Saturday, March 26, 2011

Semua ada di Uptown Shah Alam


DARIPADA persembahan silap mata yang menghiburkan di Magic House (gambar atas kiri) dan aneka beg (kanan) sehinggalah kepada rawatan alternatif mengubati resdung, semuanya menghidupkan suasana selepas dinihari di bazar malam Uptown Shah Alam di Kompleks Muhibah, Seksyen 24 bandar raya itu.


BENAR sebagaimana dikatakan orang. Kalau penat bekerja anda boleh rehatkan minda dan mengurangkan tekanan dengan cara bersiar-siar sambil membeli-belah.

Ia lebih menarik kalau dilakukan sebelah malamdalam keadaan suasana yang nyaman tanpa perlu pening kepala dengan hiruk-pikuk bunyi kenderaan atau menahan bahang terik matahari.

Destinasi minggu ini adalah Uptown Shah Alam di Kompleks Muhibah, Seksyen 24 bandar raya tersebut.

Sebaik wartawan HELMI MOHD. FOAD dan jurugambar SHAHARANI SAIBI tiba di Uptown Shah pada kira-kira pukul 12.30 tengah malam, mereka menyaksikan sendiri keadaan bercahaya dan berwarna-warni serta suasana meriah di bazar malam tersebut.

Uptown Shah Alam tidak menampilkan imej tipikal sebuah tapak pasar. Sebaliknya ia seperti sebuah bazar larut malam yang lebih santai dan 'nyaman'. serta mungkin seperti sesetengah pengunjung, penulis lebih tertarik untuk mencari barang jualan yang unik dan lain daripada yang lain.

Ketika mengelilingi tapak bazar itu, penulis terpandang sebuah gerai bernama Magic House yang dipenuhi pelbagai jenis topeng. Bagaikan ada suatu tarikan untuk penulis berhenti.

Tanpa disangka-sangka, perkenalan singkat dengan ahli silap mata, Azhar Othman, 27, menyebabkan kunjungan kali pertama penulis ke Uptown Shah Alam sungguh menceriakan.

Keletihan bekerja sepanjang hari hilang apabila dia mempertonton pertunjukkan silap mata percuma dengan memperlihatkan pelbagai helah permainan daun terup dan taktik menghilangkan objek.

Perbualan penulis bersama Azhar menarik para pengunjung mengerumuninya menyaksikan teknik silap mata yang sungguh menghiburkan itu.

"Ini bukan sihir. Sekadar ilusi dan saya tak membaca mantera pun. Biasanya setiap malam kami ada di sini kalau tiada sebarang pertunjukkan silap mata di tempat lain," katanya.

Gerainya menawarkan jualan pelbagai jenis kelengkapan permainan silap mata, peralatan pertunjukan dengan setiap pembeli akan diajar sekali dengan ilmu dan teknik silap mata.

Rakan silap matanya, Azaha Isa berkata, sebelum ini mereka berniaga di Uptown Damansara tetapi selepas bazar itu ditutup, Magic House berpindah ke Shah Alam sejak 2008.

Uptown Shah Alam mempunyai keunikan sendiri. Para pengunjung boleh mendapatkan apa sahaja barang keperluan mereka di sini.

Destinasi minggu ini boleh dikatakan sebagai bazar larut malam sehenti, semuanya ada.

Kemeriahan di Uptown Shah Alam lebih dirasai pada malam hujung minggu terutama selepas hari gaji.

Anda boleh mendapatkan apa sahaja barangan daripada kasut, pakaian, aksesori, barangan bundle, cenderamata dan permainan kanak-kanak sehingga kepada barangan kesihatan.

Meskipun kebanyakannya produk import dan stailo, namun harganya berpatutan.

Jangan lupa, sebuah pentas karaoke disediakan kepada mereka yang mempunyai 'suara emas'.

Kalau anda lapar, Uptown Shah Alammenyediakan lapangan gerai makanan dengan pelbagai jenis masakan selain kemudahan surau untuk pengunjung.

Seronok juga penulis melihat sebahagian besar peniaga di bazar itu, Rata-ratanya anak-anak muda yang bersengkang mata sehingga awal pagi untuk mencari rezeki.

Uptown Shah Alam yang dibuka selepas pukul 7 malam sehingga 4 pagi dikatakan menyerupai bazar Chatchuchak di Bangkok, Thailand, sarat aneka barang yang tinggi nilai estetikanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: