Sunday, August 7, 2011

Adaptasi novel diperkenal


Wakil Ketua Pengarah Dewan Bahasa Pustaka, Kamsiah Mohamad (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia, Ahmad Ibrahim (kanan) sambil diperhatikan Pemangku Ketua Pengarah Finas, Fatimah Ahmad (tengah) pada Majlis Pelancaran Pertandingan Menulis Skrip Adaptasi Novel ke Filem di Kuala Lumpur.


BAGI rakyat Malaysia yang berkebolehan serta berminat dalam bidang penulisan skrip filem kini berpeluang memenangi hadiah sehingga RM15,000 selain skrip mereka turut difilemkan apabila Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan Pertandingan Menulis Skrip Adaptasi Novel Ke Filem.

Presiden Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London berkata, program yang turut dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) ini akan memperkenalkan lima buah novel terkenal untuk di adaptasi.

Ia membabitkan novel Sandera, karya Arenawati, Interlok (Abdullah Hussein), Empangan (Zakaria Ali), Pemberontakan (Chian Jong Lai) dan Bedar Sukma Bisu (Faisal Tehrani).

“Di negara kita, filem yang diadaptasi daripada novel terlalu sedikit sedangkan kita mempunyai pelbagai novel yang bermutu dan popular.

“Justeru, menerusi pertandingan ini, ia bertujuan untuk mengangkat semula filem-filem adaptasi daripada novel dan pada masa yang sama kita dapat memperbanyakkan lagi skrip-skrip filem adaptasi yang bermutu,” katanya.

Antara filem-filem tempatan yang pernah diadaptasi daripada novel ialah Lagenda Budak Setan, Ombak Rindu, Ranjau Sepanjang Jalan, Bukan Salah Ibu Mengandung dan Putus Sudah Kasih Sayang.

Ditanya berkenaan filem adaptasi sebelum ini yang diolah tidak seperti apa yang digambarkan didalam novel asal, Mat London berkata, kali ini 70 peratus isi kandungan filem perlulah diambil dalam novel asal.

“Isipadu filem yang dihasilkan perlulah menepati plot penceritaan asal novel terbabit, sebagai contoh lima novel yang dipilih ini mempunyai eleman yang tersendiri, jadi eleman tersebut perlu ada dalam setiap filem yang dibuat,” ujarnya.

Tambahnya, jika dilihat terhadap lima novel yang telah dipilih ini, kelima-limanya adalah novel yang berbentuk kenegaraan, kesemua novel ini pernah menjadi buku teks disekolah.

“Tujuannya adalah bagi menghasilkan sebuah filem yang bermutu, dan menunjukkan tentang jati diri rakyat Malaysia.

“Setiap novel yang telah dipilih mempunyai nilai budaya semua rakyat Malaysia,” tambah Mat London.

Dalam pada itu, Pemangku ketua Pengarah Finas, Fatimah Ahmad berkata, pihaknya akan berusaha untuk mendapatkan mana-mana syarikat penerbit mengambil skrip yang memenangi pertandingan tersebut untuk difilemkan selain akan dibiayai menerusi yang akan dikeluarkan.

“Jika segala perancangan berjalan dengan lancar, skrip yang akan difilemkan itu dijadualkan akan memulakan penggambarannya pada pertengahan tahun depan.

“Selain itu para pemenang tidak perlu risau tentang hak cipta skrip yang dihasilkan kerana ia tidak akan bertukar hak milik.

“Pemenang bukan sahaja memenangi sejumlah wang yang besar, tetapi mereka juga akan dibayar berdasarkan hak cipta dan royalti daripada pihak penerbit,” jelas Fatimah.

Tambahnya, pihak penganjur juga akan cuba membawa skrip yang dihasilkan itu ke peringkat antarabangsa jika ia memiliki kreativiti dan kualiti yang bagus.

Selain hadiah utama yang berjumlah RM15,000, pemenang tempat kedua akan menerima wang tunai berjumlah RM8,000 manakala tempat ketiga, wang tunai sebanyak RM5,000 akan diberikan.

Penyertaan hendaklah diberikan kepada: Urus Setia, Pertandingan Menulis Skrip Adaptasi Novel Ke Filem, Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Aras 25, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi A.Wahab Hamzah (03-21482348) dan Roslinda Mustapha (03-21482924).

Tarikh tutup permohonan adalah sehingga 31 Disember nanti, dan keputusan dijangkakan akan diumumkan pada bulan Februari atau Mac tahun hadapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: