Wednesday, August 24, 2011

Rosnah popularkan kuih cak, beka


ROSNAH memanggang kuih beka iaitu sejenis kuih tradisional yang diperbuat daripada tepung beras, gula merah dan santan.


JIKA dilihat pada rupa bentuk dan cara pembungkusannya, pasti ramai yang menyangka dua jenis kuih yang dibalut dengan daun pisang dan daun nipah itu adalah pulut udang atau otak-otak.

Malah, jika dibuka kulit dan melihat isinya, ramai yang mula yakin bahawa kuih yang terhidang itu adalah pulut udang atau otak-otak kerana bentuk isinya yang seakan-akan sama.

Namun tidak ramai yang tahu bahawa kedua-dua kuih berkenaan adalah kuih gedung cak dan kuih beka. kedua-duanya merupakan kuih tradisional masyarakat Melayu utara yang semakin dilupakan.

"Kuih gedung cak adalah makanan tradisi orang utara seperti di Pulau Pinang dan Kedah, ia diperbuat daripada campuran tepung pulut, gula merah, kepala parut, gula putih dan garam.

"Apabila masak, isinya kelihatan seperti otak-otak kerana ia dibalut dengan dauh nipah tetapi rasanya manis," kata Rosnah Shaari, 53, yang masih mengusahakan jualan tradisi itu di rumahnya di Kampung Pelandok Jatuh, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Menurut Rosnah, dia yang dibantu anaknya, Yusliza Md. Yusof, 33, mahu memperkenalkan kembali kuih berkenaan setelah mendapati ia semakin dilupakan oleh masyarakat terutama generasi muda.

Malah katanya, kuih tersebut yang dahulunya kerap dihidangkan pada majlis-majlis keraian atau doa selamat kini semakin sukar diperoleh kerana tidak ramai yang mewarisi cara membuatnya.

Mengenai kuih beka pula, Rosnah memberitahu ia adalah sejenis kuih tradisional yang popular dalam kalangan masyarakat Banjar.

Wanita yang berdarah Banjar itu mempelajari cara-cara membuat kuih berkenaan daripada ibunya suatu ketika dahulu.

Sukar diiperoleh


KUIH gedung cak yang semakin dilupakan oleh generasi muda masa kini.


"Kuih beka mempunyai dua warna iaitu coklat keperangan dan putih. Ia juga mempunyai dua rasa iaitu manis dan lemak masin.

"Kuih ini dibalut di dalam daun pisang dan dibakar sama seperti membakar pulut udang," jelasnya. Kuih beka diperbuat daripada tepung beras, santan dan gula merah.

Menurut Rosnah, dia kini banyak menerima tempahan daripada kenalan dan jiran-jiran yang ingin mendapatkan juadah berkenaan sepanjang bulan Ramadan kerana kuih tersebut amat sukar untuk ditemui terutama di bazar-bazar Ramadan.

Yusliza pula memberitahu, dia bangga dapat mempelajari cara membuat kedua-dua kuih tradisional itu, malah berhasrat meluaskan jualan tersebut.

"Saya bangga kerana dapat belajar daripada mak dan jika ada permintaan untuk tempahan boleh hubungi saya di talian 017-4975 667," kata Yusliza.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: