Thursday, August 4, 2011

Mengembangkan astronomi


TELESKOP bukanlah perkara yang paling penting di dalam dunia astronomi.


SELAIN menghabiskan masa mencerap keindahan di langit, satu lagi kepuasan Shahrin Ahmad melalui hobinya itu adalah berkongsi pengetahuan bersama mereka yang meminati bidang astronomi.

Matlamat beliau adalah untuk memberi pendedahan kepada orang ramai tentang keajaiban ilmu kaji bintang yang penuh dengan misteri dan hubungkait dengan manusia itu.

Bermula dengan ceramah pertama pada Februari 2003, penglibatan Shahrin melalui ceramah, forum, bengkel dan kem pencerapan terus berkembang dan semakin diminati khususnya di peringkat sekolah.

Pada tahun lalu sahaja, beliau menerima tidak kurang daripada 30 jemputan sebagai penceramah bebas di seluruh negara.

Kebanyakannya melibatkan agensi seperti Jabatan Mufti, Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Planetarium Negara, kelab Astronomi, sekolah dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Menurut Shahrin, berkongsi pengetahuan astronomi adalah pengalaman yang cukup menarik kerana ramai yang ingin mengetahui dan taksub dengan apa sahaja topik yang dibincangkan.

"Apa sahaja yang ada di luar atmosfera bumi boleh menjadi bahan ceramah yang menarik kerana tidak ramai yang tahu mengenainya.

"Pelajar sekolah misalnya antara golongan yang cukup meminati cerita tentang planet, bintang dan galaksi,'' katanya.

Selain memberi ceramah, beliau juga menggunakan pendekatan secara praktikal di mana peserta diberi peluang mencuba peralatan mencerap seperti teleskop.

Selain itu melalui ceramahnya, Shahrin juga berharap untuk memperbetul tanggapan masyarakat mengenai astronomi yang sering disalahanggap sebagai hobi mahal dan sukar untuk dipelajari.

"Ilmu astronomi sememangnya tiada sempadan. Tapi ada banyak cabang (bidang pengetahuan) untuk diceburi sebagai permulaan,'' katanya.

Nasihat beliau kepada yang ingin menceburi astronomi sebagai hobi adalah dengan melakukan banyak pembacaan dan merujuk mereka yang sudah berpengalaman.

Salah satu daripada sumber yang menyediakan pelbagai maklumat mengenai bidang itu adalah Falak Online yang dikelolakan sendiri olehnya sejak 12 tahun lalu.

Laman yang memuatkan forum perbincangan, gambar-gambar teleskop, pengumuman, aktiviti semasa dan berita-berita astronomi terkini itu merupakan portal astronomi amatur utama di negara ini.

"Mereka yang berminat boleh mendaftar diri (percuma) untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai astronomi.

"Terpulang kepada anda sama ada untuk membaca atau bertanyakan soalan kepada mana-mana ahli,'' ujarnya.

Selain aktiviti di alam siber itu, pertemuan juga diadakan di kalangan ahli komuniti terutama melalui aktiviti pencerapan komet atau melihat gerhana.

Peminat astronomi juga diberi pendedahan mengenai fotografi astronomi (astrofotografi) yang membolehkan gambar bintang dirakam menggunakan kamera digital biasa.

Maklumat lanjut mengenai dunia astronomi dan apa yang sedang berlaku di dalam komunitinya boleh dilihat di laman web www.falak-online.net/portalfalak/.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: