|
INI cerita tentang senario dan keputusan Anugerah Industri Muzik 18 (AIM 18) yang berlangsung pada malam Sabtu lalu. Sila lupakan tentang kontroversi nominasi yang tidak layak sebelum ini kerana anugerah tersebut telah pun berlangsung dengan jayanya. Justeru, yang harus diberi fokus hanya tentang keseluruhan anugerah yang diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu.
Mengambil kesimpulan penuh terhadap AIM 18, ucapan syabas harus diberikan kepada produksi dan juri yang memilih pemenang. Hampir semua pemenang layak untuk dipilih sebagai juara.
Dalam pada segelintir anak seni sudah mula pudar sokongan terhadap anugerah yang dianggap paling berprestij oleh golongan karyawan seni, AIM 18 seperti menebus kembali kekecewaan tersebut dengan senarai pemenang yang memang layak menerima pengiktirafan.
AIM 18 juga telah menunjukkan aprisiasi mereka terhadap generasi baharu yang tidak dipandang enteng apabila nama-nama seperti Aizat, Yuna dan Najwa, misalnya, berjaya merangkul lebih daripada satu anugerah. Lebih bagus, kemenangan mereka adalah hasil persaingan dengan barisan artis senior. Ia sekurang-kurangnya membuktikan bahawa muda atau tua, baharu atau lama, jika hasil karya berkualiti, maka itu yang diambil kira.
Penyanyi berusia 25 tahun, Yunalis Zarai adalah penyanyi yang menang besar pada anugerah tersebut. Selain memenangi Vokal Terbaik Wanita dan Lagu Terbaik (kedua-duanya menerusi lagu Penakut) dia diiktiraf sebagai 'duta kecil Malaysia' menerusi anugerah khas, Anugerah Kembara, kerana kelana dan dagangan muziknya jauh sehingga ke Amerika Syarikat.
|
|
Bagaimanapun, pertikaian timbul apabila lagu Penakut yang diiktiraf sebagai Lagu Terbaik tidak dipilih menjadi pemenang kategori Lagu Pop Terbaik. Ini kerana, kelaziman sesuatu anugerah, lagu dalam kategori kecil yang menang biasanya akan menjadi juara untuk kategori utama iaitu Lagu Terbaik.
Menjawab persoalan itu, Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola AIM 18, Rosmin Hashim berkata, kesemua lagu yang bertanding layak memenangi anugerah tersebut dan kemenangan Yuna itu merupakan satu kelainan untuk AIM 18.
"Semua lagu layak menang Lagu Terbaik, itulah kelainan yang dibikin dalam AIM 18 apabila lagu terbaik tidak dipilih daripada juara kategori setiap genre lagu. Pemilihan Lagu Terbaik ini dibuat oleh juri profesional yang dilantik oleh pihak AIM 18 dan pastinya mereka mempunyai alasan tersendiri mengapa lagu Yuna, Penakut dipilih sebagai pemenang," jawabnya.
Meskipun lagu Penakut memang berada dalam kelasnya yang tersendiri, namun hakikatnya lagu itu kalah kepada lagu Sedetik Lebih dendangan Anuar Zain dalam kategori Lagu Pop Terbaik memang tidak boleh diterima dek akal.
Bagaimana sebuah lagu yang kalah dalam kategorinya boleh memenangi kategori Lagu Terbaik.
Walaupun ramai yang tidak puas hati dan bising-bising kenapa tidak lagu tema filem Merong Mahawangsa itu menang atau juara-juara lagu kategori yang lain menang, kata pihak penganjur, juri yang menilai dipilih daripada golongan profesional yang sudah tentu sangat arif mengenai muzik dan siapalah kita untuk mempersoalkannya.
Yuna pula sangat tidak menyangka dia akan membawa pulang tiga trofi AIM 18 kerana menganggap dirinya masih terlalu mentah dalam industri muzik tempatan berbanding dengan penyanyi yang lain.
"Saya memang sangat gembira dengan kemenangan ini kerana perjalanan saya dalam industri muzik bukan mudah. Saya bekerja keras untuk memberi yang terbaik kepada diri dan peminat.
"Alhamdulilah, rezeki berpihak kepada saya. Apa yang saya boleh katakan adalah terima kasih kerana sudi mendengar dan memberi pengiktirafan terhadap nukilan isi hati saya," katanya tentang lagu yang mempunyai unsur eksperimental itu.
Najwa yang pertama kali memasuki anugerah ternyata pulang dengan kenangan manis. Menggondol dua anugerah iaitu Artis Baru Terbaik dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik menerusi lagu You Got To Go, gadis yang sentiasa tersenyum itu melahirkan keterujaannya.
"Saya bersyukur dengan kemenangan yang diterima dan saya berharap dengan penglibatan saya dalam AIM 18 ini, orang akan lebih mengenali muzik saya dan siapa Najwa. Kemenangan ini adalah bukti yang saya menang kerana bakat serta minat mendalam terhadap muzik, bukannya kerana saya ini merupakan anak kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin."
Tambahnya lagi, dia sedar akan ada pihak yang bercakap bahawa kemenangan dia kerana kedudukan bapanya. Namun realitinya, dia berusaha keras dan kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa kerja keras walau apa pun status seseorang itu.
"Ibu bapa saya memang memberi sokongan tetapi hanya kepada sokongan moral. Saya harap persembahan yang saya berikan dalam AIM 18 akan membuka mata orang ramai terhadap bakat saya," kata Najwa yang pulang ke Kuala Lumpur khusus untuk AIM 18 sebelum pulang semula ke Amerika Syarikat untuk menyambung pengajiannya.
Bagi pemenang Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) dan Lagu Pop Terbaik menerusi lagu Sedetik Lebih, Anuar Zain, kemenangan yang diraih memberi dia kejutan terutamanya dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki).
"Saya cukup terkejut dengan kemenangan dalam kategori tersebut kerana menganggap ia adalah satu persaingan sengit. Bagaimanapun, saya amat bersyukur dengan kemenangan ini," katanya penuh teruja.
Sementara itu, ketika diminta pandangan artis generasi muda terhadap AIM yang dianggap hampir memusnahkan kepercayaan segelintir karyawan muzik kerana terlalu bersifat politik dan hampir tidak masuk akal dengan pemilihan pencalonan, Aizat mempunyai suara tersendiri.
"Saya sentiasa menyokong AIM kerana ini adalah satu-satunya anugerah yang mengiktiraf dan menyokong pekerja di sebalik tabir. Melihat barisan pemenang pada malam ini, semua keputusan yang diberi adalah adil. Bagi saya sendiri, tercalon dalam anugerah ini sudah cukup bagus, dan apabila menang dalam dua kategori (Kulit Album Terbaik dan Video Muzik Terbaik), ia sudah memadai," ujar Aizat yang tewas kepada Anuar Zain menerusi lagu Sedetik Lebih untuk kategori Lagu Pop Terbaik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: