KEMAMPUAN bakat lakonan pelakon kacak Tollywood, Surya pastinya tidak boleh dipersoal. Sejak penglibatannya dalam arena hiburan 13 tahun lalu, pelakon yang juga anak kepada pelakon veteran, Sivakumar ini sentiasa memberi komitmen terbaik dalam semua naskhah lakonannya.
Baru-baru ini, Surya didatangkan khas dari Chennai, India untuk bersama-sama menonton dan mempromosi filem terkininya, 7am Arivu. Filem yang mula ditayangkan pada hari Deepavali yang lalu, sudahpun mengatasi jangkaan dari segi kutipan dan tayangan.
Menariknya, filem ini turut mendapat sambutan hangat di kalangan penonton Tamil apabila ia mengangkat martabat dan keagungan seorang sami dari selatan India dan menetap di China.
“Kisah ini kisah benar tentang sami Buddha bernama Bodhidarma. Apa yang menarik tentang Bodhidarma selama ini tidak disedari ialah beliau adalah seorang sami berbangsa Tamil daripada Kanchi, pusat empayar Pallava pada tahun 440SM,” demikian kata Surya semasa ditemui di satu persidangan akhbar yang diadakan dengan kerjasama saluran televisyen berbayar Astro.
“Kalau bukan kerana filem ini, saya sendiri tidak mungkin mengenali keagungan Bodhidarma sama ada dari segi kemampuan mengubati seseorang mahupun bakat seni pertahankan diri yang menjadi asas kepada sami Shaolin di China sekarang.”
Filem yang berjaya mengekalkan tangga teratas filem keluaran Deepavali dengan ditayangkan di hampir 60 pawagam di Malaysia dan mencecah RM2.72 juta pada hari pembukaan pertama di Chennai, India ini terus menakluki pawagam tempatan walau sudah lebih dua minggu di tayang.
“Saya terharu dan gembira dengan respons yang diterima di Malaysia. Sudah pasti, Malaysia adalah antara negara selain India yang terus memberi sambutan kepada semua filem saya,” ujarnya yang baru pertama kali menyertai sidang akhbar di Malaysia.
Walaupun pernah melawat Malaysia beberapa kali, kebanyakannya untuk tujuan penggambaran, Surya akui dia teruja untuk bertemu dengan para pemberita tempatan.
Memberikan sedikit pemahaman tentang filem tersebut, Surya berkata tirai pembukaan filem tersebut bermula dengan plot 150 tahun yang lalu, mengisahkan Bodhidarma, (lakonan Surya sendiri) anak ketiga Raja Empayar Pallava yang menerajui seni pertahankan diri dan menghasilkan ubat-ubatan untuk merawat orang ramai.
Beliau dihantar ke China oleh gurunya untuk menghentikan sejenis wabak yang ketika itu menular di China. Selepas beberapa keajaiban, Bodhidarma diterima dan dihormati masyarakat di China.
Dalam filem ini turut didedahkan bagaimana Bodhidarma mengajar dan menyembuhkan penyakit, memperkenal kemahiran hipnosis dan latihan fizikal bagi sami-sami Shaolin.
Bagaimanapun, apabila Bodhidarma mengambil keputusan untuk kembali ke India, penduduk yang enggan membenarkan pemergian bertindak meracuni beliau dan disemadikan di tempat mereka dengan kepercayaan ia akan menjadi tempat suci bebas penyakit.
Bodhidarma menerima hakikat tersebut dan sehingga kini beliau masih popular sebagai ‘Damo’ di kalangan penganut Buddha dan sami-sami di China.
Adegan tersebut tamat di tempat semadi dan plot seterusnya kembali kepada adegan semasa yang menggambarkan watak Surya sebagai seorang pemain sarkas, pasangannya dalam filem ini, anak kepada pelakon hebat, Kamal Hassan, Shruti Hassan selaku Shuba Srinivasan dan pelakon aksi lagak ngeri Hollywood, Johnny Tri Nguyen selaku Dong Lee memainkan watak antagonis.
“Hubung kait yang dibawa dalam filem ini, antara kisah sami Bodhidarma beratus tahun dahulu dan watak pemain sarkas (Surya) amat menarik. Malah, lakonan Shruti Hassan juga telah menyuntik kesegaran walaupun ia merupakan filem pertama beliau,” jelasnya.
Dalam filem ini, antagonis Dong Lee ditugaskan menyerang India dengan menyebarkan sejenis virus yang mana dikenal pasti sebagai jenis penyakit yang sama pernah dirawat Bodhidarma pada zaman beliau.
Shuba Srinivasan (Shruthi Hassan) yang merupakan seorang pakar genetik dan biologis mendapati pewaris yang mempunyai DNA yang serupa dengan Bodhidarma mampu melumpuhkan penyebaran virus ini sekali gus menyerang balik si pembawa virus ini, Dong Lee.
Dong Lee dalam filem ini digambarkan sebagai seorang yang bukan sahaja berkemampuan membuat apa sahaja tetapi turut berkemahiran tinggi dalam seni pertahankan diri, 'Nokku Varmam' atau hipnotisme yang mana merupakan salah satu seni yang diperkenal oleh Bodhidarma sendiri kepada pengikutnya di China beratus tahun dahulu.
Bagi Surya, peluang berlakon dengan Johnny, yang juga pelakon lagak ngeri bagi beberapa filem Hollywood seperti Spiderman 2, X-Men First Class, Serenity dan sebagainya satu kelainan.
“Dia berjaya memaparkan kepelbagaian dalam filem ini. Di sebalik watak tradisi pelakon Tamil, penampilan Johnny bukan sahaja memberikan imej antarabangsa tetapi turut membawa filem ini kepada satu tahap yang lebih baik,” kata Surya merendah diri.
Dalam pada itu, Surya mengagumi kemampuan Johnny dalam adegan klimaks yang membabitkan pelbagai aksi lagak ngeri. Ketangkasan dan kepantasan gerak tangan dan kaki serta kemampuan Johnny dalam mendalami karakter Dong Lee, antara yang menarik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: