Sunday, August 7, 2011

Gara-gara ketagihan kelab

PINTU hati saya terbuka untuk bercerita tentang kisah hidup saya bila terbaca cerita Norhidayah 24 Julai lalu tentang kekecewaannya berhadapan dengan Mahkamah Syariah. Syabas saya ucapkan kerana keberaniannya berjuang demi hak anak-anak. Namun jangan kecewa, kerana saya rasa ada dua sebab anda akan gagal, pertama anda tak ada orang dalam Mahkamah Syariah, kedua bekas suami akan lakukan pelbagai taktik kecewakan anda.

''Tapi jangan risau. Berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah kerana Allah lebih mengerti. Tetapi dalan kes saya, bekas suami saya rela berhenti dan bertukar kerja daripada memberi nafkah kepada tiga orang anaknya.'' Demikian cerita Hafizah dalam emelnya.

''Bekas suami memberitahu saya dan keluarga bahawa dia tidak akan beri sesen pun kepada saya untuk nafkah anak-anak. Kerana dia tuduh saya keras kepala dan suka melawan cakap serta kehendaknya. Saya mengaku melawannya tetapi bersebab.

''Malangnya mahkamah tidak terima cerita saya, sebaliknya memihak kepada bekas suami. Maka dengan sendirinya saya turun naik mahkamah lebih 10 kali, banyak habiskan wang dan masa saya, selain menanamkan rasa benci saya terhadap dia dan keluarganya, yang tidak mahu membantu saya ketika anak-anak perlukan perbelanjaan sekolah.

''Memang saya melawan dia, sebab duit saya banyak habis kerananya. Nama saja gaji besar, tetapi saya terpaksa bayar hutang bank kerana saya buat pinjaman untuknya. Bukan RM80,000 lebih daripada itu. Ibu saya terkejut bila saya beritahu, sebab selama ini saya sorok daripada mereka, kerana nak jaga nama baik suami. Tetapi sudahnya saya jadi korban.

''Memang awalnya saya tak tahu dia kaki perempuan. Sebab dia pandai makan pandai simpan. Lepas dapat tiga orang anak baru saya terhidu aktivitinya. Ketika itu semuanya sudah terlambat sebab saya dah pinjam RM40,000 untuk dia kongsi buat bisnes dengan kawan.

''Sebenarnya dia bekerja juga tapi gaji tak sebanyak gaji saya, jadi dia nak buat bisnes, katanya kalau dia berjaya jadi usahawan, saya dan anak-anak juga senang. Tak sampai setahun dia suruh saya buat pinjaman tambahan RM40,000 sebab tender dah dapat tapi duit tak cukup. Rakan kongsinya perlu tambahan supaya bisnes boleh berjalan lancar.

''Mulanya saya tolak juga sebab tak sanggup nak bayar hutang tambahan, tapi dia janji akan bantu bayar pinjaman bank bila bisnes berjalan lancar. Saya katakan padanya, jangan terlalu percaya pada rakan kongsi, dia kenalah ambil tahu juga supaya tak kena tipu.

Tender

''Dia setuju, lepas tu mulalah sibuk di pejabat rakan kongsinya, kerja tetap mula diabaikan. Tapi dapat tender tak sebanyak mana, belanja lebih besar. Dia lebih hebat daripada kawannya, bukan duduk pejabat saja sebaliknya duduk di kelab, mula kenal dengan ramai rakan perniagaan.

''Akhirnya gajinya sendiri digunakan untuk meraikan kawan-kawan dan kenalan yang memberi dia tender di samping mencari kontrak baru. Rakan kongsinya lebih memberikan perhatian kepada bisnes, akhirnya dia dipermainkan oleh kawannya. Itu cerita dia pada saya mengapa dia tak bayar pinjaman bank saya.

''Tetapi daripada apa yang saya tahu mereka berdua dah tersangkut di kelab, baru dapat untung sikit hidup nak bergaya mewah. Bila dapat kontrak seterusnya dia suruh saya buat pinjaman lagi. Pasti saya tak mahu kerat kepala. Pinjaman lama tak bayar, nak tambah yang baru.

''Bila saya tak tolong, dia mula naik angin, konon nak cari bantuan orang lain. Tetapi masih gagal. Akhirnya dia kembali ke rumah pujuk saya lagi, siang malam 'menyanyi' minta tolong. Saya suruh dia minta bantuan keluarganya yang saya tahu ada duit, tetapi dia mengelak dengan memberi pelbagai alasan konon bencikan keluarganya.

''Cadangan saya dia tolak sebaliknya dia cadangkan saya minta geran tanah emak saya untuk dicagarkan ke bank. Terkejut beruk saya. Kalau dia sendiri tak mahu gadaikan tanah emaknya, mengapa saya mesti gadaikan tanah emak saya. Ketika itulah dia naik angin marahkan saya, katanya, ''tak guna ada bini kalau tak mahu bantu suami waktu susah.''

''Saya tetap berkeras tak mahu gadaikan tanah emak dan meminjam lagi. Ketika itulah kelakuan sebenarnya terbongkar. Rupanya dia gilakan perempuan kelab. Orang tak pernah masuk kelab, bar dan sebagainya, bila dapat sekali rasa susah nak tinggalkan. Dah mula ketagih.

''Akhirnya bila keadaan semakin meruncing saya minta cerai. Ketika itulah keluarga saya terkejut sebab mereka tak pernah tahu masalah saya selama ini. Setelah saya ceritakan, mereka tidak menahan saya minta cerai, jika itu terbaik untuk saya. Malah adik beradik bantu saya carikan peguam bela ke mahkamah syariah.

''Saya bersyukur ketika saya diuji keluarga banyak membantu, mereka bukan setakat simpati, malah memberi wang ringgit ketika saya hampir tenggelam. Mereka banyak bantu perbelanjaan sekolah anak-anak saya.

''Namun seperti kisah Norhidayah, suami tetap enggan menceraikan saya, katanya biar saya digantung tak bertali, itu lebih baik. Selepas tiga tahun turun naik mahkamah barulah saya dapat cerai taklik.

''Nak minta nafkah memang tak dapat. Dia lebih sanggup berhenti kerja dari bagi nafkah. Kalau tak silap dah tiga tempat kerja dia berhenti bila saya buat tuntutan nafkah. Namun saya bersyukur saya terlepas dari bebanan hidup yang amat menyeksakan. Bila tak ada suami saya rasa hidup saya lebih bahagia. Bukan setakat rezeki bertambah, malah yang lebih penting hati dan perasaan anak-anak saya lebih tenang dan bahagia. Mereka gembira sebab tak dengar lagi maki hamun ayahnya.

''Kalau dulu saya jarang-jarang dapat balik ke kampung kerana terpaksa mengikut kehendak suami yang lebih selesa tidur di rumah emaknya. Kini hati saya lebih selesa dan anak-anak gembira bila dapat balik kampung.

''Itulah antar perbezaan yang saya dapat lihat dan rasakan setelah hidup bersendirian. Saya jadi lebih pandai mengatur hidup kami anak beranak di samping mereka boleh belajar lebih baik dan kini yang sulung sudah pun masuk kolej. Saya rasa lebih bahagia.

"Demikian cerita Hafizah.''

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: