CERIA...Shahrum (kanan) dan Lye menyampaikan hadiah kepada Intan Shafinaz (kiri), Wan Nur Latifah dan Huriah (tengah).
KESUNTUKAN masa, tampak pelik dan tidak biasa melakukannya sering menjadi alasan di kalangan wanita negara ini jika diajukan soalan mengenai aplikasi solekan dalam kehidupan seharian.
Bagi mereka, solekan ringkas dengan bedak dan gincu sudah memadai kerana enggan menghabiskan masa terlalu lama di depan cermin serta tidak mahu menjadi topik perbualan jika bersolek rapi.
Akhirnya, wajah yang hanya disapu bedak dan dicalitkan gincu itu tampak kusam, berbelak malah tidak bermaya hingga perlu dirapi semula beberapa jam selepas itu.
Menurut Jurusolek Acara Khas Mac Cosmetics Malaysia, Shahrum Mohd Nor, teknik dan penggunaan produk yang betul dapat membantu wanita menyiapkan solekan dalam tempoh singkat.
“Penggunaan bedak asas yang betul serta memilih rona sesuai dengan warna kulit amat penting bagi memastikan solekan seimbang dan tidak terlalu menonjol untuk aktiviti siang.
“Tapi Mac percaya bahawa tiada peraturan dalam solekan. Anda bebas memilih apa jua warna serta gaya solekan yang digemari, asalkan ia sekata dengan ton kulit serta sesuai dengan aktiviti yang akan dilakukan,” katanya.
Ketika sesi pertandingan solekan di Karnival Gegaria, Kepala Batas, Ahad lalu, Shahrum yang dibantu jurusolek Mac cawangan Pulau Pinang, Chris Lye, menunjukkan cara menghasilkan solekan yang bukan saja ringkas tetapi memberi definisi berbeza pada riasan wajah.
“Untuk solekan harian yang mudah, beri tumpuan satu persatu pada kawasan khusus yang mengikut keutamaan - keseluruhan kulit, mata, pipi dan bibir.
“Kenal pasti zon yang perlukan perhatian khusus dan mulakan daripada situ,” ujarnya.
Untuk langkah pertama, semburkan Fix+ pada wajah bagi memberi kesan segar pada kulit. Semburan jenis cecair ini kaya vitamin dan mineral serta diadun bersama bahan yang boleh menenangkan kulit seperti teh hijau, timun dan kamomil.
Menariknya, semburan ini bukan saja digunakan untuk prasolekan tetapi boleh disembur selepas wajah lengkap dirias bagi memastikan wajah kekal segar dan berseri.
Seterusnya, sapukan bedak asas sama ada jenis cecair atau bedak untuk hasil kulit sekata. Tambah Shahrum, penggunaan bedak asas amat kritikal dalam solekan kerana ia boleh menjejaskan riasan lalu membuatkan struktur kulit tampak tidak licin, berbelak dan ton tidak sekata.
“Sebaik-baiknya gunakan berus atau span ketika meratakan bedak asas pada kulit kerana sapuan akan lebih sekata berbanding menggunakan jari,” tegasnya.
Riasan seterusnya dibawa ke zon mata, di mana hanya satu atau dua rona sudah memadai. Biasanya sapu warna terang di bahagian kelopak dalam dan rona gelap di hujungnya bagi menghasilkan gaya kontras.
Tidak lengkap solekan mata tanpa penggaris mata dan maskara. Dua perkara ini juga amat penting bagi solekan harian kerana ia boleh membuatkan wajah tampak berbeza.
“Ketepikan pembayang mata jika tidak gemar menggunakannya, tapi mesti digantikan dengan maskara dan penggaris mata. Penggaris mata dan maskara amat penting dalam solekan kerana ia mampu ‘membuka’ mata, sekali gus mencipta ilusi segar di kawasan itu.
“Penggaris mata juga boleh dipelbagaikan penggunaannya. Ia bertindak sebagai pembayang mata dengan hasil riasan smokey. Buat garisan sederhana pada garis bulu mata dan ‘comotkannya’ dengan berus atau jari.
“Cara ini bukan saja menggantikan pembayang mata malah memberikan efek solekan yang tidak keterlaluan,” katanya.
Seterusnya, pilih pemerah pipi rona lembut seperti pic-merah jambu dan perang tanah. Elakkan menyapu terlalu banyak rona merah jambu atau merjan kerana ia membuatkan pipi seakan-akan terkena selaran matahari.
Selain itu, elakkan pemerah pipi daripada jenis pigmen berkilau, sebaliknya pilih jenis yang menghasilkan kesan semula jadi.
Bagi melengkapkan gaya solekan harian, lapisi bibir dengan pengilat warna lembut. Seeloknya sapukan dulu gel rawatan atau pelembap bibir sebelum meneruskannya dengan pengilat.
Andai mahu bergincu, pilih rona sederhana gelap dan lapisinya dengan pengilat bibir rona lembut atau jernih.
“Penggunaan pengilat bibir sebenarnya lebih ringkas berbanding kombinasi bersama gincu. Penggunaan pengilat bibir Mac Lipglass juga sudah cukup kerana ia turut membantu memberi lembapan pada bibir menerusi minyak jojoba. Bibir juga akan tampak lebih mungil,” katanya.
Sementara itu, Huriah Abdul Shukor dari Ipoh, Perak muncul juara pertandingan solekan yang membolehkannya membawa pulang produk solekan tajaan Mac.
Jelas Shahrum, Huriah yakin kala menata wajahnya dan antara yang berani menggunakan rona gelap untuk hasil mata smokey.
“Dia bijak menggabungkan warna perang dan kelabu pada kelopak matanya dan riasan keseluruhannya sesuai dengan ton kulit. Bedak asas diratakan dengan baik, tidak berdebu dan tampak semula jadi,” katanya.
Intan Shafinaz Mohamed Noor dari Kepala Batas, Pulau Pinang pula tampil selaku naib juara manakala Wan Nur Latifah Mohamad Shah dari Kulim, Kedah di tempat ketiga.
Huriah Abdul Shukor, 29 tahun.
“Saya sememangnya meminati riasan smokey dan pernah belajar asas solekan daripada rakan beberapa bulan lalu. Tapi saya jarang bersolek kerana tidak yakin dengan penampilan diri serta tidak suka habiskan banyak masa untuk berdandan.
“Menerusi pertandingan ini, saya belajar banyak teknik ringkas tapi padat dalam menata rias wajah, apatah lagi ia dikendalikan jurusolek profesional.
“Saya kini mula menggunakan berus sejak melihat hasil yang lebih sekata ketika pertandingan itu serta makin berani mencuba gaya solekan berbeza.”
Intan Shafinaz Mohamed Noor, 24 tahun.
“Ini kali pertama saya melakukan solekan lengkap pada wajah kerana selama ini saya selasa bersolek ringkas kerana bimbang dilihat pelik oleh rakan dan jiran.
“Menariknya, saya kini mula berani menggunakan pembayang mata dan tidak sangka adunan warna lembut dan terang dapat menghasilkan riasan berbeza pada keseluruhan penampilan wajah saya.
“Paling saya gemari ialah sesi demonstrasi oleh Shahrum dan Chris yang banyak memberi tip penggunaan bedak asas dan pembayang mata.”
Wan Nur Latifah Mohamad Shah, 17 tahun.
“Sebagai pelajar, saya memang tidak biasa bersolek dan hanya menggunakan bedak padat bagi mengurangkan kesan cela pada wajah. Biasanya, saya cuma bersolek tebal ketika terbabit dalam aktiviti teater. Itu pun disolek oleh rakan.
“Pada awalnya saya malu untuk menyertai pertandingan ini tapi selepas didorong ibu, saya beranikan diri walaupun sedar tiada asas dalam solekan.”
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: