Tuesday, March 22, 2011

Razak dedah teknik



Walaupun diadakan dalam masa singkat, namun Kursus Asas Pengarahan Filem anjuran Pusat Budaya dan Seni (PBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi platform terbaik buat mahasiswa yang berminat bergelar pengarah.

Kursus kendalian pengarah terkenal, Profesor Madya A Razak Mohaideen membolehkan peserta mendapat maklumat asas pengarahan filem berdasarkan pengalamannya.

Menurut Razak, beliau berkongsi idea dan pengalaman dari sudut kelebihan dan kelemahannya sepanjang bergelar pengarah.

“Walaupun namanya Kursus Pengarahan, saya menumpukan tema mencari permulaan sikap yang betul dalam bidang pengarahan yang dipecahkan kepada tiga perkara.

“Pertama, memberi contoh cara bekerja pengarah berjaya seperti Akira Kurosawa dari Jepun. Kedua, menyentuh mengenai disiplin pengarahan dan ketiga, mendedahkan aspek metodologi meliputi teori dan praktikal mengenai filem,” katanya.

Pengisian kursus mencakupi aspek perancangan, konsep pengarahan, visual dan audio, segmen produksi, proses pasca produksi, penyuntingan, pra tonton dan diskusi.

Menurut Pengarah Projek, Farah Syazwin, Razak banyak mengajar falsafah filem terutama daripada pengarah tersohor dunia.

“Pengisian bengkel ini amat jelas iaitu meliputi aspek teori dan praktikal. Apa yang penting, kita perlu tahu objektif filem itu sendiri.

“Dalam kursus ini, kita akan bermula dengan memahami asas filem terbaik sebelum pergi lebih jauh,” katanya.

Selain itu, pelakon terkenal Shukor Mohaideen turut hadir sebagai penceramah Kursus Asas Penulisan Skrip pada hari sebelumnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: