IKON tersohor yang terletak di bandar raya Rome, Itali, kini dijadikan antara destinasi wajib untuk dilawati setiap pelancong dan pencinta sejarah.
Bagi yang baru pertama kali mengunjungi kota warisan berusia lebih 2,500 tahun ini, perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Leonardo da Vinci di Fiumicini ke ibu kota Rome tidak mengambil masa yang panjang.
Ini kerana, lokasi kota Rome yang merupakan tiga destinasi paling popular dikunjungi di Eropah, hanya terletak kira-kira 35 kilometer untuk membawa pengunjung merentasi panorama sebenar kota yang terserlah dengan landskap bangunan silam, warisan sejarah, seni dan budaya.
Maka tidak hairanlah mengapa kota warisan peradaban Eropah ini sering menjadi impian kebanyakan orang untuk dijejaki.
Tidak dinafikan untuk ke sana belanja yang besar diperlukan pengunjung khususnya bagi mengembara ke seluruh pelosok kota tersebut.
Namun, kini Penerbangan Malaysia (MAS), ia menawarkan promosi tiket kelas perniagaan dan ekonomi untuk tempoh perjalanan bermula 12 November hingga 31 Disember ini.
Dengan tambang serendah RM3,000, mereka yang berminat boleh memenuhi impian untuk berjalan mengelilingi Rome di samping berpeluang menghayati seni dan budaya Greco-Roman yang cukup mengagumkan itu.
Medan gladiator jadi pilihan
Di zaman kegemilangannya, selain sebagai pentas teater, Colosseum cukup sinonim sebagai medan pertarungan pahlawan-pahlawan gladiator yang memilih binatang-binatang buas sebagai saingan mereka.
Namun semua itu tinggal sebagai cerita mitos yang menjadi kebanggaan rakyat Itali.
Bagi yang berminat untuk menjejaki kesan-kesan sejarah di sini, pengunjung Colosseum hanya perlu membayar tiket berharga RM39 (8 Euro) untuk melihat sendiri bangunan usang yang masih megah berdiri walaupun telah dimamah usia ribuan tahun.
Lapangan atau arena dalam Colosseum boleh memuatkan kira-kira 50,000 penonton dalam satu masa ketika zaman pemerintahan Empayar Rom kuno.
Antara keunikan lain pada bangunan empat tingkat itu, ia turut dilengkapi dengan kemudahan bilik bawah tanah, sistem mengangkat barang yang primitif dan kesan tinggalan yang pasti menghidupkan daya imaginasi setiap pengunjung terhadap kehidupan pemerintahan yang wujud pada era tersebut.
Selain Colosseum, Itali turut menjanjikan banyak destinasi unik dan menarik termasuk gereja-gereja lama seperti St. Peter Basilica yang terletak dalam negara paling kecil di dunia iaitu Vatican.
Kota Vatican cukup berbaloi untuk dilawati kerana dipenuhi dengan reka bentuk binaan kuno dengan hiasan seni hasil sentuhan seniman tersohor Itali, Michealangelo, Bernini dan Canova.
Berdiri setinggi 138 meter dengan kubah besar berdiameter 42 meter itu, ia dibina oleh maharaja Rome beragama Kristian yang pertama iaitu Maharaja Constantine.
Selain itu, pelancong juga tidak harus melepaskan peluang bersantai dan bersiar-siar di Dataran Piazza Navona yang terkenal dengan tugu air pancut.
Di sini mereka boleh duduk bersantai di kafe-kafe terbuka, restoran dan kelab hiburan di sekitarnya.
Malah lokasi itu turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran seniman jalanan seperti pelukis, pemuzik dan pelbagai lagi yang pasti menghiburkan.
Jika mempunyai masa terluang, pengunjung juga boleh mengunjungi Trevi Fountain, air pancut yang terkenal dengan legenda tersendiri.
Rakyat Itali percaya sesiapa yang mencampakkan syiling ke dalam kolam air pancut ini akan berpeluang kembali lagi ke kota penuh bersejarah itu.
Selain itu, kepuasan melancong tidak akan tercapai sekiranya pengunjung tidak melawat bazar Campo dei Fiori yang terletak di antara teater Pompey dan Sungai Tiber.
Tapak perniagaan yang bermula sejak kurun ke-15 itu menawarkan pelbagai barangan untuk dijadikan cenderahati.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: