Sunday, August 7, 2011

IFF diintai pereka fesyen tersohor


Koleksi fesyen bagi mengisi keperluan Muslimah.


BERMULA sebagai satu eksperimen, kejayaan Festival Fesyen Islam (IFF) meneruskan penganjuran sejak 2006 sedikit demi sedikit membantu melebarkan sayapnya dari Kuala Lumpur ke sembilan kota metropolitan di Amerika Syarikat, Eropah dan Asia Barat.

Mengetepikan segala kritikan serta salah tafsir mengenai fesyen Islam, IFF terus berusaha mengukuhkan kedudukannya untuk dikenali sebagai tapak bagi pembangunan fesyen golongan Muslimah.

Kota fesyen dunia kini menjadi destinasi penganjuran festival berkenaan untuk membawa misi penganjur bahawa IFF bukan eksklusif untuk pereka fesyen Islam sahaja selain menakluk pasaran dunia.

Edisi ke-17 IFF berlangsung di London pada 15 Julai lalu dalam suasana musim panas yang nyaman di Hotel Mandarin Oriental Hyde Park. Ternyata penganjurannya berjaya membuka mata pereka fesyen tersohor dunia mengenai potensi besar industri fesyen Islam untuk diterokai.

Pemilihan London untuk showcase IFF kali ini mempunyai signifikan tersendiri kerana kota itu telah melahirkan pereka fesyen tersohor antaranya Alexander McQueen, Stella McCartney, John Galliano, Vivienne Westwood dan Paul Smith.

Ada dari kalangan mereka mula mengintai peluang untuk melibatkan diri dalam IFF sebagai landasan meneroka dunia fesyen Muslimah selepas menyedari wanita Islam sama seperti golongan hawa yang lain cenderung untuk berfesyen.

Usaha sudah dimulakan untuk mengaitkan jenama masing-masing dengan IFF seperti yang dilakukan oleh McCartney apabila mempamerkan koleksi busana rekaannya pada majlis berkenaan.

Walaupun tidak diperagakan di pentas peragaan IFF London, namun kesediaan McCartney mempamerkan busana rekaannya membuktikan beliau bersikap realistik mengenai peluang yang boleh diraih daripada penganjuran festival berkenaan.

Begitu juga pereka barang kemas, Samer Halimeh dari New York buat pertama kalinya menggunakan pentas IFF di London untuk memperagakan barang kemas ciptaannya.

Paling mencuri tumpuan adalah kehadiran jurucakap Armani, Puteri Charlotte Casiraghi dari Monaco yang menampilkan aura glamor dan eksklusif pada majlis makan tengah hari itu.

IFF London yang mengangkat tema 'Khazanah Timur' menampilkan rekaan fesyen Datuk Tom Abang Saufi dan Melinda Looi dari Malaysia serta Ghea Panggabean dan Milo Migliavacca dari Indonesia.

Tom menampilkan tema 'White Ranees of Sarawak' tidak lari daripada rekaan berunsurkan moden dan etnik tradisional yang diilhamkan daripada gaya pemakaian Dayang Ranee Brooke iaitu keturunan 'Rajah Putih' yang pernah memerintah negeri itu.

Penataan gaya Dayang Ranee yang sering menggunakan fabrik dan barang kemas tradisional sentiasa menarik perhatian Tom sehingga memberi inspirasi kepada beliau untuk mencipta rekaan yang eksotik, namun kelihatan bergaya untuk pentas IFF London.

Rekaan fesyen Tom adalah untuk keperluan wanita Islam moden yang hanya memerlukan usaha minimum untuk mendapat gaya yang maksimum.

Penggunaan warna-warna terang pula menggambarkan jiwa yang bebas dan keseronokan yang sepatutnya dinikmati wanita dalam menjalani kehidupan.

Ghea pula menampilkan rekaan bertemakan 'Enchanting Heritage' dengan elemen budaya rakyat Indonesia yang ketara dalam setiap corak fabrik digunakan.

Busana

Keindahan rekaannya menambat hati salah seorang hadirin yang sanggup terbang dari India ke London semata-mata untuk menghadiri IFF sehingga memborong kesemua busana yang diperagakan usai majlis itu.

Milo, pereka kelahiran Itali dan berpangkalan di Bali, Indonesia dengan rekaan bertemakan 'Romance in Bali' pula adalah bukti bahawa pentas peragaan IFF terbuka untuk pereka dari latar belakang, budaya dan agama yang berlainan.

Rekaannya bukan khusus untuk wanita Islam, namun dengan kreativiti dan suai padan membolehkan mereka tampil bergaya dan dalam masa sama menutup aurat.

Bagi Melinda pula, rekaannya diinspirasikan daripada keindahan pantai-pantai di Malaysia.

Bertemakan 'The Paradise With', penggunaan fabrik sutera sifon melambangkan alunan ombak manakala warna hijau zamrud adalah manifestasi kejernihan air laut.

Terdapat persamaan ketara dalam kesemua rekaan yang ditampilkan iaitu penggunaan elemen moden dan segar bagi memperbetulkan tanggapan salah mengenai Islam yang sering digambarkan sebagai agama ketinggalan zaman.

Penggunaan seluar serta dress paras betis bagai satu kemestian dalam rekaan yang ditonjolkan kali ini bagi memenuhi keperluan wanita Islam moden yang perlu bergerak pantas seiring dengan kemajuan.

Sudah tentu, orang yang paling gembira dengan kejayaan penganjuran IFF London ialah Pengerusinya, Datuk Raja Rezza Shah yang sudah bersedia dengan perancangan untuk tempoh lima tahun bagi memastikan festival itu terus gah di persada dunia fesyen antarabangsa.

Katanya, walaupun pada peringkat awal penganjuran IFF bukan berpaksikan kepentingan ekonomi, namun tidak dinafikan pada akhirnya faktor tersebut memainkan peranan penting kepada pereka fesyen.

Ini kerana katanya, fesyen Muslimah menjanjikan pulangan ekonomi yang besar dengan mengambil kira anggaran 50 peratus daripada penduduk dunia adalah beragama Islam. Faktor itu sudah tentu tidak boleh dipandang sepi oleh pereka fesyen tersohor dunia.

Satu lagi aspek dalam industri fesyen Muslimah adalah penggunaan aksesori termasuk jemeki iaitu satu kemestian dalam setiap rekaan yang menjanjikan pulangan ekonomi tersendiri untuk perekanya.

Untuk projek seterusnya kata beliau, persediaan sudah dibuat untuk memenuhi undangan memperagakan busana Muslimah rekaan pereka fesyen Malaysia dan serantau di Minggu Fesyen Milan hujung tahun depan.

"Pemilik Minggu Fesyen Milan mengundang kita menyertainya untuk melancarkan himpunan terbaru kepada pembeli, namun saya rasa pereka kita masih belum bersedia untuk memenuhi permintaan secara massa.

"Jadi, kita hanya akan memperagakan busana Muslimah sebagai pengenalan kepada mereka," katanya.

Menurutnya, apabila menjadi sebahagian daripada Minggu Fesyen Milan nanti, maka busana Muslimah sudah berjaya diletakkan dalam industri fesyen dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: