|
JAKARTA - Buat pertama kali, lagu Negaraku berkumandang di bumi Jakarta apabila atlet karate, Shaharudin Jamaludin menyumbang pingat emas buat kontinjen Malaysia pada temasya Sukan SEA 2011 semalam.
Lebih manis, Shaharudin berjaya menebus kekecewaan kakaknya, Jamalliah yang gagal menyumbang pingat emas pertama Malaysia kelmarin selepas hanya mampu menyumbang gangsa.
Pingat emas pertama kontinjen Malaysia pada temasya dwitahunan kali ini yang diadakan di dua venue - Jakarta dan Palembang telah disumbangkan oleh penembak wanita negara, Nur Suryani Ahmad Taibi di Lapang Menembak, Kompleks Sukan Jakabaring, Palembang kelmarin.
Pada saingan akhir kategori kumite bawah 75 kilogram lelaki di Stadium Tenis Tertutup Senayan semalam, Shaharudin mengesahkan pingat emas menjadi miliknya apabila membenam cabaran atlet Vietnam, Nguyen Minh Phung dengan kiraan mata 5-2.
Sebelum itu, Shaharudin tampil bergaya apabila menyingkirkan atlet Thailand, Songwut Muntaen 9-1 di peringkat suku akhir sebelum menang 5-2 ke atas atlet Filipina, Mondolu Christo pada aksi separuh akhir.
Sejurus selepas disahkan sebagai pemenang, Shaharudin dilihat bersujud seketika di tengah gelanggang sebelum dia menjerit kegembiraan bagi meraikan kejayaannya itu.
"Emas yang saya menangi hari ini (semalam) untuk keluarga saya. Saya cukup bangga dan gembira kerana selepas beraksi dalam tiga Sukan SEA, kali ini saya berjaya meraih pingat emas.
"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada ahli keluarga saya, barisan jrulatih, pengurus dan rakan-rakan sepasukan yang selama ini banyak memberi sokongan kepada saya.
"Saya mahu berkongsi kejayaan ini bersama mereka termasuk rakyat Malaysia yang sentiasa menantikan detik-detik sebegini," jelas Shaharudin semalam.
Mengulas kembali perhitungan dengan Minh Phung, Shaharudin berkata, dia tampil dengan keyakinan yang tinggi selepas merakamkan kemenangan ke atas atlet Vietnam itu dalam kesemua empat pertemuan mereka sebelum ini.
"Selain rekod pertemuan saya dengan Ming Phung, saya juga menjadikan kegagalan Jamalliah semalam (kelmarin) sebagai motivasi tambahan untuk memburu kejayaan hari ini (semalam).
"Saya turun beraksi dengan semangat yang tinggi dan mahu membalas dendam kegagalan Jamallian dan saya gembira kerana akhirnya berjaya meraih emas," tambahnya yang membuat penampilan dalam dua temasya Sukan SEA sebelum ini.
Pada Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand, Shaharudin sekadar mampu menyumbang pingat gangsa dan dia sekali lagi mengulangi pencapaian tersebut pada Sukan SEA di Vientianne, Laos dua tahun kemudian.
"Jurulatih (P. Arivalagan) banyak memberi kata-kata semangat kepada saya di luar gelanggang dan ia ternyata melonjakkan motivasi saya bagi meraih emas," jelas Shaharudin.
Terdahulu, dua atlet negara, L. Kunasilan yang beraksi dalam kategori kumite bawah 67kg lelaki dan Shakkila Sani Jefry Krisnan (kumite bawah 68kg wanita) menyumbang pingat gangsa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: