Wednesday, March 9, 2011

Usop oh Usop...



Kemunculannya menerusi filem Hantu Kak Limah Balik Rumah memberi impak besar terhadap pelakon yang terkenal dengan panggilan ‘Usop’ ini.

Usop atau Syed Mohamad Asri, sudah lebih sepuluh tahun menjinakkan diri dalam bidang seni. Namun, baru sekarang namanya menjadi sebutan peminat.

Jika disingkap sejarah awal penglibatannya, pelakon yang berusia 46 tahun ini bermula sebagai penyanyi, pencipta lagu dan penerbit. Menggunakan nama Shy8, dia pernah menjadi artis di bawah naungan Ambang Klasik.

“Waktu itu, saya tidak begitu menonjol. Mungkin juga kerana diri saya sendiri yang tidak mahukan publisiti. Saya mahu peminat sukakan suara saya, bukannya pada wajah atau imej saya.

"Jadi kerana itu, mereka tidak kenal siapa Shy8,” katanya yang pernah mencipta lagu Terasing Di Bumi Sendiri sebagai lagu tema Hari Aids Malaysia.

Namun, percaturan Shy8 untuk terus mencipta nama dalam industri seni suara ketika itu kurang menjadi. Apatah lagi terpaksa berdepan dengan saingan sengit dari penyanyi lain. Akui kecewa dengan situasi itu, Shy8 tekad bersara awal.

“Ketika itu, industri terlalu memandang kepada populariti dan siapa yang bijak bodek akan cepat naik. Sedangkan orang seperti saya terus terpinggir.

"Keputusan terbaik adalah meninggalkan sahaja industri seni. Ketika itu, siapa yang betul-betul berjiwa seni banyak kena tindas,” katanya ketika mengunjungi pejabat Sinar Harian.

Setelah bersara dari industri seni, Shy8 menukar haluannya kepada kerja amal dan pernah menjawat tugas sebagai Yang dipertua Kelab Prostar Negeri Perak.

“Lama juga saya buat kerja kebajikan ni. Hampir lapan tahun. Saya seronok dengan kehidupan ini. Tetapi, bila di fikir semula, sampai bila saya nak buat kerja begini. Saya perlu cari kerja tetap.

“Dalam pada yang sama, saya berkenalan dengan Mamat Khalid dan bekerja sebagai pembantunya. Bukan hanya menaip skrip, malah saya turut diberi peluang untuk berlakon dalam beberapa dramanya seperti Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel, Abang We, Arbaie Bujang Kembali dan banyak lagi,” katanya.

Di sebalik watak lembut dan simbol tangan

Bercerita mengenai watak Usop, Shy8 berkata, dia banyak berkongsi idea dengan Mamat untuk memberikan yang terbaik. Malah perwatakan lembut dan gaya tangan datangnya dari ideanya sendiri.

“Dalam filem Zombi Kampung Pisang, karakter saya sudah seperti ini. Memandangkan saya berlakon bersama nama besar seperti Awie, Que Haidar dan AC Mizal, saya harus mencipta kelainan agar watak tidak tenggelam.

“Jadi, saya memberi cadangan untuk membuat perwatakan seperti itu dan diteruskan lagi dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR),” katanya yang akan muncul dengan sekuel HKLBR menerusi filem Hussien, Mun dan Jin Pakai Toncit.

Menjawat tugas sebagai Pengurus Korporat dan Komunikasi di Syarikat Tanjung Offshore Berhad sejak empat tahun lalu, Shy8 berkata, dia amat selesa dengan kariernya sekarang dan lakonan itu hanyalah sebahagian dari masa luangnya.

“Saya beruntung kerana majikan amat memahami kerjaya saya. Mereka percaya dengan setiap apa yang saya lakukan.

“Walaupun berlainan profesion memandangkan di tempat saya bekerja sekarang lebih tertumpu dalam industri minyak dan gas, saya boleh membahagikan masa,” katanya yang menolak gelaran sebagai pelawak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: