KEMENTERIAN amat berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh para atlet institut pengajian tinggi (IPT) sama ada yang mewakili negara, negeri mahu pun universiti.
“Kejayaan anda terutama di peringkat antarabangsa berjaya menunjukkan bahawa atlet IPT mampu cemerlang.”
Ucapan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin itu pada Majlis Kecemerlangan Sukan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) baru-baru ini sudah cukup menjadi azimat dan semangat buat yang mendengarnya.
Ketika itu, barisan atlet yang cemerlang dalam sukan masing-masing seperti Daniel William Hendry Bego, Chai Fong Yin, Khoo Cai Lin, Hafiz Adzha dan Bryan Nickson Lomas dilihat tekun mendengar. Ada ketikanya, mereka tersenyum simpul dan ada yang berbisik-bisik sesama rakan semeja. Barangkali sedang mengimbau detik kejayaan yang telah dikecapi mereka.
Mohamed Khaled meneruskan perenggan beliau dengan memperincikan kejayaan luar biasa atlet IPT. Kata beliau, pada Kejohanan Sukan Komanwel, New Delhi, India pada Oktober tahun lalu, para atlet IPT berjaya menggondol satu pingat emas, empat perak dan empat gangsa.
Kecemerlangan itu diteruskan pada Kejohanan Sukan Asia di Guangzhou, China apabila mereka menyumbang satu pingat emas, tujuh perak dan dua gangsa.
Tirai 2010 dilabuhkan dengan gilang-gemilang oleh atlet-atlet dari IPT pada Kejohanan Sukan Universiti (AUG) ke-15 di Chiangmai, Thailand. Kontinjen Malaysia merangkul 37 pingat emas, 34 perak dan 43 gangsa di bumi Gajah Putih itu.
“Ini merupakan pencapaian terbaik kita dalam AUG sejak diperkenalkan di luar Malaysia pada tahun 1981 dan yang menariknya, ia melepasi sasaran awal kita iaitu 24 pingat emas,” kata Mohamed Khaled dengan nada bangga.
Biasiswa atlet IPT
|
|
Bagi menghargai pengorbanan jaguh-jaguh negara itu, KPT memutuskan untuk memberi insentif kepada mereka yang layak.
Sebelum itu, ujar Mohamed Khaled, ia hanya sekadar token penghargaan dan bukan sama sekali hendak menyamai wang ringgit dengan keringat yang dicurahkan.
“Saya percaya para atlet yang berada di hadapan saya dalam majlis ini bukannya golongan yang mahu mengejar kemewahan, kebendaan atau pun populariti.
“Kamu semua adalah patriot negara yang sanggup merentasi arus cabaran demi menjulang martabat Malaysia di mata dunia,” ujar beliau.
Pada tahun ini, Biasiswa Sukan KPT diberi peruntukkan sebanyak RM10 juta berbanding RM5 juta sebelumnya. Seramai 391 orang atlet yang terdiri daripada pelajar terpilih menerimanya.
Kriteria utama penawaran biasiswa ini adalah bersandarkan kepada pencapaian yang cemerlang dalam sukan yang diceburi serta mendapat pengiktirafan daripada Majlis Sukan Negara (MSN).
Daripada aspek kebajikan atlet, Mohamad Khaled mengumumkan skim perlindungan insurans kepada semua para atlet.
Keseimbangan
Kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus atlet negara terdiri daripada atlet IPT menjelang tahun 2015. Bagaimanapun kerajaan pada masa sama mahu setiap atlet seimbang dalam dunia sukan dan pelajaran.
Justeru, Dasar Pembangunan Sukan IPT (DPSIPT) digariskan. Menerusi DPSIPT, tuisyen dan jadual kuliah anjal yang antara lain memudahkan atlet mengurus latihan atau pertandingan agar mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran.
Masih mempunyai kaitan dengan akademik, Mohamed Khaled berkata, kementeriannya turut memberi tumpuan kepada aktiviti penyelidikan dan pembangunan dalam bidang sukan.
“Pihak kami telah memilih enam penyelidik daripada beberapa IPT untuk menerima geran penyelidikan sukan berjumlah RM400,000,” kata beliau.
Pada peringkat awal, satu penerbitan jurnal sukan diharap dapat dihasilkan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: