TRAGEDI...penolakan dan pandangan skeptikal terhadap orang luar biar apapun statusnya adalah rentetan daripada pelbagai tragedi yang berlaku sekali gus mewujudkan konflik.
IMPIAN Mariano Cardoso, 23, ketika menjejakkan kaki ke Amerika Syarikat hanya satu iaitu menuntut ilmu dan membina kerjaya serta masa depan yang baik.
Malah, dia turut menggambarkan penerimaan masyarakat di negara Uncle Sam itu sangat hebat dan terbuka.
Malangnya itu tidak berlaku kerana dia terpaksa menjadi mangsa diskriminasi dan dianggap golongan pendatang yang membawa masalah.
Semuanya gara-gara berasal dari negara asing, ditambah sikap curiga yang semakin bersarang, dia akhirnya menjadi mangsa keadaan.
“Saya datang hanya untuk menuntut ilmu dan membina masa depan yang baik.
Pilihan itu dibuat kerana institusi di negara ini sangat terkenal, ternama dan sering menjadi rujukan peradaban dunia.
“Malangnya bukan semua dapat menerima kehadiran orang luar dengan tangan terbuka. Percaturan itu silap akhirnya memakan diri dan memaksa kami ‘bertarung’ dengan pandangan serong.
“Sangat menyedihkan mereka apabila menganggap kami sebagai orang luar yang berbahaya padahal kedatangan ke sini hanya untuk belajar. Bagaimana kami ingin meneruskan kehidupan masih samar,” katanya.
Bukan dia seorang saja yang menjadi mangsa, malah sebahagian besar turut dicurigai terutama jika mereka datang dari negara yang dianggap sarang pengganas dan mempunyai kadar jenayah tinggi.
Pakar antropologi pendidikan, John Mark, berkata masyarakat negaranya tidak boleh dipersalahkan seratus peratus kerana mereka perlu mula berhati-hati membina jurang dalam perhubungan dan kepercayaan akibat tragedi sebelum ini.
Menurutnya, walaupun masyarakat Amerika mengalu-alukan kedatangan orang luar, tidak bermakna mereka sewenang-wenangnya mempercayai kebaikan ditunjukkan kerana takut memakan diri.
“Sebelum ini kami sering mengalu alukan kedatangan tetamu, namun akhirnya ia memakan diri. Reputasi dan keselamatan nyawa kami terancam kerana sikap itu.
“Tidak kiralah sama ada pelajar atau berkeluarga kami mesti berhati-hati kerana bukan semuanya berniat baik. Ini tidak berkaitan dengan skeptikal terhadap bangsa atau agama, yang penting siapakah mereka? Adakah mereka berbahaya atau sebaliknya?,” katanya.
Meskipun polisi negara itu masih membuka pintu luar kepada pelajar antarabangsa, namun pelbagai syarat, peraturan dan pemeriksaan ketat perlu diikuti serta dipatuhi.
Biarpun ada berpendapat bukan orang luar sebenarnya banyak membuat onar, tanggapan itu sukar diubah apatah lagi kebanyakan tragedi berlaku membabitkan golongan ekstremis yang dianggap penjenayah.
“Ini dasar dan polisi negara kami, suka atau tidak mereka perlu mengikuti dan mematuhi undang undang sedia ada, jika tidak sila keluar.
“Masyarakat boleh menghentam atau melahirkan kecaman namun apa dilakukan tidak bermaksud untuk menafikan hak namun demi menjaga keselamatan dan keharmonian masyarakat.
“Katalah apa saja, kami tidak mengubah atau berganjak dengan pendirian. Silalah datang, kami mengalu-alukan kedatangan namun perlu ingat, ikutlah segala peraturan serta hormati privasi masyarakat negara ini,” katanya.
Amerika antara salah satu negara di dunia yang mempunyai institusi senarai gred A, sering kali menjadi pilihan masyarakat antarabangsa untuk melanjutkan pengajian.
Mengikut statistik Jabatan Perkhidmatan Kemasukan, Kemanusiaan dan Immigrasi Amerika Syarikat (INS) sejak 1971 hingga 1991, lebih tiga juta orang memasuki negara terbabit atas pelbagai sebab.
Sementara 393,000 pula melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi dengan syarat sudah menerima pelepasan INS dalam aspek tertentu seperti program bahasa dan penempatan tetap di institusi.
Menerusi jumlah yang sentiasa meningkat, tidak hairan, apabila negara terbabit terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengekang dan membendung kadar jenayah daripada terus meningkat.
“Kami takut dengan jumlah peningkatan ini seperti ‘memperjudikan’ nyawa dan masa depan. Siapa mereka itu, adakah kedatangan ke negara kami memang benar untuk menuntut ilmu atau ada maksud sebaliknya?
“Sudah cukup kami ‘menangis’ kerana kehilangan orang tersayang, justeru, tolonglah hormatilah kehendak kami yang sangat menyintai kedamaian,” kata Mark.
Kenyataan berkenaan ternyata dibidas dan mendapat reaksi kurang senang orang ramai, golongan terpelajar termasuk wakil pelajar antarabangsa yang menganggapnya sebagai tidak adil, berat sebelah dan mencabul hak kebebasan individu.
Penyelidik Kebudayaan Inggeris, Jabatan Persuratan Inggeris, Murcia University, Sepanyol, Jose Saura Sanchez, berkata tindakan itu bukan saja menyebabkan persepsi semakin kritikal, malah mewujudkan jurang perhubungan antarabangsa.
Menurutnya, kehadiran mereka seharusnya diterima dengan tangan terbuka dan diberi sokongan namun disebabkan tindakan segelintir yang dangkal, semuanya terpaksa menanggung beban.
“Mereka datang dengan satu tujuan mulia namun apa diterima sangat membebankan perasaan dan menghiris sensitiviti. Mereka sebenarnya menjadi mangsa keadaan yang dimanipulasi demi memenuhi kepentingan orang lain.
“Ditegaskan, kami tidak mahu menjadi golongan itu, jangan samakan dengan mereka yang ekstrem kerana bukan semua bertindak demikian. Saya percaya lebih ramai yang sukakan kedamaian berbanding permusuhan,” katanya.
Beliau juga menggariskan antara faktor menyebabkan timbulnya konflik berkenaan adalah perbezaan budaya, latar belakang, komunikasi dan pandangan.
“Kegagalan untuk mengimbangkan antara keperluan, cara hidup, budaya, persepsi dan komunikasi antara faktor dikenal pasti mewujudkan konflik dalam menjalin hubungan hingga mereka tidak bersalah sebagai mangsa.
“Sebagai orang luar, kami faham segala peraturan dan berusaha menghormati hak tuan rumah, malangnya bukan semua yang mempunyai mentaliti itu. Paling menyedihkan kami juga menerima tempiasnya.
“Konflik itu jika tidak diselesaikan, bukan saja meruncingkan keadaan, malah menjarakkan lagi jurang kepercayaan sedia ada sekali gus menyusahkan semua pihak,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: