Monday, August 1, 2011
‘Rumah’ baru Ducati
Next Bikes Sdn Bhd, satu-satunya pengimport dan pengedar jenama Ducati di Malaysia bakal memperkenalkan ‘rumah’ barunya di Petaling Jaya menjelang suku pertama 2012.
Ketua Pegawai Operasi Naza Group of Companies, Datuk SM Zulkifli SM Amin berkata, ‘rumah’ baru yang berkeluasan 4,500 meter persegi itu adalah pusat Ducati yang terbesar di Asia setakat ini.
Menurutnya, bilik pameran itu juga berfungsi sebagai pusat 3S Ducati yang turut dilengkapi dengan bilik mesyuarat, kafe dan surau untuk kemudahan pemilik Ducati di negara ini.
“Bangunan untuk ‘rumah’ baru itu sudah siap sebenarnya, cuma sekarang ini sedang dalam proses pengubahsuaian dengan kos RM3.5 juta.
“Kemudahan baru untuk pemilik Ducati di Malaysia ini juga menyediakan pusat servis yang terdapat di dalam bangunan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang suku pertama tahun depan,” katanya semasa pelancaran Edisi Terhad Multistrada 1200 S Pikes Peak di Petaling Jaya.
SM Zulkifli berkata, syarikatnya turut meletakkan sasaran jualan melebihi 200 unit Ducati di Malaysia pada tahun ini berbanding sasaran awal 200 unit.
Menurutnya, sasaran itu dibuat berdasarkan sambutan diterima menggalakkan daripada peminat Ducati.
“Malah, lebih 130 unit terjual pada setengah tahun pertama, termasuklah empat unit untuk Edisi Terhad Multistrada 1200 S Pikes Peak,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: