Dadah

KUALA TERENGGANU - Bekas pemain gitar kumpu­­­­­­lan rock yang terkenal pada era 90-an dihadapkan ke Mah­kamah Majistret di sini, semalam atas tiga pertudu­han termasuk memasukkan dadah ke dalam badan, memiliki heroin dan me­thamphetamine pada Rabu lalu.

Tertuduh, Mohamad Fai­rudz Ariffin, 39, hanya me­ngangguk faham sejurus semua kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa dihadapan Majistret Noradila Ab Latif.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, dia dituduh memiliki 10 tiub straw cerah setiap satu berisi serbuk putih disyaki heroin, berat kasar 0.4 gram dan tiga tiub straw cerah setiap satu berisi sebiji dadah disyaki methamphetamine, berat kasar 0.2 gram di sebuah rumah dekat Dungun pada 9 November lalu kira-kira jam 5.35 petang.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih daripada RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun jika disabitkan kesa­lahan.

Pada tarikh, waktu dan lokasi yang sama, dia juga dituduh memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam badan dan bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB serta boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika disabitkan kesalahan.

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Noradila seterusnya menetapkan 11 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi seorang penjamin.

Sebelum ini, tertuduh ditangkap bersama tiga lagi rakannya di lokasi berkenaan sempena Ops Tapis yang dijalankan anggota polis.