Saturday, March 19, 2011

Man Dipilih Juara Raja Lawak 5

Man berjaya meraih undian peminat sebanyak 45 peratus.

SHAH ALAM: Seperti dijangka Man atau nama sebenar Abd Rahman Kassim, 33, dipilih sebagai juara program realiti Raja Lawak Astro musim ke lima dalam pertandingan akhir malam Jumaat.

Program yang bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) itu menyaksikan peserta yang berasal dari Kuala Lumpur ini berjaya meraih undian peminat sebanyak 45 peratus.

Manakala Kumpulan RJ yang dianggotai oleh Rahim Mat Ali dan Ridhzuan Mat Ali yang menerima undian 32.5 peratus sekadar berpuas hati memenangi tempat kedua dan tempat ketiga menjadi milik kumpulan Balas dengan undian 22.6 peratus.

Dengan kemenangan tersebut, Man berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM100,000, barangan elektrik serta trofi sumbagan Astro.

Man bersama-sama kumpulan R2 yang menjadi naib juara manakala kumpulan Balas di tempat ketiga.

Sementara kumpulan RJ dan Balas tidak pulang dengan tangan kosong apabila masing-masing berjaya meraih hadiah wang tunai RM50,000 dan RM30,000, barangan elektrik serta trofi.

"Saya masih lagi tergamam dengan kemenangan ini, ia membuktikan pengorbanan lima tahun dari program pertama hingga ke kelima akhirnya membuahkan hasil.

"Sebagai orang biasa, saya rasakan ini merupakan satu keajaiban yang berlaku dalam hidup saya," katanya selepas diumumkan sebagai juara.

Tambah Man, dia berharap agar diberi peluang untuk mengembangkan bakat yang ada dalam dirinya.

"Perancangan selepas ini hanya saya serahkan kepada pihak Astro mengembangkan lagi bakat yang ada pada diri saya.

"Selain itu, saya juga perlu berbincang dengan majikan saya di Pos Malaysia untuk perancangan selepas ini," ujarnya.

Pertandingan akhir itu diadili oleh tiga orang juri tetap iaitu David Teo, Sathiya dan Afdlin Shauki sementara keputusan penuh pula ditentukan oleh penonton seratus peratus menerusi undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

Dengan keputusan tersebut, secara automatik ketiga-tiga peserta akhir ini layak untuk bertanding di dalam rancangan Maharaja Lawak yang akan bersiaran pada 1 April depan.

Program Maharaja Lawak tersebut akan menyaksikan persaingan di antara kesemua finalis rancangan Raja Lawak Astro dari musim pertama hingga kelima.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: