Wednesday, March 16, 2011

Menongkah arus untuk berjaya


Nafisah Radin bersama pekerjanya membincangkan projek terbaru mereka.


SELAGI namanya kerja makan gaji maka suka ataupun tidak harus 'menurut perintah'. Bagaimanapun bagi mereka yang berpandangan jauh di dalam mengembangkan karier, kerja makan gaji cuma dijadikan sebagai tapak untuk mencari pengalaman.

Biar tidak ramai wanita di luar sana mempunyai pendirian seperti ini tetapi bagi yang berjaya menempuhnya memang wajar diberikan pujian.

Tambahan pula pekerja wanita sudah biasa sering dipinggirkan dan dianggap tidak sesuai untuk terlalu menonjol dalam bidang tertentu.

Ar. Nafisah Radin, 51, pemilik NR Architect dan NR Interior Design ketika ditemui di Plaza Damas, Sri Hartamas, Kuala Lumpur juga mengharungi pengalaman yang sama.

Nafisah yang berkelulusan bidang Seni bina dari Universiti Nottingham, England ini menceritakan selepas tamat belajar beliau memulakan tugasnya di Ibu pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR), Kuala Lumpur.

''Genap dua tahun saya terus menduduki peperiksaan untuk melayakkan saya diiktiraf sebagai arkitek dan kemudiannya berjaya,'' katanya.

Setelah tujuh tahun berkhidmat sebagai pegawai kerajaan, Nafisah akhirnya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan.

Ketika di jabatan kerajaan, Nafisah telah diberi kepercayaan mengendalikan projek pembinaan bangunan kedutaan di luar negara termasuk yang terakhir di Jakarta, Indonesia.

''Saya tahu kalau masih di jabatan kerajaan, segala idea dan perancangan akan tersekat kerana perlu melalui pelbagai tapisan dan juga protokol,'' katanya.

Sebaik sahaja berhenti, Nafisah kemudiannya meneruskan lagi kariernya di firma arkitek milik bumiputera.

''Setelah setahun akhirnya saya memberanikan diri untuk bertemu dengan pemilik syarikat supaya diberi peluang untuk memiliki saham bersama di dalam syarikat berkenaan,'' katanya.

Nafisah akui memang tidak ada rasa gentar dan jauh sekali perasaan malu untuk meluahkan apa yang terbuku di hatinya itu sekali pun sudah menjangka bahawa permintaan itu akan ditolak.

Bagaimanapun beliau masih diberi peluang untuk memiliki saham di dalam syarikat berkenaan tetapi dengan syarat membuka cawangan di Pulau Pinang.

''Saya menerima tawaran ini kerana kebetulan memang saya anak kelahiran Pulau Pinang tetapi dalam masa yang sama saya terpaksa meninggalkan anak dan suami yang menetap di Kuala Lumpur,'' katanya.

Bagi Nafisah beliau perlu berpandangan jauh dalam perniagaan, buat sementara beliau memang perlu bernaung di bawah syarikat yang sedia ada nama.

Selama tujuh tahun di Pulau Pinang, Nafisah akui beliau berbangga kerana syarikatnya bukan sahaja menjadi perintis kepada syarikat bumiputera lain malah telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan.

''Setelah hampir tujuh tahun, saya mula merasakan pengendalian projek di Pulau Pinang sudah tidak mencabar lagi maka sebab itu saya menggalakkan mereka keluar membuat projek di bandar besar seperti Kuala Lumpur,'' katanya.

Nafisah mula menasihatkan para pelanggan syarikatnya supaya tidak menumpukan perhatian terhadap projek di Pulau Pinang sebaliknya dikembangkan sehingga ke Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, Nafisah membuka sebuah lagi cawangan pejabat di Kuala Lumpur bagi memudahkan urusan pelanggan yang ingin menjalankan projek di Pulau Pinang.

Setelah yakin dengan pengalamannya itu, akhirnya pada tahun 2000 Nafisah membuat keputusan untuk pulang ke Kuala Lumpur dan kemudiannya menubuhkan syarikat milik sendiri atas nama NR Architect.

''Seolah-olah saya sendiri memberi penanda pada setiap kali menjelangnya angka tujuh di mana tujuh tahun di JKR dan tujuh tahun lagi di firma swasta sebelum membuka syarikat sendiri,'' katanya.

Pada tahun kedua, Nafisah mula diuji dengan cabaran apabila orang kepercayaannya menipu akaun syarikat.

''Dua tiga minggu saya menangis tetapi dari situ saya mula bangkit dengan semangat dan bantuan daripada kalangan rakan perniagaan,'' katanya.

Semenjak itu, Nafisah berkata dia berjanji tidak akan menoleh ke belakang lagi sebaliknya terus melangkah untuk mencapai matlamat apa yang telah dirancang selama ini.

Bagaimanapun beliau akui banyak pengajaran yang diterima akibat daripada kejadian itu. Nafisah mula mendalami bidang akaun dan pengurusan pejabat yang selama ini dianggap remeh olehnya.

''Saya sedar walaupun saya berpengalaman dalam bidang arkitek tetapi kerana kelemahan dari aspek pengurusan maka perniagaan yang saya jalankan hampir lenyap begitu saja,'' katanya.

Semenjak peristiwa hitam itu juga Nafisah lebih berhati-hati supaya tidak lagi memberikan sepenuh kepercayaan tanpa ada rasa curiga.

Sebagai usahawan, kata Nafisah juga sebenarnya tidak ego dalam setiap rekaannya sebaliknya lebih memberi peluang kepada pelanggan untuk

memilih.

''Malah saya juga bersikap jujur ketika berurusan dengan pelanggan dan juga kalangan rakan niaga yang lain,'' katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau sudah berpuas hati dengan apa yang telah dicapai olehnya setakat ini kerana firma arkiteknya antara yang mampu berdiri teguh sehingga kini

Beliau berharap legasi firma arkitek itu nanti akan diteruskan oleh anak-anaknya yang kini juga menjadi penuntut jurusan Seni bina di luar negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: