Sunday, August 7, 2011

Dekorasi ala Inggeris menawan


PERABOT dan hiasan dapur Inggeris juga terdapat di Souvenir Shoppe.


MENJEJAK kaki ke Souvenir Shoppe, pastinya membuatkan sesiapa jua rambang mata untuk memilih barang yang diingini. Manakan tidak, daripada sekecil hiasan seperti magnet peti sejuk, alas cawan, koleh, bunga plastik sehingga perabot, lampu, lukisan dan langsir berkonsep Inggeris, semuanya boleh anda temui di situ pada harga berpatutan.

Seorang pengunjung berbangsa India yang sempat penulis temui berkata, setiap minggu apabila dia ke hospital berdekatan untuk menjalani rawatan fisioterapi, pasti ada sahaja barang yang dibelinya. Sedar tak sedar kini rumahnya penuh dengan perhiasan ala Inggeris yang comel-comel dan menawan.

Menurut pemiliknya, Mazni Abu Bakar, beliau dan suaminya menjalankan perniagaan tersebut sejak 10 tahun lalu.

"Asalnya saya berkerja dengan agensi pelancongan. Bila dah kerap melancong dan berpeluang melihat pelbagai barangan murah buatan luar negara, saya terfikir untuk berniaga pula," katanya.

Dari situ, dia mula meninjau pasaran barangan hiasan rumah di Thailand dan juga China. Kebetulan Mazni sendiri memang berminat dengan hiasan dalaman dan mempunyai kebolehan menghasilkan langsir, ia lebih memudahkan urusan.

Perniagaan yang bermula dengan kedai satu lot di Taman Melawati itu mendapat perhatian cukup memberangsangkan. Dari satu lot satu tingkat, ia kemudian menjadi dua tingkat berikutan permintaan dan peningkatan jualan. Seterusnya ia bertambah cawangan menjadi lima kini termasuk di luar Lembah Kelang iaitu di Seberang Jaya, Pulau Pinang dan di Ipoh, Perak.

Eksklusif

Bukan mudah untuk memuaskan cita rasa pelanggan, kata Mazni. Seperti fesyen, gaya penataan kediaman juga datang dan pergi. Suatu ketika dulu hiasan Inggeris cukup diminati namun kini pelanggan lebih suka kepada perabot ringkas yang berteras minimalis.

"Sekarang kami tumpukan pula pada perabot berwarna putih dengan hiasan ringkas. Sebenarnya bukan semua barangan dan perabot di Souvenir Shoppe kami beli terus dari kilang. Malah ada antaranya, kami reka dan tempah mengikut permintaan pelanggan," katanya.

Mazni sentiasa memastikan barangan di kedainya bertukar ganti kerana kebanyakan pelanggan merupakan pelanggan setia yang sering berkunjung untuk mendapatkan hiasan terkini.

"Pelanggan selalu bertanya, ada tak barang baru? Sekarang ini pun, sudah ada satu kontena stok baru yang sedang dihantar khas untuk Hari Raya nanti," katanya.

Selain itu kata Mazni, persaingan daripada kedai perhiasan yang lain juga membuatkan pihaknya perlu sentiasa peka dengan trend semasa agar Souvenir Shoppe terus menjadi pilihan penggemar hiasan ala Inggeris.

Bukan setakat menjual barangan hiasan dan perabot, Souvenir Shoppe turut menawarkan khidmat rundingan hiasan dalaman termasuk berkunjung ke kediaman pelanggan bagi mendapatkan ukuran yang bersesuaian.

Kata Mazni, ia lebih mudah kerana pelanggan boleh menempah sendiri jenis hiasan yang mereka mahukan untuk disesuai dengan bentuk dan saiz kediaman.

Promosi

Sempena Hari Raya Aidilfitri, Souvenir Shoppe mengadakan jualan istimewa potongan diskaun sehingga 50 peratus bagi setiap hiasan.

Tawaran itu kata Mazni berterusan sehingga dua minggu selepas raya sebagai memenuhi keperluan pelanggan yang ingin menghias rumah tatkala mengadakan majlis rumah terbuka.

"Pelanggan yang berbelanja lebih RM200 secara automatik akan menjadi ahli Souvenir Shoppe yang mana melayakkan mereka menikmati tambahan diskaun sebanyak lima peratus ketika jualan diadakan. Namun, seandainya tiada promosi jualan, mereka tetap menikmati diskaun sebanyak 10 peratus," katanya.

Mazni berkata, selain menjual kepada pelanggan yang bertandang ke kedai, dia turut menyediakan belian secara pukal kerana beliau sendiri merupakan pemborong barangan hiasan dari luar negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: