![]() |
| KEUNIKAN rekaan berlian dan batu pertama dari seluruh dunia dipamerkan buat kali kedua tahun ini di KLCC. |
FESTIVAL Barangan Kemas Antarabangsa Malaysia (MIJ11) yang diadakan setahun dua kali menemui para peminat barangan kemas untuk edisi ke-17 awal bulan ini.
Seramai 150 pengusaha dari serata dunia antaranya Malaysia, Hong Kong, Singapura, Dubai, India, Sri Lanka, Kemboja, Indonesia, Iran, Thailand, China, New Zealand dan Poland menyertai pameran barangan kemas terbesar di Malaysia itu.

Menurut jurucakap bahagian promosi MIJ11, Jessica Cheong, pengusaha barangan kemas dari Hong Kong, Indonesia, Iran, New Zealand dan Singapura menyertai MIJ11 untuk kali pertama, sekali gus membawakan lebih pilihan kepada pengunjung MIJ11.
"Keunikan rekaan barang kemas yang diilhamkan oleh para pereka telah menambahkan momen gemerlapan untuk MIJ11," katanya.
Menurut Jessica, bukan hanya keistimewaan reka cipta barangan kemas daripada pereka-pereka terkemuka tersebut menjadi perhatian, MIJ11 juga mempamerkan rekaan barangan kemas yang menyerlahkan ciri-ciri budaya keaslian negara masing-masing.

"Misalnya rekaan barangan kemas yang berasal daripada India, Sri Lanka dan Iran, rekaan-rekaan ini jarang didapati di pasaran barangan kemas di Malaysia.
"Justeru itu, inilah peluang keemasan untuk para pengunjung MIJ11 menikmati pengembaraan barangan kemas dari serata dunia sepanjang pameran berlangsung," katanya.
Dalam pada itu, MIJ Exhibition Sdn. Bhd. bertindak selaku penganjur pameran MIJ11 dan sebelum ini banyak terlibat dengan pameran barangan kemas yang terkemuka di Malaysia.
Dengan mempunyai pengalaman yang melebihi 16 tahun dalam industri pameran, MIJ Exhibition Sdn. Bhd dikenali dengan kepakarannya dalam penganjuran acara bertaraf antarabangsa seperti MIJ dan pameran barangan kemas antarabangsa di Amerika Syarikat, Sepanyol, Shanghai dan Hong Kong.
Pada 1997, Malaysia Book of Records telah memberikan gelaran penganjur pameran barangan kemas terbesar di Malaysia kepada MIJ Exhibition Sdn. Bhd. ekoran pencapaian unggulnya dalam mendorong pembangunan ekonomi negara dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju pasaran barangan perhiasan di Asia.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: