Saturday, November 26, 2011

Berakit tawar hadiah lumayan


PERTANDINGAN berakit ini akan bermula di Kuala Kangsar dan berakhir di Pasir Salak, Perak.


BUAT julung-julung kalinya, Majlis Penghuni Desasiswa Lembaran (MPDL), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak menganjurkan Ekspedisi Berakit Sungai Perak 2011 (EBSP 2011) pada 25 hingga 29 November ini.

Menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan hampir RM10,000, ia diadakan selaras dengan visi USM iaitu Transformasi Pengajian Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok.

Jurucakap program berkenaan, Kamaruddin Shah berkata, peluang penyertaan ekspedisi tersebut terbuka kepada pelajar USM dan orang luar termasuk wakil media.

Menerusi program itu juga katanya, para pelajar USM akan turut sama menyumbang kepada usaha melestarikan bumi untuk generasi akan datang.

"Secara tidak langsung, penyertaan pelajar USM dalam ekspedisi ini mampu memberi gambaran betapa pentingnya generasi sekarang menjaga dan memulihara sungai serta alam sekitar demi masa hadapan," katanya.

Kamaruddin menambah, EBSP 2011 juga terbuka kepada semua pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), kelab-kelab rekreasi atau sukan dari syarikat swasta atau syarikat-syarikat persendirian, serta jabatan-jabatan kerajaan dari seluruh Malaysia.

Membawakan tema Transformasi Demi Kelangsungan Alam, beberapa aspek berkaitan turut dititikberatkan. Antaranya adalah peserta tidak dibenarkan membuang sampah ke dalam sungai (markah akan ditolak), pengumpulan botol plastik air mineral untuk semua yang terlibat (kitar semula botol air plastik), serta aktiviti explorace yang melibatkan seni tradisi dan budaya masyarakat setempat.

Menurutnya, laluan ekspedisi bermula dari Kuala Kangsar ke Manong, seterusnya ke Bota dan berakhir di Pasir Salak Resort, Kampung Gajah. Keseluruhan laluan berakit di Sungai Perak itu melibatkan jarak sejauh 115 kilometer.


SUNGAI Perak bakal menyaksikan sebanyak 40 pasukan bertanding bagi merebut hadiah wang tunai keseluruhan hampir RM10,000.


"Sebanyak 40 pasukan telah mengesahkan penyertaan dengan setiap pasukan mesti mengandungi 10 anggota. Daripada jumlah itu, sebanyak enam peserta akan berakit, manakala baki empat peserta dikehendaki menyelesaikan tugasan dalam aktiviti explorace yang diadakan di darat," ujarnya.

Antara aktiviti explorace adalah membuat labu sayong secara tradisional di Kampung Kepala Bendang, Sayong pada 27 November; menyumpit dan anyaman bersama penduduk Kampung Orang Asli di Bota pada 28 November; dan menyelusuri sejarah di Muzium Sejarah di Pasir Salak pada 29 November.

Selain itu, katanya, aktiviti kemasyarakatan bersama penduduk setempat turut diadakan selain persembahan kebudayaan pada waktu malam.

"Pendaftaran peserta akan diadakan di Taman Rekreasi JPS Kuala Kangsar pada pukul 3 petang, 25 November, manakala keesokan harinya, aktiviti membuat rakit akan diadakan," terangnya.

Sementara itu, majlis pelancaran berakit akan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita Negeri Perak, Datuk Hamidah Osman pada pukul 9 pagi, 26 November di Taman Rekreasi JPS Kuala Kangsar.

"Selepas majlis pelancaran, para peserta akan berakit sehingga ke pekan Manong dan bermalam di Sekolah Menengah Sultan Tajul Ariffin, Manong.

"Dari Manong iaitu pada 28 November, peserta akan berakit menuju ke checkpoint kedua di Pusat Penternakan dan Pemuliharaan Tuntung di Bota dan bermalam di Dewan Serbaguna Bota.

"Pada hari terakhir iaitu 29 November, peserta dikehendaki berakit dari Bota menuju ke checkpoint akhir di Pasir Salak Resort, Kampung Gajah," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: