DARI kiri Azhar, Mohd Ali Norpiah, Shamsiah dan Mohamad Razip peserta Pentas Akhir Kilauan Emas Astro.
SEPERTI lumrah, semua yang bermula pasti akan berakhir. Begitu juga program realiti Kilauan Emas yang melabuhkan tirainya pada Jumaat lalu dengan mencipta seorang lagi bintang yang akan menyemarakkan lagi dunia hiburan tanah air.
Menyampaikan dua lagu iaitu Permaidani, nyanyian asal oleh Aris Ariwatan dan Joget Bunga Melati (Halil Chik), sebagai juara, Ali menerima wang tunai RM20,000 serta trofi.
Ditemui selepas program final itu selesai, Ali berkata, sudah tentu dia gembira dengan kemenangan itu dan berterima kasih kepada penganjur kerana mengadakan pertandingan nyanyian untuk golongan umut 45 tahun.
Sementara itu, peserta tunggal wanita yang layak ke peringkat akhir, Shamsiah Mohd Said, 49, dari Kota Tinggi, Johor, pula dipilih oleh juri sebagai naib juara dan membawa pulang wang tunai RM15,000. Sinonim dengan gelaran peserta air mata, Shamsiah menyentuh hati juri dan penonton dengan lagu Hadirlah Kasih (nyanyian asal Hetty Koes Endang) dan Gelombang (Salamiah Hassan).
Manakala tempat ketiga dimenangi Azhar Shariff, 52 yang menyanyikan lagu lagu Ku Impikan Bintang (Sean Ghazi) dan Sesaat Kau Hadir (Utha Likumahua) untuk menerima wang tunai RM10,000. Bukan itu saja peserta wakil Zon Tengah, berasal dari Semenyih, Selangor ini berjaya meraih Anugerah Khas di atas keyakinan diri serta senyuman menawan yang dimilikinya.
Mohamad Razip Kadir, 49, peserta dari Johor ini hanya akur dengan tempat keempat.
Masing-masing hadir dengan kredibiliti tersendiri sebagai penyanyi, kalau tidak masakan mereka ini layak sehingga ke peringkat akhir. Makin tua, makin berisi, seperti kata juri profesional Sohaimi Meor Hassan, keempat-empat peserta yang dipilih adalah hebat belaka dan setiap orang menyampaikan persembahan dengan gaya berlainan namun pada malam akhir tersebut yang paling menonjol adalah Ali Norpiah.
"Kelebihan Ali ada pada lagu pertamanya iaitu Permaidani. Sebagai seorang penyanyi, saya banyak terpengaruh kepada 'X-Factor' seseorang dan disebabkan saya dapat merasai apa yang disampaikan oleh Ali melalui persembahan dan liriknya. Apabila persembahannya dapat dirasa, di situlah nilai tertinggi yang diberi," katanya.
Wan Norafizah Ariffin atau Nora dan Adnan Abu Hassan sebagai juri undangan turut memberi pujian terhadap persembahan pertama Ali.
"Abang Ali memilih lagu yang tepat dan bersesuaian dengan suaranya, secara tidak langsung menghasilkan persembahan tidak mengecewakan," kata Nora.
Seorang lagi juri Kilauan Emas, Adnan Abu Hassan pula berasakan kelunakan suara Ali, tidak ubah seperti suara Jamal Abdillah, memang sedap sangat dan ia ditambah pula dengan persembahannya yang mantap.
Selain empat peserta terbabit, program kemuncak Kilauan Emas turut diserikan dengan persembahan daripada Nora yang menyampaikan dua lagu popularnya iaitu Di Persimpangan Dilema dan Desa Tercinta. Kemudian menyusul persembahan gabungan daripada Sohaimi, Adnan, serta Raja Azura sebagai pengacara pada malam itu, menyampaikan lagu Kalau Berpacaran, menambahkan lagi keriuhan suasana dengan keletah mereka di atas pentas.
Diakhiri pula dengan persembahan penutup dari penyanyi yang popular dengan lagu Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu, Ramlah Ram yang turut mendapat sambutan hangat dari penonton Kilauan Emas di Studio Pentas Bunyi, Filem Negara Malaysia ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: