Sunday, August 7, 2011

Nostalgia indah Ramadan




Sudah masuk seminggu semua umat Islam menjalani ibadat puasa. Bagi yang berjauhan dengan keluarga pasti akan teringat suasana kemeriahan menjalani ibadah puasa di tempat masing-masing.

Penghias ruangan Kacak Bergaya minggu ini, Shahin Akhavan juga ada kenangan terindah semasa berpuasa bersama keluarga di Tehran, Iran.

“Sepanjang bulan puasa ada sahaja keluarga yang mengundang berbuka puasa di rumah mereka. Mereka akan memasak lebih dan menjemput keluarga dan kenalan berbuka bersama-sama mereka.

“Selepas itu keluarga lain pula mengundang berbuka di rumah mereka. Keluarga saya juga turut mengundang orang datang berbuka di rumah. Memang amalan itu antara yang boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Itulah antara nostalgia Ramadan yang paling indah untuk saya ingati. Tapi kini saya di Malaysia, pasti saya akan merindui masa-masa itu. Saya difahamkan budaya macam itu juga ada dalam masyarakat di sini,” kata Shahin.

Shahin sudah tiga tahun bermukim di Malaysia untuk menyambung pengajian di sini. Selepas tamat kursus bahasa Inggeris dia mengikuti pengajian di universiti swasta dalam bidang teknologi arkitek.

“Sebenarnya saya tak minat bidang itu, tapi mengambil jurusan tersebut atas permintaan bapa saya yang bekerja sebagai arkitek. Saya hanya menamatkan pengajian peringkat dasar sahaja.

“Saya berhasrat menukar pengajian dalam bidang penerbangan selepas ini. Saya sedang mencari kolej yang sesuai, sama ada di Malaysia ataupun di negara lain,” katanya yang kini tinggal bersama abangnya di Kuala Lumpur.

Sebagai mengisi masa luang, Shahin juga terlibat dalam bidang modeling secara separuh masa. Sudah banyak kali memenuhi undangan memperaga pakaian lelaki untuk menghiasi broser dan sebagainya.

“Saya memang meminati bidang peragaan. Sebenarnya sebelum datang ke Malaysia saya pernah terlibat dalam peragaan di Iran. Saya juga pernah berlakon filem di sana. Tapi kerjaya saya tak berpanjangan kerana saya keluar negara untuk menuntut ilmu.

“Sebab itulah bila nampak ada peluang untuk meneruskan minat itu di sini, saya melakukannya. Kebetulah saya bertemu dengan rakan yang sama-sama terlibat secara langsung dalam bidang ini.

“Saya juga ada minat untuk menceburi bidang lakonan di sini kalau ada peluang,” kata Shahin yang memiliki darah campuran Itali sebelah bapanya.

Sementara itu Shahin juga seorang yang mudah mempelajari bahasa. Selain bahasa Parsi, Inggeris dan Itali, dia boleh bertutur bahasa Cina, Rusia dan Sepanyol hasil percampuran dengan kawan-kawan.

“Saya boleh juga bertutur Bahasa Melayu, tapi belum fasih sebab saya tidak cuba mendalaminya. Selepas ini saya mahu belajar bertutur melalui rakan Melayu yang ada sini.

“Malah saya belajar bahasa Cina melalui seorang kawan rapat saya yang berbangsa Cina. Daripada pergaulan dengannya saya mula fasih bertutur Bahasa Cina. Setelah mendengar pertuturan orang Melayu, saya dapati Bahasa Melayu mudah untuk dipelajari," katanya yang kini menggemari nasi lemak dan roti canai.

Shahin juga seorang yang aktif bersukan dan antara sukan kegemarannya ialah teakwondo. Dia juga pernah menjadi jurulatih seni mempertahankan diri itu. Shahin juga aktif ke gimnasium untuk menjaga susuk tubuh agar sentiasa baik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: