Saturday, March 26, 2011

Suasana eksklusif di Villa Danialla


Dekorasi dalaman salah sebuah vila.


APAKAH tujuan anda bercuti?Jika ingin bersantai dengan keluarga sambil menghirup udara segar dan pemandangan hijau yang mententeramkan, Villa Danialla Beach Resort di persisiran pantai Tok Bali, Bachok, Kelantan mungkin menepati cita rasa anda.

Resort ini dibina atas usaha gigih seorang usahawan wanita, Datuk Siti Hamidah Hamat, anak jati negeri Cik Siti Wan Kembang.

"Tempat ini yang begitu cantik dengan panorama pantai mendatar dan menghadap Pulau Perhentian di Laut China Selatan ini harus dikongsi bersama orang lain," katanya yang juga merupakan pengarah urusan resort berkenaan.

Keunikan resort ini terserlah melalui reka bentuk dan konsepnya yang menggabungkan ciri-ciri timur dan barat serta ia dapat dilihat dengan jelas di semua 61 buah bilik.

Resort ini terbahagi kepada enam vila iaitu Mentari, Ombak, Haflin, Hamat, Sarah dan Zainab.

Mentari mempunyai 20 buah bilik standard, Ombak dan Zainab sesuai untuk keluarga dengan di dalamnya dilengkapi sebuah katil queen dan dua katil bujang untuk anak-anak.

Vila Hamat yang mempunyai 10 buah bilik sesuai bagi mereka yang mementingkan keselesaan dengan ruang kamar dan rehat yang luas.

Paling menarik perhatian adalah vila Haflin yang menempatkan presindential suite yang dilengkapi beranda menghadap Laut China Selatan serta kehijauan taman.

Vila yang mempunyai enam bilik ini berkonsepkan sebuah banglo Inggeris tetapi dekorasi sarat dengan elemen timur dan hampir kesemuanya mempunyai ukiran kayu. Gaya mewah jelas terpancar dari setiap kamarnya.

Namun bagi mereka yang pertama kali mengunjungi resort ini mereka pasti akan tertarik dengan reka bentuk tandas. Setiap bilik mempunyai reka bentuk tandas dan mempunyai ruang yang amat luas, mungkin hampir sama dengan bilik tidur.

Dari kamar tidur, pengunjung pasti tertarik dengan kolam renang infiniti yang menghadap ke Laut China Selatan. Kolam renang bertingkat itu kelihatan tiada penghujung disebabkan reka bentuknya yang selari dengan aras laut.

Menurut Siti Hamidah, kedudukan kolam renang yang seolah-olah bercantum dengan laut itu akan membolehkan setiap ibu bapa berehat di tepian kolam sambil mengawasi keselamatan anak-anak mereka yang sedang bermain di tepian pantai.

Satu perkara yang menarik perhatian pengunjung resort ini ialah kafenya yang dibina secara terbuka, betul-betul di gigi pantai yang dikenali sebagai Beach Cafe.

Di kafe ini, pengunjung boleh menikmati keenakan masakan Melayu yang siap terhidang bersama keluarga sambil menghirup hembusan bayu laut. Bahkan, anda juga menjamu mata dengan pemandangan pantai dan laut yang terbentang luas.

Siti Hamidah berkata, resort berkenaan dibina berlandaskan konsep persahabatan dan perhubungan antara manusia dan alam sekitar.

Kesimpulannya, Villa Danialla dibina khusus untuk menerima kunjungan mereka yang benar-benar ingin menikmati keindahan pantai dan alam tropika, ia merupakan pakej lengkap kepada mereka yang benar-benar mahukan percutian yang setanding dengan resort eksklusif di luar negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: