Sunday, August 7, 2011

Aroma berbuka


Murgh tandoori dihidang ketika masih berasap.


MASAKAN India bukan asing dalam juadah seharian masyarakat Malaysia. Bagi kita yang biasa dengan gerai mamak, pastinya roti canai, capati, tandoori mahu pun nasi beriani sudah menjadi makanan wajib untuk dinikmati.

Cuma bezanya mungkin dari segi keaslian rasa kerana telah disesuaikan dengan selera orang tempatan.

Biasa dengan warung, gerai atau restoran sederhana, sesekali apa salahnya mencuba masakan India berkonsep fine-dining yang lebih eksklusif. Membawakan cita rasa asli masakan dari negara yang terkenal dengan rempah-ratusnya itu, Spice of India menyediakan set istimewa sepanjang Ramadan ini.

Menurut Chef Madan Lal yang didatangkan khas dari New Delhi, restoran eksklusif itu menyajikan masakan enak dari wilayah utara dan selatan yang pastinya berbeza daripada biasa.

Menyediakan tiga set istimewa untuk berbuka, Set A berharga RM160 untuk dinikmati oleh dua orang. Nikmati murgh tandoori yang cukup menyelerakan dimasak panas dalam pinggan tembikar sejurus pesanan diterima. Hidangan utama terdiri daripada nasi beriani, dhal tadka, murgh makanwala (ayam panggang bersama kuah tomato dan krim stail Punjabi), rogan josh kashmiri (kambing masak masala Kashmiri) dan bendi masala. Hidangan enak ini disudahi dengan pencuci mulut kulfi mangga.

Set B pula berharga RM300 untuk dinikmati oleh empat orang. Menyediakan pembuka selera papadam, ayam shorba dan onion bhaji. Manakala hidangan utama terdiri daripada mutter pulao (nasi pilaf dengan kacang), ayam tikka masala, meen kolambu (kari ikan pekat stail India selatan) dan aloo gobi (bunga kobis dan kentang digoreng serbuk kunyit). Gulab jamun (sejenis manisan berperisa ros disejat daripada susu dengan haruman bunga lawang).

Menu C pula berharga RM520 untuk hidangan lapan orang. Ia mengandungi royal pakora (ayam atau sayur dicelup bancuhan dhal dan digoreng rangup). Hidangan utamanya terdiri daripada nasi jeera, kari cendawan dan kacang hijau, bhuna gohst (kiub daging kambing dimasak bersama halia, bawang, tomato dan rempah khas) dan dhal palak.

Menu ini juga disertakan dengan sepinggan roti yang terdiri daripada roti romali, naan bawang putih dan prata pudina. Hidangan istimewa ini disudahi dengan pemanis mulut halwa lobak merah yang enak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: