
ANTARA cinta, cita-cita dan pengorbanan, segalanya ada dalam naskah Badai Semalam. Semakin ralit menyelak sehelai demi sehelai novel yang cukup popular itu, semakin banyak emosi yang dapat dirasai tentang pengorbanan suci watak Mazni.
Tidak sekadar naskhah biasa, novel Badai Semalam telah meresap ke dalam jiwa sebahagian besar masyarakat kita. Novel yang berlatar belakangkan kisah tahun 1960-an ini masih hidup dan terus relevan dengan masa kini.
Konflik yang berlaku antara Mazni dan ibunya begitu menyayat hati. Ujian hebat datang apabila anak kepada majikannya, Karim mahu memperisterikan Mazni disebabkan kecantikan dan kepandaian gadis berhati waja itu.
Perkahwinan mereka mendapat tentangan daripada ibu Karim. Mana mungkin anak majikan akan berkahwin dengan anak orang gaji sedangkan Rohana cukup mementingkan darjat dan kelas.
Walaupun sudah menjadi isteri kepada Karim, Mazni tetap dengan cita-cita mahu menjadi doktor. Hidup seperti orang biasa pada sebelah siang, dan malamnya pula bertemankan buku untuk mengejar cita-cita.
Saat Mazni difitnah dan menerima ujian yang getir, ibunya pula meninggal dunia.
Apakah kesudahan yang berlaku pada Mazni setelah Karim kembali kepada perangai buruk yang lama? Apa pula terjadi pada Zaki yang berminat pada Mazni sejak dulu lagi?
Akan memulakan persembahan dari 11 hingga 20 November di Istana Budaya, Kuala Lumpur, Badai Semalam dilakon oleh Erra Fazira, Umie Aida, Aaron Aziz, Fizz Fairuz, Ziela Jalil dan ramai lagi.
Tumpuan besar pastinya terarah kepada pengarah persembahan, Khairulnazwan Rozdy serta Ramihidin Zahari, Erma Fatima dan Aminah Rhapor dan yang bertindak selaku penulis skrip.
Bukan tidak percaya pada keupayaan mereka, cuma apa yang diharapkan Badai Semalam mampu meruntun emosi seterusnya meninggalkan kesan mendalam kepada penonton yang hadir nanti.
Fizz Fairuz & Umie Aida sederhana
Biarpun belum lagi menemui peminat, Fizz Fairuz teruja kerana dalam sidang media kedua tempoh hari, hampir separuh tiket sudah mula terjual walaupun masih berbaki sebulan.
“Saya melihat watak Zaki ini biasa-biasa sahaja sama seperti watak yang saya lakonkan dalam teater Natrah dulu. Lelaki yang tak banyak cabaran dan hanya ikut keseluruhan jalan cerita.
“Watak seperti Zaki ini sudah biasa saya bawa. Tapi kepada peminat jangan pula tak datang tengok sebab teater ini berkisah dunia dan perjuangan remaja.
“Banyak babak menarik yang ada dalam naskhah ini yang patut kita ambil iktibar,” jelas Fizz Fairuz lagi.
Tidak mampu menahan perasaan teruja dan berdebar, Umie Aida yakin Badai Semalam mampu mencipta sejarah sebagai antara teater terbaik dipentaskan di Malaysia.
Perasaan itu terzahir pada raut wajah Umie Aida apatah lagi ini melibatkan produksi sulung syarikat yang diusahakan bersama rakan baiknya Erra Fazira dan Ziela Jalil.
Kalau dalam Natrah orang sudah tahu keberkesanan lakonan Umie, kali ini dia mahu dilihat dari sisi yang sedikit berbeza. Watak wanita yang mementingkan gaya dan kedudukan akan memberikan kelainan kepada Umie sendiri.
“Alhamdulillah setelah sebulan kami berlatih segala-galanya nampak lancar. Saya tahu ramai yang tak sabar nak lihat Erra Fazira dan Aaron Aziz atas pentas memandangkan mereka cukup popular.
“Saya memilih watak Rohana memandangkan ia sedikit lain jika nak dibandingkan dengan teater sebelum ini. Jadi cabarannya sedikit lain dan ia mengujakan saya,” tambahnya.
Ziela pejuang wanita
Menjadi ibu Mazni memberi cabaran kepada Ziela Jalil. Dia mahu emosi dipertontonkan nanti mampu menjadi pembakar semangat kepada orang lain untuk berjaya dalam hidup mereka.
Walaupun watak Bibah tidak banyak pergerakan kerana terlantar sakit, Ziela berjanji kepada peminat yang hadir nanti untuk merasai sendiri penderitaan yang ditanggung mereka anak-beranak.
“Macam watak Mazni, dia lahir dalam keluarga susah tetapi ada keazaman untuk berjaya. Setiap hari dia terpaksa berkorban kasih untuk memberi tumpuan pada keluarga dan cita-cita.
“Kalau kita lihat betul-betul, jarang kita jumpa kisah sebegini. Kisah yang tragis mampu memberi pengajaran kepada sesiapa sahaja untuk keluar daripada kepompong kemiskinan,” tambahnya lagi.
Kumpulan Utusan akan menjadi media rasmi bagi pementasan kali ini manakala stesen radio Sinar FM bertindak selaku stesen radio rasmi.
Tiket-tiket untuk menyaksikan teater tersebut masih dijual dengan harga antara RM30 sehingga RM300. Ia boleh dibeli menerusi laman sesawang www.ticket2u.biz atau di Istana Budaya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: