Thursday, August 4, 2011

Ubah suai rumah jadi balai cerap


BAHAGIAN bumbung rumah yang diubahsuai menjadi balai cerap.


MEMILIH hobi pelik yang tidak diceburi ramai bukan laluan mudah untuk ditempuhi. Namun kegigihan dan keazaman seorang pemuda membuktikan minat yang diceburinya bukan sekadar mengisi masa lapang.

Shahrin Ahmad, 36, mungkin nama yang tidak dikenali umum tetapi di kalangan peminat astronomi tempatan, beliau merupakan salah seorang daripada pemain yang cukup berpengalaman.

Berkat kesungguhannya mendalami ilmu falak sejak dari bangku sekolah, beliau kini mampu 'mengembara' jauh ke ruang angkasa dan menyaksikan kejadian-kejadian yang tidak pernah dilihat oleh kebanyakan kita.

Itulah sebahagian kepuasan yang dikecapi beliau selepas lebih 25 tahun berkecimpung dalam bidang astronomi, bidang yang sering dianggap hanya layak diceburi mereka yang bergelar saintis.

Shahrin bukanlah seorang saintis. Bahkan dia tidak pernah menerima apa-apa pendidikan astronomi secara formal. Apa yang dimiliki beliau adalah semangat ingin tahu tentang apa yang berlaku di luar pandangan matanya.

"Astronomi tidaklah seperti bidang membuat roket. Ia sekadar minat pada apa yang ada di langit. Sesiapa pun boleh menceburinya," kata Pengasas Falak Online iaitu portal astronomi tempatan ketika ditemui di rumahnya di Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur.

Pertemuan baru-baru ini genap setahun selepas perkenalan semasa pencerapan anak bulan di Pantai Teluk Kemang, Port Dickson, tahun lalu. Acara tahunan yang turut disertai oleh para penyelidik dan peminat astronomi.

Aktiviti seperti itu sudah menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan Shahrin. Keghairahannya mencerap juga telah membawa beliau ke beberapa negara seperti Turki, Australia dan China.

"Ada masa saya terpaksa meninggalkan keluarga sehingga lewat tengah malam untuk keluar mencerap.

"Saya bernasib baik kerana mempunyai isteri dan anak yang memahami minat saya,"jelas bapa kepada tiga anak yang juga aktif memberi ceramah astronomi di seluruh negara.

Namun sejak kebelakangan ini, beliau mengakui agak sibuk dan tidak keluar mencerap seperti selalu. Masa yang ada lebih banyak dihabiskan di bahagian loteng rumah yang diubah menjadi balai cerap.

Balai cerap persendirian yang dibina dengan kos kira-kira RM18,000 itu disiapkan pada Febuari lalu, namun masih banyak perkara perlu diselesaikan di bilik seluas bilik bujang itu.

Bilik dengan bukaan bumbung bergelongsor (beroda) itu menempatkan enam buah teleskop yang dianggarkan bernilai kira-kira RM40,000. Salah satu daripada peralatan itu adalah teleskop pertama yang dimiliki beliau sejak berusia 11 tahun.

"Peralatan ini boleh digunakan untuk melihat objek paling jauh yang ada di cakerawala seperti bintang, planet, nebula, komet, bulan dan matahari," katanya sambil menekan beberapa butang di komputernya.

Kawalan eletronik yang dilakukan itu kemudian menggerakkan 'lengan-lengan' yang memegang teleskop. Pergerakan teleskop yang berputar mengesan koordinasi itu tidak ubah seperti robot. Pada petang itu, Shahrin 'membawa' matahari betul-betul di hadapan mata.

"Dengan menggunakan kamera khas dan kamera digital lensa refleks tunggal (DSLR), kita boleh merakam pelbagai objek yang ada di langit," kata bekas pelajar Sains Komputer, Universiti Putra Malaysia itu.

Menurut Shahrin, dengan peralatan fotografi yang baik seperti itu peminat astronomi boleh mengintai dan merakam kira-kira 5,000 objek terang yang ada di langit.

"Dahulu saya juga meragui kesahihan gambar astronomi yang didedahkan Barat tapi sekarang saya dapat melihatnya sendiri melalui teleskop ini," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: