Sunday, August 7, 2011

Si Doraemon 'Izzati'


Cukup menyayangi setiap barangan yang dimilikinya.


WATAK manga Jepun popular yang satu ini memang memikat hatinya. Bersifat bulat dan berwarna biru terasa seperti mahu mencubit saja pipinya. Keletah bijak sewaktu menyelesaikan masalah bersama rakan sebaya juga membuatkan dirinya cukup teruja.

Mata Nur Izzati Zainal Kefli sentiasa galak melihat kebolehan robot berbentuk kucing yang datang dari abad ke-22 itu.

Natijah daripada itu, watak animasi dan komik kini rasmi menjadi kegemaran utamanya. Sekali gus meluputkan minat lamanya terhadap watak dari manga Pikachu seketika dahulu.

Bagi membuktikan kesetiaan sebagai peminat tegar Doraemon, pelajar Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor, Selangor ini mula mengumpul barangan dari karakter berkenaan.

Bermula dengan botol air, beg sekolah, alat tulis, bantal kepala Doraemon, kipas, cadar atau apa saja yang berkaitan watak berkenaan terus dikumpul.

"Kalau ibu, Noormala Othman dan bapa, Zainalkefli Hussin ke luar negara, saya minta mereka hadiahkan saya barangan dari jenama Doraemon. Itu pilihan utama saya," katanya ketika ditemui di kediamannya di Bukit Jelutong, Shah Alam Selangor.

Gadis berusia 17 tahun ini juga memberitahu bahawa setiap barangan dari Doraemon yang dikumpul itu adalah asli. Kebanyakan barangan yang diperbuat dari Jepun, Hong Kong, China dan Thailand.

Nur Izzati juga dapat membezakannya menerusi jenis material yang digunakan. Selalunya yang bersifat cetak rompak itu menggunakan pewarna yang murah dan mudah luntur.

Bagaimanapun, adik kepada Zur Azureen, 20, tak pernah menolak andai ada di kalangan rakan-rakan memberi barangan jenis itu.

Semua koleksinya disimpan rapi di biliknya yang juga dicat warna biru watak Doraemon. Ruangan kecil itu juga digunakan sebagai tempat lepak kawan-kawan Nur Izzati setiap kali bertandang ke rumah.

Ditanya bilakah Nur Izzati akan berhenti dari terus meminati Doraemon, gadis ini dilihat tersenyum lawa. Katanya, dia tak ada berhenti walaupun diminta oleh sesiapa pun.

Apa yang diminatinya itu sekadar minat saja. Tiada unsur obses mendalam terhadap karakter berkenaan.

Pada perkembangan yang sama, Nur Izzati juga tidak kisah andai gelaran Doraemon kekal kepadanya sehingga dia berpeluang ke menara gading satu hari nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: