Monday, November 7, 2011

Aidiladha disambut sederhana


ORANG RAMAI berpusu-pusu untuk mendapatkan daging korban sempena Hari Raya Aidiladha di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Hari Raya Aidiladha semalam disambut seluruh masyarakat Islam secara sederhana dan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi kemungkinan banjir ekoran keadaan cuaca yang diramalkan tidak menentu di kebanyakan negeri.

Biarpun kedatangan Hari Raya Korban tetap diraikan, beberapa negeri di utara tanah air yang sebelum ini dilanda cuaca buruk tetap berwaspada berikutan hujan yang diramal turun pada sebelah petang.

Bagaimanapun, cuaca baik di kebanyakan negeri pada sebelah pagi membolehkan umat Islam menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha diikuti ibadah korban dengan menyembelih lembu dan kambing dalam keadaan selesa.


PENDUDUK kampung bergotong-royong memotong daging korban pada program Kasih Korban 2011 anjuran Islamic Aid Malaysia dan Syarikat Etiqa Takaful Bhd. di Kampung Jawa, Batu 18, Hulu
Langat, Selangor semalam


Kira-kira 10,000 orang ramai termasuk warga asing segak dengan pakaian berwarna warni bersama-sama memenuhi Masjid Negara di sini bagi menunaikan solat sunat Aidiladha.

Cuaca yang redup di sini memudahkan pergerakan orang ramai yang mula tiba seawal pukul 7 pagi bagi menunaikan solat itu yang diimamkan oleh Imam Masjid Negara, Ehsan Mohd. Hosni sebelum beliau menyampaikan khutbah bertajuk: 'Aidiladha: Mengerat Perpaduan Ummah'.

Sementara itu, di Kuala Terengganu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah bersama kira-kira 2,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang di sini.

Sambutan hari raya agak meriah kerana cuaca agak baik dan hujan yang berhenti sejak malam tadi memudahkan umat Islam melakukan ibadah korban.

Di Perlis, Aidiladha disambut secara sederhana dengan cuaca cerah membolehkan umat Islam menunaikan ibadah korban di segenap kampung dan taman perumahan dengan sempurna selepas menunaikan solat sunat hari raya.


SEKUMPULAN kanak-kanak riang mendapat daging korban selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Azim di Melaka semalam.


Ribuan ternakan terutama lembu dan kambing dikorbankan tahun ini termasuk 45 ekor lembu yang disumbangkan oleh kerajaan negeri dan 42 ekor yang disumbangkan oleh Ahli Parlimen Arau, Datuk Ismail Kasim.

Di Shah Alam, kira-kira 10,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di masjid negeri, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Di Alor Setar, Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah menyertai ribuan umat Islam di Alor Setar menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Zahir di sini.

Di Johor Bahru, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menunaikan solat Aidiladha bersama-sama lebih kurang 2,000 rakyat jelata di Masjid Sultan Abu Bakar di sini.

Di Kota Bharu, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mengambil kesempatan beramah mesra bersama rakyat jelata sebaik sahaja menunaikan solat Aidiladha di Masjid Muhammadi di sini.

Di Ipoh, Pemangku Raja, Raja Dr. Nazrin Shah dan Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama lebih 3,000 rakyat jelata di Masjid Sultan Azlan Shah di sini.

Di Pulau Pinang, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 2,000 umat Islam di Masjid Negeri Pulau Pinang di sini.

Di Kuala Pilah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti di sini.

Di Melaka, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menyertai kira-kira 7,000 muslimin dan muslimat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: