PETALING JAYA: Pelakon Zahiril Adzim (gambar) mengaku tidak mahu melengahkan perkahwinannya dengan pengacara Shera Aiyob selepas bertunang.
Pelakon drama 6 Progresif, Biar Putih Tulang Jangan Putih Mata, Kami The Series, Seandainya Aku Siti dan Merah Puteh ini sedang merancang untuk bertunang dengan pengacara Wanita Hari Ini itu dalam satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.
Pasangan ini telah menjalin hubungan sejak tujuh hingga lapan bulan lalu. Setakat ini, tiada lagi majlis merisik dan perbincangan melibatkan kedua-dua keluarga tetapi menurut Zahiril keluarga kedua-dua pihak telah bertemu di sebuah pasaraya.
“Keluarga saya belum lagi membicarakan tentang perkara ini (kahwin) dengan keluarga Shera. Bagaimanapun, saya percaya pada jodoh dan kalau boleh tidak mahu melengah-lengahkan perkara yang baik.
“Kalau bercinta lama-lama pun, tetapi tidak berakhir ke jinjang pelamin pun tidak menjadi juga.
"Saya percaya kepada tiga perkara dalam hidup iaitu rezeki, ajal dan jodoh. Jadi apabila merasakan dia adalah jodoh saya, buat apa nak buang masa lagi.
“Umur kami pun semakin bertambah, saya sudah berumur 27 tahun dan dia berumur 25 tahun,” katanya.
Bagaimanapun, seperti Shera, duta Amnesty International Malaysia ini turut mengambil pendekatan untuk mengunci mulut tentang majlis pertunangan mereka atas alasan banyak hati yang perlu dijaga.
“Gosip kami akan bertunang pada 1 Mei adalah tidak benar dan kami akan memberitahu tentang majlis tersebut pada masa yang sesuai.
“Lagipun perkara seperti ini melibatkan keluarga kedua-dua belah pihak. Selagi orang tua kami tidak memberikan kata putus, kami tidak boleh berkata apa-apa kerana banyak hati yang perlu dijaga. Insya-Allah, jika tiada aral kami akan bertunang pada tahun ini.
Pelakon ini juga turut berdebar menunggu kemunculan filem terbarunya, Senjakala di pawagam pada 14 April depan dan mengaku tertarik dengan sikap wanita itu yang pandai berdikari dan tidak suka mengongkong.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: