![]() |
| Selain lagu, kehadiran Brandon Boyd juga merupakan 'umpan' untuk menarik peminat-peminat Incubus menikmati konsert. |
BERTARAF lima bintang! Itu yang dapat digambarkan terhadap persembahan kumpulan Incubus sempena kunjungan mereka bagi menjayakan konsert Incubus Live in Kuala Lumpur baru-baru ini di Stadium Negara.
Bukan mahu membodek artis luar negara, tetapi ia dapat dibuktikan melalui wajah setiap peminatnya yang rata-ratanya pulang dengan senyuman puas.
Bukan sekadar teruja menikmati persembahan daripada kumpulan yang berasal dari Calabasas, California ini di depan mata.
Tetapi kerana dapat berkongsi kualiti muzik mereka yang boleh dianggap umpama memasang album di radio.
Terdahulu, kumpulan tempatan, Rosevelt diberi peluang untuk muncul di atas pentas sebagai artis jemputan sekali gus membuka tirai konsert pada malam itu.
Menyajikan persembahan yang cukup bertenaga, set selama 45 minit langsung tidak disia-siakan lima anak muda tempatan ini selepas dipilih oleh pemain gitar Incubus, Mike Einziger.
Dapat dilihat, penonton yang menjadi isi stadium terutama di kalangan wanita seakan-akan diserang histeria tatkala kelibat vokalis kacak Incubus, Brandon Boyd memunculkan diri di atas pentas.
Memulakan persembahan dengan lagu berjudul Megalomaniac tepat pada pukul 9 malam, Boyd kemudiannya meneruskan nyanyiannya menerusi lagu Wish You Were Here.
Difahamkan, kedua-dua buah lagu ini merupakan lagu wajib setiap kali mereka membuat persembahan pembukaan di setiap destinasi konsert jelajah mereka.
Menerusi lagu Pardon Me, penonton dilihat begitu teruja menikmati persembahan lagu tersebut apalagi ia mendapat sentuhan pemain turntables, DJ Kilmore selain ditambah dengan efek-efek bunyian ‘kotor’ penangan gitar Einziger.
Kawalan bunyi komposisi lagu ini dilihat lengkap apabila Boyd mempamerkan bakatnya menyanyi rap.
Ternyata Pardon Me menggamit nostalgia sekali gus menyaksikan betapa Incubus begitu kreatif bereksperimen dengan bunyian pelik ketika di awal kemunculan mereka.
Sebaik tamat, Einziger tak mengambil masa lama untuk memetik riff single hit mereka pada tahun 2006 berjudul Anna Molly yang mengundang nyanyian penonton yang bersatu dalam gema.
Paduan muzik dan vokal dilihat begitu signifikan apabila mereka meneruskan persembahan dengan lagu Promises, Promises yang dipetik dari album terbaru berjudul If Not Now, When?
Mungkin ada yang tak tahu, bahawa single ini merupakan lagu pertama yang dimainkan di Asia selepas album tersebut dilancarkan pada 12 Julai lalu.
Dalam beberapa selingan, vokalis berusia 35 tahun itu, meski tidak banyak berkomunikasi dengan penonton, Boyd sedaya upaya tidak mahu suasana tampak janggal.
Lalu, ucapan terima kasih menjadi penghubung antara dia dan peminat yang berada di bawah pentas sebelum menyampaikan lagu Thieves dan Wolves dalam set seterusnya.
Konsert dimeriahkan lagi dengan dendangan lagu Glass yang dipetik daripada album terbaik mereka sepanjang zaman hits album S.C.I.E.N.C.E yang diterbitkan pada tahun 1996.
Mengundang kehangatan malam menerusi lagu itu, Boyd ternyata berjaya memancing peminatnya yang rata-rata bingkas bangkit ‘melayan’ lagu tersebut dalam emosi sendiri.
Ternyata mereka cukup bijak mengatur senarai lagu kerana rata-rata peminat tegar mereka sememangnya menantikan Incubus untuk memainkan sekurang-kurangnya satu lagu daripada album terhebat sepanjang zaman ini.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: