Friday, November 4, 2011

Diganggu bau busuk sampah


SEBAHAGIAN penduduk di Taman Bukit Teratai, Ampang berkumpul bagi membantah masalah bau busuk baru-baru ini.


AMPANG JAYA – Penduduk di Jalan Teratai 1/2D, Taman Bukit Teratai di sini yang mendakwa diganggu dengan bau busuk sejak beberapa tahun lalu merayu Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) agar menyelesaikan segera masalah berkenaan.

Menurut penduduk, mereka terpaksa menghidu bau busuk setiap hari kerana kedudukan tong sampah besar yang diletakkan di tengah jalan di hadapan rumah mereka.

Seorang penghuni apartmen di situ, Liew Yoon Foon (gambar kecil), 49, berkata, bau busuk tersebut bukan setakat bau sampah malah turut dicemari oleh sisa ayam dan ikan yang dibuang oleh pengusaha gerai.

“Bukan peniaga di sini sahaja, peniaga dari kawasan luar turut membuang sampah di sini,” dakwanya kepada pemberita ketika ditemui baru-baru ini.

Dia yang tinggal di situ sejak lapan tahun lalu berkata, meskipun telah membuat aduan kepada MPAJ mengenai masalah itu namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

Seorang lagi penduduk, Wan Foong Chee, 66, berkata, tikus yang berkeliaran di kawasan tersebut menambahkan lagi kebimbangan penduduk.

“Setiap malam saya terpaksa menahan bau busuk. Kita juga bimbang bilangan tikus semakin banyak yang mungkin akan membawa penyakit berjangkit,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: