Wednesday, March 16, 2011

Peruntukan Bank Muamalat RM1 juta

BANK Muamalat memperuntukkan wang tunai hampir RM1 juta termasuk RM100,000 Bonanza Tunai bulanan sempena Kempen Bonanza Tunai yang dimulakan sejak 1 Oktober tahun lalu.

Naib Presiden Kanan Bahagian Perbankan Pengguna, Shamsudin Bahari berkata, sejak kempen itu dimulakan, sambutan yang diterima sangat menggalakkan di mana Bank Muamalat turut menerima pertambahan pemegang akaun baru di 55 cawangan seluruh negara.

“Ini memberikan satu petunjuk yang kuat untuk satu peningkatan dalam memenuhi permintaan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan institusi kewangan syariah,” katanya dalam satu kenyataan.

Kempen yang berjalan selama enam bulan dan berakhir 31 Mac ini terbuka kepada semua pelanggan yang terdiri daripada individu atau perseorangan, persatuan, syarikat swasta dan syarikat berhad.

Menurut Shamsudin, setiap pelanggan yang berdaftar untuk kempen itu berpeluang memenangi hadiah bulanan. Setiap bulan juga, 22 pemenang bertuah akan diumumkan dan pada penghujung Mac, sebanyak 132 pemenang akan dipilih sepanjang kempen berlangsung.

“Pemenang akan dipilih secara rawak. Lebih banyak deposit yang dibuat, lebih tinggi peluang untuk memenangi hadiah bulanan RM100,000 serta hadiah utama RM100,000 pada penghujung kempen,” katanya.

Sementara itu, baru-baru ini, Bank Muamalat turut memberi cek bernilai RM100,000 kepada pemenang bulanan Bonanza Tunai untuk Januari kepada Korporal Asriwani Mohd Yasin dari Kuantan.

Majlis itu turut menyaksikan Lee Siew Hong menerima durian runtuh apabila memenangi RM10,000 dan RM500 hadiah sagu hati kepada 20 pemenang cabutan bertuah.

Bank Muamalat Malaysia Berhad mula beroperasi pada 1 Oktober 1999 adalah peneraju institusi kewangan syariah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: