Monday, August 1, 2011

Khazanah Nusantara julang seni Malaysia, Indonesia

RAJA AHMAD AMINULLAH

TERPEGUN melihat karya seni tradisional dan kontemporari yang terpamer di galeri RA Fine Arts milik Raja Abdullah Aminullah yang terletak di Solaris, Dutamas, Kuala Lumpur.

Ketika menerima jemputan menghadiri pameran kali ketiga yang berlangsung di situ, dalam hati terdetik pasti ada yang istimewa ingin ditonjolkan insan berjiwa seni ini.

Nyata Khazanah Nusantara, judul pamerannya kali ini bukan calang-calang pameran kerana telah menghimpunkan hasil kerja karyawan seni tanahair dan Indonesia.

Raja Ahmad menunjukkan lukisan minyak yang dilukis di atas kanvas oleh Dian Anggraini pada 1992.

“Perihal dan karya seni yang kita lihat sekarang mempunyai sejarah dan telah melalui satu perjalanan panjang.“Sayang sekali jika hasil kerja yang diiktiraf ini dilupakan dan adalah merugikan jika tidak ditonjolkan kepada masyarakat,” kata Raja Ahmad kepada Mingguan mStar.

Berada di bawah bumbung galeri ini tidak sekadar lukisan, sebaliknya menyaksikan himpunan beberapa artifak kebudayaan dan tekstil seni bernilai tinggi.

Di sinilah peluang untuk melihat batik yang dilukis isteri-isteri golongan kolonial ketika negara dijajah, songket benang emas, selendang, sulaman manik dan tekat.

Khazanah Nusantara yang diadakan di galeri RA Fine Arts menghimpunkan koleksi peribadi milik Raja Ahmad dan karya yang dipinjam daripada pemilik asal.

Turut dipamerkan, ciur tiga dan tujuh lapis yang amat popular di Perak suatu ketika dulu dan sering digunakan golongan istana.

“Ada dua helai kebaya lama di sini. Nampak ringkas, namun potongannya jika diamati cukup unik.

“Tekat Melayu juga saya kira amat unik. Membuat sulaman tekat tidak mudah dan mengambil masa lebih kurang satu tahun untuk disiapkan,” katanya sambil memberitahu tekat juga dibuat di Palembang dan Jambi.

Koleksi keris di pameran Khazanah Nusantara.

Karya lama dan baru

Himpunan karya seni sedikit pincang tanpa adanya lukisan.

“Sama ada berciri moden atau sebaliknya, dihasilkan pelukis ternama atau baru mencipta nama, yang penting adalah unsur seni yang dicurah pelukis dengan ikhlas dan penuh emosi,” katanya yang juga penyair.

Justeru, pameran yang berlangsung dari 20 Jun hingga 20 Julai lalu tidak hanya mempamerkan lukisan lama, tetapi juga karya pelukis muda.

Unik...Manik dijahit pada kain menghasilkan motif penyu.

“Seniman perlu dihargai semasa hayatnya, tidak hanya selepas ketiadaannya. Karya seniman yang telah tiada menjadi memori, tapi lukisan pelukis yang masih ada perlu diberi perhatian,” ujarnya.

Antara lukisan yang dipamerkan termasuklah karya Seniman Negara, Datuk Syed Ahmad Jamal, Mustafa Ibrahim, Mohammad Din Mohammad, Zakaria Ali, Ahmad Khalid Yusof, Dian Anggraini, Kartika Affandi.

“Zakaria Ali amat terkenal dengan lukisan siri Mexico-nya yang kini payah sekali ditemui di pasaran,” katanya.

Potongan kebaya lama yang ringkas tapi menarik.

Kartika, pelukis dari Indonesia pula telah melukis lukisan menakjubkan bertajuk ‘Melaka’ pada 2007 dengan teknik pantas.

“Karya Khoo Sui Hoe berjudul ‘Hilltop Meditation’ yang dihasilkan pada 1981 menjadi antara lukisan paling lama pada pameran ini,” katanya.

Koleksi pending, tali pinggan dan gelang.

Koleksi artifak

Keris, tembaga, pending sering digunakan pahlawan dahulu kala dan untuk acara-acara di istana, namun ramai generasi hari ini seakan-akan tidak mengenali artifak ini lagi.

“Ukiran hulu keris, pending, tali pinggang dan gelang tembaga zaman dahulu sangat halus dan berseni. Artifak ini diletakkan dalam almari kaca tetapi pengunjung berpeluang melihat dan membelek ciri seninya apabila berkunjung ke pameran seperti ini,” katanya yang merancang mengadakan pameran seumpama ini secara besar-besaran tidak lama lagi.

Keseluruhannya Khazanah Nusantara menghimpunkan 30 lukisan selain tekstil dan artifak Malaysia serta Indonesia.

Sebahagian daripada koleksi yang dipamerkan di galeri persendirian ini merupakan milik Raja Ahmad sendiri dan sebahagian lagi dipinjam daripada pemilik atau ahli keluarga karyawan yang sudah tiada.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: