BANDAR Merah Jambu atau Pink City. Sewaktu dikhabarkan mengenainya, penulis hanya mengerut dahi memikirkan sama ada terdapat maksud tersirat atau sebaliknya.
Namun kunjungan penulis ke ibu negeri yang juga merupakan bandar terbesar di Rajasthan itu memberikan jawapan sebenar tanpa berselindung walau sedikit pun.
Hampir kesemua bangunan dari rumah, kedai, kolej, pejabat sehingga ke istana semuanya dicat dengan warna merah jambu.
Mujur ia hanya mewarnai sebahagian besar bangunan. Bagaimana agaknya jika jalan raya dan pengangkutan juga ‘diwajibkan’ diwarnai dengan merah jambu.
Seperti andaian penulis, mungkin perkara itu turut tidak dapat dibayangkan oleh penduduk Jaipur yang kini mencecah lebih 3.9 juta orang.
Seluruh Jaipur diwarnai dengan merah jambu sebagai menyambut kunjungan Putera Wales yang melawat bandar itu sewaktu rejim Sawai Ram Singh pada tahun 1853.
Walaupun kebanyakan bangunan jelas menampakkan usia lebih kurang dua abad namun warna merah jambu itu seolah ‘menghidupkan’ kembali zaman lampau.
Balang perak gergasi
Sukarnya untuk melihat wanita rakyat tempatan di sepanjang pengembaraan penulis yang mengikuti rombongan media bersama AirAsia X ke India, baru-baru ini.
Sedangkan satu pasar pagi di Agra yang dikatakan sebagai ‘Ladies Market’ atau Pasar Wanita pun dilihat rata-ratanya adalah peniaga dan pembeli lelaki.
Mungkin segelintir wanita tempatan lebih selesa menjadi suri rumah yang melakukan rutin harian seperti memasak, mencuci baju dan menjaga anak-anak.
Namun hajat penulis seakan dipenuhi apabila beberapa wanita berpakaian tradisional sari beraneka warna dan corak berjalan kaki ke arah satu pintu gerbang besar.
Itulah pintu utama City Palace Jaipur, kompleks istana Maharaja Jaipur yang menghimpunkan Chandra Mahal dan Mubarak Mahal serta beberapa bangunan lain.
City Palace Jaipur dibina oleh Sawai Jai Singh II, Pemerintah Amber salah satu bandar di Rajasthan yang menjumpai bandar Jaipur pada 1727.
Terdapat satu ruang terbentang luas berhampiran Chandra Mahal dijadikan sebagai tempat keraian di mana aktiviti tarian dan majlis santai turut diadakan.
City Palace Jaipur pernah menjadi menjadi lokasi penggambaran filem epik Jodhaa Akbar pada 2008 oleh Hrithik Roshan dan Aishwarya Rai Bachchan.
Selain dua bintang Bollywood itu, pelakon Salman Khan turut tidak terkecuali menerusi lakonannya dalam filem Veer pada 2010.
Berhampiran dengan Chandra Mahal terdapat satu dewan hadirin Maharaja iaitu Diwan-I-Khas yang mempamerkan dua balang perak gergasi.
Lebih dikenali sebagai ‘Gangajali’, ia merupakan objek perak terbesar di dunia yang direkodkan dalam Guinness Book of World Records.
Siapa sangka berat sebenar balang gergasi itu adalah 345 kilogram namun apa yang pasti ia mampu mengisi sejumlah 4,091 liter air.
Di sini juga terdapat Muzium City Palace Jaipur yang menghimpunkan koleksi lukisan, manuskrip, senjata dan perisai.
Pandangan wanita diraja
Penulis hanya melawatinya pada hari berikutnya sedangkan bangunan setinggi lima tingkat itu dilalui terlebih dahulu sebelum memasuki City Palace Jaipur.
Kesibukan trafik di hadapan bangunan yang diberi nama Hawa Mahal atau ‘Palace of Wind’ yang menyukarkan bas rombongan untuk berhenti di tepi jalan utama.
Hawa Mahal dibina oleh Maharaja Sawai Pratap Singh pada 1799 dan rekaan oleh Lal Chand Usta itu dikatakan menyerupai seperti bentuk mahkota tuhan Hindu, Krishna.
Pada mulanya ia bertujuan untuk membolehkan wanita diraja melihat keadaan di luar tanpa dilihat oleh orang lain bersesuaian dengan keadaan mereka yang berpurdah.
Walaupun penulis tidak berkesempatan mengunjungi bahagian dalam Hawa Mahal namun dapat dibayangkan pemandangan yang dilihat kaum wanita pada zaman itu.
Tidak kira pagi, tengah hari, petang sehingga melewati senja, jalan utama itu sentiasa sibuk terutama mereka yang membawa penumpang, bahan makanan dan tekstil.
Penulis bagaimanapun tidak sempat menaiki beca di City Palace Jaipur namun berpeluang menaiki jip sehingga ke atas bukit untuk lokasi seterusnya Amber Fort.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: