

Jadi daripada situ, saya mula mencari haluan baru iaitu membabitkan diri dalam bidang fesyen. Model dan fesyen sama seiring. Fesyen juga adalah antara subjek kegemaran saya, justeru ia pilihan terbaik bagi meneruskan kesinambungan karier saya.


HM: Anda dikenali di arena fesyen dunia, juga dalam bidang perniagaan dan televisyen. Selepas kejayaan Kimora: Life in the Fab Lane, adakah anda merancang untuk beralih ke program bual bicara?

KLS:
Program bual bicara sememangnya menjadi antara agenda utama saya untuk tahun depan. Saya sudah berbincang dengan beberapa wakil penyiaran di sini dan berharap dapat memulakannya di Asia Tenggara.

Penampilan saya di televisyen bermula sebagai kisah doku-drama (dokumentari dan drama) yang kemudian diubah menjadi siri realiti yang tidak begitu saya gemari kerana berasakan ia lucah dan terlalu menonjol ketika itu. Tapi saya cuba menerima konsep yang diketengahkan realiti televisyen dan lama-kelamaan dapat menerimanya.

Jadi, program bual bicara itu kelak sama sekali berbeza daripada apa yang saya lakukan ketika ini. Saya mahu melakukan sesuatu yang dapat mencapai lebih banyak rangkaian dan reaksi daripada pelbagai lapisan masyarakat iaitu dengan memperkasakan masyarakat khususnya wanita menerusi isu global yang akan dibincangkan.

Saya mahu program bual bicara itu nanti dapat memperkayakan lagi kehidupan kita. Saya pernah ke Malaysia sebelum ini bagi membantu mangsa tsunami.

Tragedi itu banyak memberi kesan mendalam dan mengubah pandangan saya secara dramatik. Justeru, saya berasakan program bual bicara itu mampu menghubungkan saya dengan orang lain.


HM: Anda wanita sukses dan punyai segalanya dalam kehidupan. Jadi apakah pengorbanan yang terpaksa anda lakukan untuk berada di tahap ini?

KLS:
Saya terpaksa mengorbankan banyak perkara. Paling utama - tidur! Tapi banyak juga perkara lain yang mesti diketepikan agar apa yang saya ingini tercapai.

Saya dibesarkan oleh ibu tunggal dalam keadaan memeritkan tapi percaya boleh lakukan apa saja kerana halangan utamanya adalah diri sendiri.

Sebagai wanita, kita boleh peroleh apa jua yang kita inginkan tapi ia perlu disertakan dengan keseimbangan dalam hidup, selain daya usaha berterusan, kerja keras dan berkawan dengan kumpulan yang betul.

Anda boleh lakukan apa saja, fokus kepada hadiah utama dan pada masa sama, jangan meninggi diri.


HM: Bagaimana pula dengan gaya berbelanja anda? Adakah anda seorang yang gemar membeli-belah dan memilih jenama tertentu?

KLS:
Sebelum ini saya suka membeli barangan berjenama serta pernah ke satu tahap saya berasakan setiap pembelian mewah itu dapat membuatkan saya lebih cantik dan menarik tapi hakikatnya tidak!

Kini, saya lebih gemar membeli barangan yang boleh digunakan untuk tempoh lama dan berbaloi untuk wang. Kasut merah saya ini (sambil menunjukkan kasut tumit tinggi yang dipakainya) hanya berharga AS$39 (RM122), ia daripada koleksi terkini saya bagi label JustFabulous.

Saya rasa wang tiada kaitan dengan stail. Jika anda mempunyai wang, bolehlah berbelanja besar tapi jika tidak, anda masih mampu kelihatan ‘fabulous’ (menarik) dengan busana yang jauh lebih rendah harganya. Paling penting anda perlu tahu bagaimana �menggayakannya.

Wang saya kini banyak dihabiskan untuk anak. Semuanya tertumpu kepada Ming, Aoki dan Kenzo kerana mereka adalah tunjang hidup saya.


HM: Di kaca televisyen, anda seorang wanita yang tegas, berani dan garang. Apakah yang paling anda takuti?

KLS:
Rasanya tiada. Saya tidak dikuasai ketakutan.


HM: Anda masih mengekalkan nama bekas suami, Simmons, sebagai nama pengenalan anda. Bagaimana hubungan anda dengan bekas suami (Russell Simmons) terutama selepas anda berkahwin dengan Djimon Hounsou?

KLS:
Kami banyak mengharungi susah senang bersama dan dia bukan saja rakan perniagaan yang baik tapi seorang sahabat serta bapa kepada dua anak saya.

Saya sering katakan kepada teman bahawa sayangi anak anda lebih daripada anda membenci bekas suami anda. Selepas bercerai kami menjadi sahabat yang saling bantu-membantu hinggakan teman wanitanya saya yang carikan!

Mengenai penggunaan nama Simmons di belakang nama saya, ia lebih bersifat �perniagaan. Saya tak akan sesekali membuang nama itu. Secara teknikalnya nama saya Kimora Lee Simmons Hounsou tapi jenama yang saya �bangunkan ialah KLS - Kimora Lee Simmons.

Tina Turner dan Ivanka Trump tidak pernah dikritik pun kerana menggunakan nama bekas �suami mereka, jadi tidak �perlulah nama saya �dipertikaikan.

Saya boleh menukar ke nama asal tapi ia akan mengelirukan rakan niaga saya. Nama itu juga amat bermakna dalam hidup saya dan Russell sendiri tidak kisah saya menggunakan nama keluarganya.


HM: 18 Mac diisytiharkan sebagai ‘Hari Kimora’ di bandar kelahiran anda, St Louis. Jadi biasanya apakah yang anda lakukan pada hari tu?

KLS:
Sebenarnya ‘Hari Kimora’ bukan saja diraikan di St Louis malah beberapa bandar antaranya di Atlanta. Bagi saya, setiap hari adalah ‘Hari Kimora’ dan ia perlu diraikan dengan penuh meriah.

Setiap wanita juga perlu �berasakan setiap hari adalah hari anda. Tidak perlu menunggu hari khusus untuk �meraikannya.



>Trivia

  • Ketika berusia 10 tahun, ketinggiannya mencecah 178 sentimeter, menjadikannya pelajar paling tinggi di sekolah. Kimora kini berketinggian 183 sentimeter.

  • Pernah tampil dengan peranan kameo dalam filem Beauty Shop, Waist Deep, Rebound, Brown Sugar, The Big Tease dan For Love or Money di samping klip video penyanyi Ginuwine dan Usher.

  • Kimora dan tiga lagi model kegemaran Karl Lagerfeld -Bernadette Jurkowski, Shoshanna Fitzgerald dan Olga Sobolewska pernah digelar The Four Karlettes.

  • Meninggalkan jenama Baby Phat sejak September 2010. Kini giat membina empayar fesyen dan kecantikan menerusi label KLS, Kouture by Kimora, Fabulosity, JustFabulous dan Shinto Clinical.

  • Sehingga kini akaun Twitter Kimora mencecah 808,961 pengikut.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: