Tuesday, November 8, 2011

Air mata Khairul menitis di padang kawad


Cif Inspektor Mohd. Khairul Zaman Wahab


KALI pertama melangkah masuk ke Balai Polis Kota Damansara, terdetik di hati bahawa ini merupakan kali ketiga penulis menjejakkan kali ke balai polis itu.

Terletak di atas sebuah medan selera di Dataran Sunway, Kota Damansara, ia dilihat strategik dan mesra masyarakat untuk membuat sebarang aduan.

Tepat pukul 3.20 petang, penulis bersama jurufoto tiba di balai polis itu. Sambil disapa oleh seorang anggota, penulis kemudian dibawa bertemu dengan calon gaya polis kali ini Cif Inspektor Mohamad Khairul Zaman Wahab.

Memasuki pejabat beliau yang cukup kemas, memperlihatkan calon kali ini juga mempunyai taktik dan strategik yang 'kemas' untuk menjaga keamanan serta keselamatan Kota Damansara.

Ketika penulis cuba mengorek kisah pengalaman daripada Khairul, beliau agak keberatan dan menyatakan tiada yang istimewa untuk dikongsi.

Namun, Khairul kemudian terdiam sejenak seakan-akan berfikir sebelum memulakan bicara.

"Saya sendiri pernah terminum air peluh sendiri ketika kawad lintas hormat tamat latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, Jalan Semarak," ujar anak jati Sik, Kedah itu.

Tambah Khairul, ketika itu hujan sangat lebat tetapi semua pelatih perlu meneruskan kawad terbabit yang merupakan rutin wajib sebelum tamat latihan.

Katanya, beret yang dipakai selama setahun berada di Pulapol itu basah kerana air hujan lalu meleleh ke muka setiap pelatih termasuk beliau.

"Saya dapat rasakan air yang menitis itu masin dan sedikit payau kerana bercampur dengan peluh selama setahun beret itu digunakan.

"Perasaan saya ketika itu cukup terharu dan berkobar-kobar untuk menjalankan tugas selaku pegawai polis dengan dedikasi serta cemerlang," katanya dengan bersungguh-sungguh.

Khairul memberitahu, ketika peristiwa itu, beliau dapat merasakan airmata jantannya jatuh dalam hujan, kerana dapat menamatkan latihan sekali gus.

Ujar beliau, pengalaman itu merupakan satu dalam seribu dan antara kenangan manis beliau menyertai pasukan polis.

Tambah bapa kepada dua cahaya mata itu lagi, peristiwa 'terminum' peluh sendiri itu memberi kesan kepada dirinya dalam menjalankan tugas seharian hingga kini.

Jelas beliau, selaku manusia, prestasi kerja ada turun naik namun, apabila terkenang peristiwa itu, semangat muncul dengan segera.

"Kadang-kadang, dalam kerja saya pun ada hilang fokus, namun jika terkenang keluarga di rumah dan peristiwa di Pulapol itu, ia seakan-akan memberi pendorong kepada saya.

"Pendapat saya, jika kita minat sesuatu pekerjaan kita akan melakukannya dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh," ujarnya.

Terpaksa berasingan dengan isteri 4 tahun

Sebelum menyertai pasukan polis, calon gaya polis kali ini juga merupakan seorang penguat kuasa Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selepas tamat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Bekerja selama dua tahun dalam bahagian penguatkuasaan Jabatan Imigresen itu, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTm), Shah Alam sebelum tamat dan bekerja di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Tambah beliau, ketika menyertai Jabatan Imigresen, Khairul sangat berminat untuk menyertai pasukan polis tambahan kerana empat birasnya merupakan pegawai dan anggota polis.

"Ketika bekerja di KBS, saya nekad mengambil keputusan menyertai pasukan polis. Semasa menjalani latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol), isteri saya tengah lapan bulan mengandung anak sulung kami.

"Semasa melahirkan anak, saya tidak dapat berada di sisinya kerana baru sebulan menjalani latihan.

"Alhamdulillah, isteri saya seorang yang sangat memahami dan dapat menerima perkara itu," katanya sedikit terkilan dan hanya melihat anak sulungnya empat bulan selepas dilahirkan.

Sepanjang awal perkahwinan mereka, beliau dan isteri menghadapi pelbagai cabaran kerana tidak tinggal satu bumbung selama hampir empat tahun.

Masakan tidak sewaktu berkhidmat sebagai pegawai Cawangan Khas di IPD Klang, isteri beliau pula terpaksa melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dalam perguruan.

"Memang kami akan berjumpa sekali sekala sahaja dan hidup berasingan hampir empat tahun. Mujurlah, masing-masing memahami tugas tanpa sebarang keluhan," jelasnya dengan nada romantis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: