Saturday, November 5, 2011

Carefree kembali


CAREFREE bakal dihidupkan kembali oleh (depan, dari kiri), Raja Rashid, Hadi dan Simon serta (belakang dari kiri), Charles Paiva dan Raja Rahman.


RINDU BAYANGAN dan Belaian Jiwa, lagu-lagu malar segar dari tahun 1979 hingga kini. Bukan saja menjadi pilihan warga sezaman kumpulan itu bahkan masih jua menjadi siulan generasi kini.

Carefree dan Jay Jay ibarat satu kombinasi ideal yang mempertaruhkan konsep berkumpulan bersama tujuh lagi anggotanya Simon Justin Leo, Charles Paiva, Raja Rahman (Boy), Raja Rashid (Wan), Nana Pawan Chik, Lokman Kimin dan Rahim Othman.

Namun, tanggal 31 Disember 1982, kumpulan yang telah menghasilkan tiga buah album iaitu Kebebasan, Kebebasan II dan Kebebasan III itu akhirnya terpaksa akur dengan perpecahan.

Memetik kata-kata bekas vokalis Carefree, Jay Jay dalam satu temu ramah dengan media semenjak perpecahan kumpulan itu, katanya: “Nak kumpulkan ahli asal Carefree bukannya senang kerana kami ramai. Jika nak menggantikan salah seorang daripada kami dengan orang lain memanglah mudah, tetapi saya tidak mahu kerana ia tidak tidak menunjukkan Carefree sebenarnya.”

Hakikat yang barangkali pahit untuk ditelan akhirnya kini menyanggah anggapan peminat mereka bahawa kumpulan itu sudah lama berkubur sejak perpecahan zaman 1980-an.

Kini, kumpulan itu tampil kembali menghidupkan kegemilangan Rindu Bayangan bersama seorang anggota baharu, iaitu komposer untaian lagu kumpulan Gula Gula dan Kriteria, Hadi Hassan.

Hadi yang juga merupakan adik kepada penyanyi tersohor, Salamiah Hassan diundang oleh empat orang bekas anggota kumpulan Carefree iaitu Charles Paiva (pemain keyboard), Simon Justin Leo (gitaris), Raja Rahman (drum) dan Raja Rashid (saksofon/seruling) menjadi vokalis dan pemain bass. Jay Jay bagaimanapun tidak akan menyertai Carefree yang baharu ini.

“Saya memang membesar dengan lagu lagu Carefree, maka tidak menjadi kekok apabila dipelawa untuk menyertai kumpulan Carefree.

“Terharu tapi saya tidak mengambil masa lama untuk membuat keputusan dan mengatakan ‘ya’!

“Saya harap peminat-peminat Carefree akan menerima saya sebagaimana kumpulan Carefree ini sendiri menerima dan menaruh kepercayaan terhadap saya,” katanya ketika pertemuan di studio rakaman Eight Tones Com munications Sdn. Bhd. di Kajang, Selangor baru-baru ini.

Album

Ditebak persoalan apa pula kelainan yang bakal dijamu peminat mereka, jawab Hadi pantas pastinya kelainan dari segi susunan muzik yang ternyata akan lebih segar.

“Muzik dan genre yang kami akan ketengahkan masih tidak lari dari trademark Carefree sebelum ini, tapi akan digabungkan dengan bunyi, stail dan momentum muzik terkini dan lebih matang,” tambahnya lagi.

Maka, pastinya melalui kemunculan semula Carefree, ada sesuatu yang telah direncanakan dari awal. Mereka akan kembali bersama naskhah karya terbaharu menjelang pertengahan tahun depan.

“Carefree sekarang dalam proses menerbitkan album dan jika tiada apa-apa halangan, album kami ini akan bertemu peminat pada suku pertama tahun 2012.

Buat pada masa ini kami sedang giat berlatih bagi memantapkan lagi persembahan Carefree,” cerita Hadi lebih lanjut.

Dalam pada itu, mengulas tentang perkembangan Carefree selepas berpecah, katanya mereka masih lagu wujud dan aktif membuat persembahan di majlis-majlis korporat.

“Carefree tidak pernah hilang, cuma Carefree tidak muncul d kaca TV dan juga persembahan awam. Carefree banyak menerima undangan majlis-majlis khas dan korporat.

“Dalam pada itu, kami banyak menerima cadangan daripada peminat yang mengesyorkan kami membuat kemunculan kembali. Kami rasa inilah satu hadiah yang tak sebeberapa daripada kami buat peminat,” katanya.

Berbalik pada proses pertemuan semula dengan peminat mereka, balas anggota kumpulan itu ketika ditanya mengenai perancangan membuat konsert, ia adalah satu impian dari dulu.

“Memang ia satu impian Carefree untuk mengadakan konsert khas. Kami rasa konsert adalah satu-satunya cara yang terbaik untuk mengumumkan kemunculan semula Carefree.

“Ianya akan mendekatkan kami dengan peminat dan pemangkin kemunculan semula Carefree! Tapi kita semua tahu bahawa bagi mengada konsert-konsert ianya akan melibatkan satu produksi yang besar.

“Carefree cuma boleh berharap agar ada badan-badan atau agensi korporat yang sudi bekerjasama dengan Carefree untuk merealisasikan impian ini,” getusnya yang tidak menolak sekiranya ada penyanyi tempatan ingin berkolaborasi dengan Carefree.

Carefree pernah popular menerusi lagu-lagu Aku Terpesona, Hanya Kita Berdua, Rayuan Kasih, Ke Disko, Joget Mak Enon, Tiada Lagi Air Mata, Joget Teruna Dara, Baju Hijau, Esok Masih Ada, Menyesal Tak Berguna dan Joget Anak Gembala.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: