Sunday, August 7, 2011

Berhibur di tengah sawah


HATTAN dan Ramli Sarip menganggap persembahan di Kemaman sebagai satu pengalaman istimewa sepanjang kerjaya seni mereka.


INI merupakan pengalaman yang tak mungkin dapat dilupakan oleh sebahagian besar artis tempatan. Mengadakan persembahan di tengah-tengah sawah padi, dikelilingi oleh ribuan peminat, satu catatan baru dalam perjalanan kerjaya mereka. Ada di antara mereka yang langsung tidak pernah terfikir mengenai perkara ini tetapi cukup berbesar hati diberi kesempatan ini.

Biarpun kawasan sawah yang sudah kering selepas musim menuai, masih ada air bertakung di bawah jerami kering itu. Kalau tersalah jalan, habis lencun kasut dimasuki air.

Bagi artis wanita, merekalah yang paling berhati-hati. Mana tidaknya, kasut tumit tinggi tiga inci boleh terbenam di tapak konsert kalau tak kena caranya. Memang pengalaman yang cukup menarik.

Tapi ada yang lebih menarik. Bagaikan tidak percaya apabila hampir 10,000 penduduk di kawasan sekitar yang datang ke sini untuk menyaksikan konsert yang cukup istimewa ini.

Inilah yang berlaku pada 29 Julai lalu di Kampung Dadong, Kemaman, Terengganu.

Konsert yang mempunyai tarikan tersendiri itu diadakan di atas kawasan bendang di kampung berkenaan dan ia diadakan bersempena Karnival Emping 2011 anjuran Parlimen Kemaman.

Karnival selama tiga hari bermula 28 Julai itu dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada majlis terdahulu.

Antara artis yang terlibat kali ini termasuklah Ramli Sarip, Hattan, Black Mentor, Zarina AF2 dan Lena AF9. Konsert yang diacarakan oleh Yus Jambu dan Acong itu turut diiringi oleh Rody dan Acap daripada kumpulan Kristal serta band Super Friends.

Konsert yang bermula lebih kurang pukul 9 malam itu cukup gamat dengan persembahan pembukaan oleh Yus dan Acong. Tidak putus-putus mereka mengusik sesama sendiri sehingga membuat hadirin yang ada tidak kering gusi.

Pentas kemudiannya diambil alih oleh Lena yang cukup popular dengan lagu Sisa Kisah Kita. Suara serak-serak basah yang dimiliki oleh Lena cukup untuk memukau penduduk yang hadir pada malam tersebut.

Siapa kata Blacak sudah tak popular? Kalau mendengar sahaja jerit pekik pada malam itu, memang cukup ramai peminat yang suka pada penyanyi yang cukup popular dengan lagu Aku Rindu Sayang Kamu ini.

Namun paling mencuri tumpuan pada malam tersebut ialah persembahan Zarina AF2. Bukan lagu Penawar Rindu yang jadi perhatian tetapi lagu Goyang Inul cukup untuk menggamatkan seluruh kawasan sawah dengan gelekan manja penyanyi itu.

Hattan meneruskan persembahan dengan lagu-lagu popularnya. Cuma kali ini dia cukup bertuah apabila Shabery sendiri sudi berduet bersama Hattan menerusi lagu Kepadamu Kekasih.

Seperti biasa, kemunculan Ramli Sarip sebagai artis terakhir yang membuat persembahan cukup untuk memberikan klimaks kepada keseluruhan konsert. Berilah lagu apa, pasti persembahan lelaki yang digelar Papa Rock itu akan berhasil.

Cuma tumpuan pada malam itu turut tertancap pada gandingan dua beradik ini. Rody mahupun Acap cukup hebat mengiringi persembahan artis pada malam tersebut. Tidak mustahil untuk mereka menjadi pemuzik terhebat pada masa hadapan.

Bagi penyanyi yang cukup dikenali dengan lagu Gerhana ini, dia sebenarnya teruja dan cukup gembira dengan konsert kali ini memandangkan kebanyakan daripada mereka

“Sepanjang bergelar artis lebih 25 tahun, inilah kali pertama saya membuat konsert di tengah sawah. Belum pernah lagi dalam sejarah saya terlibat dalam konsert sebegini rupa dan ia pengalaman yang cukup hebat.

“Kalau tengok pada penyanyi baru hari ini, mereka dah tak banyak pengalaman macam ni. Ramai yang buat show di tempat yang ada kelas sahaja. Mungkin ini akan menyuntik kelainan dan memberikan dimensi baru pada mereka,” jelas Hattan lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: