DALAM majlis sambutan ulang tahun kelahiran atau majlis resepsi perkahwinan, acara memotong kek dianggap sebagai momen kemuncak yang dinanti-nantikan.
Jika 10 atau 15 tahun dahulu, tradisi memotong atau memakan kek hanya dilihat pada hari-hari istimewa dan masih menjadi pilihan kedua selepas pulut kuning, kini keadaan telah berubah.
Sudah banyak kedai kek atau kafe yang menyediakan hidangan kek untuk masa santai seperti minum petang. Ini tidak termasuk pengusaha yang membakar kek di rumah dan menjualnya di laman maya seperti blog.
Antara individu yang aktif menjual kek di laman maya ialah Zee Helena Abdul Rahman, 32.
Ditegur
Dia yang tidak mempunyai pendidikan khusus dalam bidang pastri atau kulinari memilih untuk melepaskan jawatannya sebagai pegawai teknologi maklumat (IT) di sebuah syarikat di ibu kota dan mula membakar kek dan menjualnya di blog.
“Saya memang suka ke dapur, lebih-lebih lagi kalau dapat peluang membuat kek.
“Kebetulan, di kawasan rumah sewa semasa menuntut dahulu, ada seorang mak cik yang kerjanya membuat kek.
“Hari-hari saya menghidu bau harum daripada dapur rumahnya.
“ Lantas, saya beranikan diri untuk berjumpa dengan mak cik tersebut dan menyatakan kesanggupan saya menjadi pembantunya.
“Sejak itu, saya akan ke rumahnya tiga atau empat hari dalam seminggu untuk belajar dan membantunya membuat kek,” ujar ibu kepada seorang anak lelaki ini.
Mula fokus kepada perniagaan kek dari rumah sejak dua tahun kebelakangan ini, Zee cuba mengambil sebanyak mana peluang untuk memantapkan hasil kerja tangannya.
“Alhamdulillah, tentang rasa, memang ramai yang kata kek saya tidak terlalu manis, ringan dan gebu. Jika kek buah, ia tahan hingga berbulan-bulan.
“Pernah sekali ada pelanggan tegur bunga hiasan di atas kek nampak kurang stabil. Walaupun teguran itu bukan satu isu besar, saya tidak pandang remeh.
“Saya cari peluang untuk belajar hias kek dan kini sedang menjalani kursus tahap dua menghias kek di International Academy of Color Conciousness (IACC) di Damansara.
“Selepas belajar teknik yang betul, hasil yang diperoleh jauh beza daripada sebelum ini,” ujarnya.
Tidak menolak pandangan masyarakat bahawa kek mudah dihasilkan, Zee memiliki pendapat yang berlainan.
“Mungkin ramai beranggapan kek akan ‘menjadi’ jika adunan bahan-bahannya tepat dan dibakar dengan suhu sepatutnya.
“Namun, sebenarnya, membuat kek tidak semudah itu. Untuk kek yang besar seperti kek perkahwinan atau kek hantaran yang bertingkat-tingkat, kerjanya lebih rumit.
“Cita rasa pelanggan memang berbagai-bagai. Ada pelanggan tidak mahu kek dicampur dengan telur, ada juga yang minta jangan gunakan tepung gandum.
Bertingkat
“Ada yang mahukan kek bertingkat yang nampak seperti bercantum dan ada juga yang mahu ia kelihatan terpisah,” katanya yang sering dibantu suami, Muhammad Saufi Maarof, 31.
Menurut Zee, teknik mencantum kek tidak mudah. Jika kek paling bawah tidak dibina dengan betul, ia akan memberi kesan kepada kek-kek lain yang berada di atasnya.
“Untuk membuat lubang pada kek juga tidak boleh sembarangan kerana ditakuti kek akan merekah dan membuatkan kek di tingkat atas tidak stabil,” katanya yang sering mendapat tempahan kek perkahwinan setinggi lima tingkat.
Kagum dengan hasil kreativiti Zee menggubah bunga daripada krim khas, anak kelahiran Johor Bahru, Johor ini amat menjaga kualiti hiasan keknya.
Dia yang minat melukis sejak kecil sedikit pun tidak kekok mencantikkan sebuah kek kosong kepada kek yang mewah dan eksklusif.
Dengan bentuk seperti bantal yang dihias dengan reben besar, ataupun kek tiga tingkat bercantum dengan hiasan ala hidupan marin, Zee akui dia cukup asyik apabila menghias kek.
“Memang sedikit sukar kerana kita perlu berhati-hati terutama ketika menyalut kek dengan krim khas atau doh fondan yang telah dicanai,” katanya.
Memberi tumpuan kepada pasaran di sekitar Lembah Klang, melalui blog cakes.cent2u.com, Zee menyediakan tiga jenis asas kek iaitu kek buah, kek coklat lembap dan kek mentega pada harga yang berpatutan.
“Kek seberat dua kilogram yang dihias secara asas dijual dijual pada harga serendah RM110.
“Jika pelanggan mahu kek dihias dengan tema yang mereka mahukan, harganya boleh dirunding,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: