Monday, August 1, 2011

Sekarang lebih bahagia

Aishah
Aishah
Aishah reda diceraikan menerusi SMS, anggap dugaan daripada Tuhan

BELUM selesai kes mahkamah disebabkan berkahwin di Narathiwat, Thailand, penyanyi bersuara lunak, Aishah menghadapi ujian sekali lagi apabila perkahwinan yang berusia setahun itu berakhir dengan perceraian.
Bagi mata yang memandang, pasti akan menuding jari ke atas wanita beranak dua ini kerana ini adalah kali ketiga perkahwinan yang dibina atas dasar cinta sama cinta tersungkur di pertengahan jalan.
Namun bagi diri yang menanggung, bukan mudah untuk menggalas gelaran janda. Ke mana pergi, pasti akan ada mata yang memandang dengan penuh sinis seolah-olah mereka yang bergelar janda ini jahat serta seorang wanita yang gagal menjadi seorang isteri yang baik.

Begitulah mudahnya masyarakat membuat penilaian serta menjatuhkan hukum tanpa mengetahui siapa benar dan siapa yang salah. Namun, buat si empunya diri, perceraian dan kembali bergelar janda bukanlah satu dosa atau bebanan buatnya.

Malah tegas penyanyi yang cukup popular menerusi lagu Janji Manismu dan Camar Yang Pulang ini adalah lebih baik bercerai andai perkara itu sebenarnya lebih membahagiakannya.

“Saya lebih bahagia sekarang. Lebih tenang dan hilang segala tekanan yang selama ini membelenggu hidup saya anak beranak. Sepanjang setahun hidup bersamanya, bahagia yang dikecapi cuma seketika. Namun tak perlulah jelaskan secara terperinci mengapa kami bercerai.
“Mungkin sudah ditakdirkan jodoh kami setakat ini dan jika sudah tiada rasa cinta, lebih baik bawa haluan masing-masing. Saya tidak mahu memburukkan sesiapa kerana walaupun antara kami sudah tiada ikatan, tapi dia pernah menjadi suami saya dan biarlah sebab dan punca perceraian kami hanya saya, dia dan tuhan saja yang tahu,” jelas Aishah ketika dihubungi Hip petang Rabu lalu.

Biarpun amat berahsia mengenai punca perpisahannya dengan lelaki bernama Faizal Sazali Zulkifli itu, namun Aishah cukup terbuka apabila mendedahkan perihal perceraiannya itu di laman sosial Facebook miliknya walaupun dengan cara kiasan.

Jelas pemenang kategori Artis Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1990 ini, tujuannya berbuat demikian adalah supaya tidak ada yang tersalah anggap atau keliru jika terlihat dirinya bersama lelaki lain.

“Saya tak mahu nanti apabila ada peminat ternampak saya berjalan dengan orang lain, ada tanggapan yang bukan-bukan. Kenapa saya keluar dengan lelaki lain sedangkan pada sangkaan mereka, saya masih bersuami. Jadi dengan cara itu, mereka tahu apa yang berlaku pada saya,” tutur Aishah menjelaskan situasi sebenar.

Jika sebelum ini dia diceraikan dengan lafaz talak, tapi untuk kali ketiga ini, Aishah diceraikan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS). Memang menyedihkan apabila diri diperlakukan begitu tetapi kata Aishah dia reda kerana percaya ada hikmah di sebaliknya.

“Kami tidak tinggal sebumbung sejak Februari lalu. Dia menceraikan saya menerusi SMS pada 19 Mei baru-baru ini. Selepas merujuk perkara ini kepada abang serta mereka yang bertauliah dan mendapati memang dia mengirimkan SMS itu, barulah saya berani mengesahkan perceraian ini,” katanya yang akan ke mahkamah sekali lagi bagi menyelesaikan perkara itu.

Di tanya perasaan anak-anak terhadap musibah yang menimpa ibunya itu, Aishah berkata, dua orang anaknya iaitu Armand Azhari, 17 dan Azhad Ahlami, 11 turut berkongsi rasa yang sama dengannya.

“Mereka menyokong apa saja keputusan yang saya lakukan. Malah anak saya juga ada berkata bahawa mereka lebih rela tiada bapa jika itu lebih membahagiakan kami sekeluarga. Lagipun mereka semua sudah meningkat dewasa, yang sulung itu pun sudah jadi orang bujang dan dia juga ada berkata yang dia akan mempertahankan saya walau dalam apa keadaan sekali pun,” katanya.

Mungkin kegagalan berumah tangga apatah lagi sebanyak tiga kali, sedikit sebanyak pastinya menimbulkan perasaan serik dan was-was untuk kembali melangkah ke gerbang perkahwinan. Namun tidak bagi penyanyi yang berasal dari Negeri Sembilan ini.

“Dulu saya pernah berkata yang serik berumah tangga, tapi selepas berkenalan dengan bekas suami, saya mengambil keputusan menamatkan zaman janda dengannya. Jadi saya tak mahu mengatakan serik. Ini adalah soal jodoh dan kerja Tuhan.
“Namun untuk saya mencari, biarlah dulu. Buat masa ini, saya lebih selesa dengan anak-anak,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: