![]() |
| Lilian dan Terry bergandingan dalam sukan bina badan. |
DI awal perkenalan, masing-masing sudah mempunyai pasangan tetapi takdir sudah tertulis, hari ini mereka bersatu sebagai pasangan kekasih.
Bagi Lilian Tan dan Terry Gallyot, masing-masing tidak menyangka persahabatan yang pada awalnya terjalin disebabkan karier akhirnya bertukar menjadi pasangan kekasih setelah masingmasing kecundang di alam percintaan.
Mungkinkah takdir juga yang menentukan perhubungan pasangan ini hingga ke jenjang pelamin seterusnya hingga ke akhir hayat?
Persoalan tersebut susah untuk dirungkaikan tetapi waima apapun kini mereka bahagia memandangkan setiap seorang memahami kerjaya masing-masing.
Menyingkap kisah perkenalan mereka, menurut Terry yang juga merupakan bekas Mr. Asia 1999 sama sekali tidak menyangka hanya dengan satu panggilan telefon, perhubungan mereka mampu kekal sehingga hari ini.
Tetapi seperti pasangan lain, mereka turut melalui fasa perkenalan dan persahabatan sebelum 'berikrar' menjadi pasangan kekasih.
Begitupun, menurut Terry, sebelum hubungan mereka serius, dia dan Lilian pernah terputus hubungan memandangkan ketika itu masing-masing mempunyai pasangan dan setelah segala-galanya berakhir (putus) mereka dipertemukan melalui laman sosial facebook.
''Pada mulanya, Lilian menelefon Persatuan Bina Badan pada tahun 2004 dan persatuan telah memberikan nombor saya.
''Tujuan Lilian menelefon ketika itu hanyalah untuk bertanyakan mengenai penglibatan wanita di dalam sukan bina badan di Malaysia dan daripada situ juga kami terus berhubung melalui emel dan bercakap mengenai sukan bina badan sahaja.
''Dalam tempoh tertentu (tidak ingat) saya dan Lilian putus hubungan dan akhirnya pada tahun 2009 Lilian mula menghubungi saya melalui facebook dan penghujung tahun itu bermulalah perhubungan kami,'' ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah Terry, mungkin disebabkan berada dalam bidang yang sama, mereka dilihat mempunyai kesefahaman dan keserasian antara satu sama lain.
Katanya lagi, komunikasi antara mereka berdua juga senang dan setakat ini mereka tiada masalah.
Apabila ditanya adakah dia selesa berdampingan dengan wanita yang mempunyai bentuk badan yang 'berketak', sambil tersenyum Terry memberitahu tiada bezanya malah baginya itu semua tidak penting melainkan personaliti individu tersebut.
Sementara itu, Lilian ketika diminta mengulas mengenai teman lelakinya itu tidak menyangka sama sekali akan bergandingan dengan seorang yang telah mempunyai nama di dalam sukan bina badan.
Malah bagi Lilian semua sudah tertulis dan kini dia merasa amat bertuah sekurang-kurangnya Terry dapat membantunya baik dari segi latihan mahupun memberi nasihat.
''Seperti semua sedia maklum, sukan bina badan ini bukanlah satu sukan yang diminati dan disertai oleh kaum wanita.
''Oleh yang demikian, saya perlukan sokongan padu daripada orang tersayang selain keluarga dan dalam hal ini Terry memainkan peranan yang penting kerana selain menjadi jurulatih saya secara tidak rasmi, dia juga boleh menasihati saya.
''Sekurang-kurangnya ada juga orang yang berpengalaman membimbing saya untuk terus berada di dalam bidang ini,'' katanya.
Apabila diajukan soalan bilakah mereka akan mengakhiri perhubungan sebagai suami isteri, bagi Terry mereka tidak pernah membincangkan hal tersebut tetapi menyerahkan segala-galanya kepada takdir.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: